Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sekretariat Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Malaysia melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan program Sesi Bacaan Serantau MASTERA yang bertujuan memberikan ruang kepada pelapis sasterawan muda berkongsi pandangan dan hasil kajian melalui pembacaan karya klasik dan moden.
Sesi Bacaan Serantau MASTERA yang berlangsung di Anjung DBP, Menara DBP baru-baru ini mengetengahkan dua orang ahli panel, iaitu YBrs. Dr. Muhammad Najib Noorashid dan Encik Wan Khuzairey Wan Mohtar manakala sesi bacaan ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Azhar Ibrahim.
Dr. Muhammad Najib Noorashid berkongsi tentang penulisan Adi Marhaen atau nama sebenarnya Awang Haji Leman bin Ahmad, yang tampil sebagai aspirasi sasterawan serta menyuarakan kebenaran yang tidak terucap dengan kata-kata, keresahan rakyat ke dalam bahasa yang menyerap ke dalam jiwa masyarakat.
Namun katanya, keresahan rakyat yang terbatas kerana berpotensi risiko bukan sahaja melawan keadaan tetapi juga batas suara yang tidak selalu bebas untuk dilaungkan.
“Dalam dunia yang digerakkan oleh suara-suara besar seperti sajak Adi Marhaen, telah mengangkat gema halus daripada lorong kehidupan melalui sudut suara rakyat kecil sebagai obor yang tidak pernah padam.
“Perjuangan rakyat kecil berulang dan diwarisi dari satu generasi ke generasi lain seolah-olah hidup mereka adalah sebuah jalan panjang yang tidak pernah selesai,” ujarnya.
Adi Marhaen dilahirkan pada 25 Mac 1938 di Kampong Kiarong, Brunei Darussalam dan kembali ke rahmatullah pada 11 November 1996.
Dua buah buku beliau yang laris di pasaran ialah Antologi Puisi Lingkaran Budi dan Sesejuk Udara di Bukit Minden.
Pelibatannya dalam dunia kesusateraan selama tiga dekad diperakui dengan penganugerahan SEA Write Award di Bangkok pada tahun 1988. Novel Menyerah (1985) terbitan DBP Brunei memenangi Hadiah Penghargaan dalam Peraduan Menulis Novel Sempena Tahun Hijrah 1400.

Sementara itu, berbicara tentang tokoh wartawan veteran Adibah Amin atau Khalidah Adibah Amin yang berusia 89 tahun, Encik Wan Khuzairey Wan Mohtar amat kagum dengan beliau yang berani, tekun dan bertanggungjawab.
Katanya, sebagai seorang wartawan yang menulis sastera daripada lensa kewartawanan, iaitu dengan membawa cara pandangan yang baharu, pendekatan lebih segar atau penjelasan lebih mendalam kepada dunia sastera Melayu terus dipertahankan dalam era teknologi khususnya ketika berdepan dengan cabaran kecerdasan buatan (AI).
“Ilmu itu tidak dijadikan perhiasan semata-mata malah ilmu itu digunakan untuk membaiki keadaan sekitarnya. Ini dilakukannya tidaklah dengan riuh rendah dan menunjuk-nunjuk. Gagasan kemanusiaan beliau mahu mengangkat martabat bahasa Melayu,” katanya yang mengambil sebahagian daripada petikan Adibah Amin.
Adibah ialah anak kepada pejuang kemerdekaan Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan juga penulis. Beliau yang terkenal dengan penguasaan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu turut menulis tiga novel bahasa Melayu.
Sebelum ini beliau pernah menerima beberapa pengiktirafan besar antaranya Tokoh Terjemahan Negara 2012, Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) 1983, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena 1991, Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (Persatuan Wartawan Melayu Malaysia) 1996 dan Anugerah Tun Razak 1998.
Yang turut hadir menyampaikan hadiah kepada para pembicara termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Perancang Bahasa Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Huznah binti Sa’it dan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), YBrs. Profesor Dr. Hashim Ismail.