Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-69, M. Said Muharam mengimbas kembali tahun-tahun beliau bekerja di DBP pada tahun 1989. Era DBP yang kaya dengan penulis, penyair, pemikir, dan seniman.

Memang zaman itu gedung DBP ialah lubuk dan gerobok melahirkan penulis, penyair dan karyawan seni yang hebat.

Walaupun kehadiran aku sebagai karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya seketika, hubungan kami dalam kalangan penulis amat menyantuni antara satu sama lain pada zaman itu. Tanpa mengira batas penulis atau penyair jalanan, gelandangan atau penyair atasan, tiada erti kasta dewa kirana mahupun kluster kayangan alam bunian. Kami saling menghargai, menghayati dan membicarakan karya antara kami, malah sering membicarakan dan menghormati karya penulis yang lebih senior, mentor dan mapan.

Aku mula aktif dalam dunia kepenyairan apabila memberanikan diri dengan berjinak-jinak membaca puisi di jalanan. Kami digelar sebagai penyair tiang lampu, penyair taman bunga atau penyair kompleks beli-belah. Zaman angkatan penyair 80-an ialah suatu zaman gelombang keakraban dan silaturahim. Zaman tanpa telefon bimbit dan media sosial. Aku bertitik tolak daripada siri-siri pertemuan penyair media tabloid sehinggalah kepada perhimpunan penyair muda Malaysia. Semangat kami membara pada zaman usia remaja.

Di situ, aku mula mengenal penulis-penulis hebat, penyair besar, sehingga ada yang telah bergelar Sasterawan Negara sekarang. Begitulah bermulanya aku mengenali Kak Zurinah Hassan (kini Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara wanita pertama). Aku menyantuni Kak Zurinah sewaktu sepetang puisi Shah Alam di kompleks PKNS, menerobos perjalanan hari-hari berikutnya. Ketika itu, aku masih hangat menyalakan Grup Pemuisi Setanggi Universiti Malaya (bersama-sama Zaen Kasturi).

Zaman gelandangan dan menganggur membuatkan aku tidak banyak pilihan untuk meratah kehidupan melainkan menelan apa-apa yang mampu dihadamkan. Menjadi editor sambilan di Jabatan Penerangan melunaskan penyiaran majalah Sinar Zaman dan bekerja (buruh am) di Pejabat Pos Kg. Tungku. Sehinggalah suatu hari, Kak Zurinah mengajak aku ke DBP untuk menemani dan menyantuni rakan penyairnya di DBP, sambil mempertaruhkan nasib aku memohon jawatan Pegawai Perancang Bahasa.

Berdebar dan terasa rendahnya diri apabila pertama kali menjejakkan kaki ke bilik Kemala (Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah, Sasterawan Negara ke-11). Namun keakraban dan kemesraan Kak Zu dengan Kemala membuat aku tersenyum dan berkata dalam hati, ‘Bertapa hebatnya orang-orang ini dan bertapa kecilnya aku di sini untuk membesarkan hati menjadi berani menyantuni penyair tersohor ini.’ Betapa besarnya hati dan bangga sebelum berangkat meninggalkan biliknya. Beliau menghulur kumpulan puisi Ayn kepadaku. Berulang kali juga aku menatap dan mentafsir puisi-puisi rohani daripada penyair bernama Kemala.

Sewaktu ditugaskan berkerja di Unit Ensiklopedia DBP pada tahun 1988. Meja kerja bertimbun dengan pelbagai fail, manuskrip dan buku.

Akhirnya, aku diterima berkhidmat di Unit Ensiklopedia dan bermulalah episod mengenali dan menyantuni penulis dan penyair tersohor di DBP masa itu. Memang zaman itu gedung DBP ialah lubuk dan gerobok melahirkan penulis, penyair dan karyawan seni yang hebat. Aku mula mengenali Ketua Unit Pak Pian Husien (Dr. Sufian Husin) lantaran terus aku diletakkan di bawah Bang Mat Daud (Dr. Mohamad Daud Mohamad), Kak Sal (Salmiah Ismail), selain Abang Wan (Wan Yusof Wan Hassan), Pak Adi Muara, Bang Mahazan, Pak Z (Zakaria Abdullah), sekejap dengan Hanafi (Dr. Hanafi Ibrahim), di samping Pawi, Liza, Kak Yan dan yang lain di unit tersebut.

Apabila menyebut nama Kak Sal membuat aku teringat bagaimana kecutnya perut ketika menaiki kereta yang dipandunya ke gudang pencetakan di Hulu Kelang pada masa itu. Di situlah aku mengenali Bohari Ibrahim (pelakon yang bagi aku low profile). Bersama-sama semangat dan perjuangan Mohamad Daud Mohamad, aku mula bergerak sama menyemarakkan gerakan perhimpunan penyair muda Malaysia 80-an. Selaku sekretariat Perhimpunan Penyair Muda Malaysia, aku mengikuti Bang Mat Daud untuk menghadiri mesyuarat, bertemu dan berbincang dengan penggerak lain Perhimpunan Penyair Muda Malaysia masa itu.

Mengingati slogan Bang Mat Daud, “Tolong Orang Tiada Ongkos” membuat aku tergelak dan tertawa sendiri menjadi “budak yang dibuli” Unit Ensiklopedia yang penuh nostalgia. Aku turut diletakkan sebagai ketua kumpulan pertandingan berbalas pantun antara unit DBP, menggamit memori dengan gelagat Sabri Yunus dan pantun spontan aku membalas pantun yang dijual. Akibat kesuntukan masa, aku menyorokkan kepala di bawah meja sehabis menjawab:

Buah kedempak buah kedondong,
……….Buah keranji dalam perahu;
Sudah kaunampak sudah kaurenung,
……….Di dalam hati siapa yang tahu.

Pantun ini membuatkan Bang Ali Majod dan rakan lain memegang bahu aku dan bertanya “Buah kedempak itu buah apa?” sewaktu naik tangga ke pejabat. Kami terus tergelak sesama sendiri tanpa sebarang jawapan pasti, walaupun merujuk Kamus Dewan.

Apabila mengenang Pak Suhaimi Haji Muhammad, aku teringat tegurannya tentang puisi aku, “Gunting” dalam Utusan Zaman. Katanya, “Aku nak kau tulis puisi macam ni, bukan tulis puisi t__.” Pedas dan keras nada Pak Suhaimi yang ketika itu hangat dengan polemik “puisi t__”.

Melepak dengannya, aku mendengar dan mengambil ilmu tentang tafsir tasawuf, tarekat hebat, puisi surealisme dan sufisme, yang ketika itu beliau sibuk dengan kumpulan puisi Tulang. Kami bertelagah dan bertukar pandangan, membelah dan membedah Tulang Pak Suhaimi dengan konsep wadahtul wujud dan doktrin wujudiyyah, alam kharrijah dan alam thabitah.

Yang hidup dimatikan, yang mati dihidupkan. Unsur dari alam. Menulis dari dalam diri dan hati. Unsur dari dalam dibawa keluar. Dari luar dimasukkan ke dalam. Alam ada dalam tiada. Dalam diri dalam hati. Alam wujud dan maujud.

Aku terhukum budi dan terhutang rindu dengan sifu surealisme ini yang menjadikan puisi-puisiku selepas itu terus menyimpang-nyimpang dan panjang-panjang. Banyak yang aku susuri suluk perjalanan metafizikal Pak Suhaimi untuk mencari dan menemui tahap-tahap surealis, sebelum mengerti dan mengenali sifat sufismenya.

Sayangnya, aku dulu yang hilang sebelum ketiadaan Pak Suhaimi.

Lantaran aku juga tetap teringatkan Cikgu Ahmad Razali yang sentiasa memanggil aku dengan nama “Muharam”.

Ketika menyapa dan melintasi bilik-bilik penyair dan karyawan hebat DBP ketika itu, Pak AM Thani, Shamsuddin Jaafar, A Ghani Abdullah, A Rahim Abdullah, Pak Z (Zakaria Ariffin), Pak Hamzah Hamdani, A. Wahab Hamzah, Kak Iti (Siti Zaleha M. Hashim), Abdul Ahmad, dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama).

Selamat menyambut Ulang Tahun ke-69 DBP. Aku tidak lupa dengan jasa gedung indah dan taulan sahabat seni yang masih hidup mahupun yang telah pergi.

Di samping itu, aku ikut mendengar debat sastera Hasni Abas, Jaafar Rahim, Johan Jaaffar, gelagat gelak Sabri Yunus dan ramai lagi sambil melihat senyum sinis Mat Shahidan (Dr. Mohamad Shahidan) dan kadang-kadang ada juga kerut muka Talib Samat di warung corner DBP. Teringat juga Imuda ditahan di tangga pejabat oleh Dato’ Haji Jumaat.

Aku turut berjalan kaki sambil melayan celoteh lawak Jawa Abon dari DBP sampai ke Pudu Raya melalui Petaling Street. Sesekali, aku singgah ke Galeri Artis DBP, menghayati lakaran seni Sabri, Imuda, Gopa (Dr. Abd. Ghafar Bahari) dan lain-lainnya. Kemudiannya, Gopa menghadiahkan aku lakaran abstrak Perempuan dalam Cermin dan Aku dan Asap sebagai tanda perpisahan waktu aku meninggalkan DBP. Ada kalanya aku melayan semangat Mattaib Nordin dengan agenda aspirasi KALAM/RANTAI. Dan kadang-kadang terpaksa singgah mendengar sembang celoteh Kak Yah (Kak Sarah, isteri Johan Jaaffar).

Ada waktunya, aku terpaksa bermalam di rumah bujang untuk menonton teater dan persembahan seni Roslan Madun dengan rebananya, Ladin Nawi dengan “aku tak mau jadi gini” di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP. Dewan yang sentiasa penuh dan meriah dengan acara budaya dan sastera ketika itu. Dan, kami warga DBP, seperti diwajibkan hadir mewakili unit untuk memberikan sokongan sebagai badan penggerak seni, sastera dan budaya.

Dan, hal yang paling aku rindu ialah insan seni ini yang banyak mendorong dan memberikan aku semangat untuk terus berkarya, Sutung Umar RS. Aku tetap teringat bagaimana beliau datang menerpa meja aku dan terus berkata, “Aku nak jadikan kau penyair, aku nak sajak Hari Merdeka bulan Ogos ini, lepas tu kaubaca sajak ni nanti kat Central Market .. DBP buat program merdeka kat situ.”

Sewaktu bengkel penyuntingan ensiklopedia di Awana Genting Highlands.

Dalam keadaan tersentak dan terdesak, aku menulis sajak “waktu dondang lagu luka itu bersenandung”, lantas disiarkan dalam Dewan Budaya Ogos 1989. Dan masih kuingat, pentas di tepi Sungai Klang sebelah Central Market, berkumandang laungan gementar suara sajakku yang pertama kali dibayar sebanyak RM80 pada masa itu. Dan pada masa itulah, Bang Sani Sudin (Kopratasa) tertawakan aku, “Gua gigil tengok lu pakai long sleeve baca sajak bro.” Sampai hari ini, aku tetap teringat dan rindu suara dan gelagat Pak Sutung yang banyak mendorong aku untuk terus menulis dan terus berkarya, selagi hayat dikandung badan.

Barangkali banyak lagi cerita yang serupa dialami dan dilalui oleh para mantan DBP. Yang tinggal nostalgia dan memori, bagaimana bangunan lama DBP (kini Wisma DBP) tersergam indah dengan kemesraan, keakraban, kenangan, kelucuan, dan persahabatan, tanpa mengenal batas dan sempadan kedudukan. Bagaimana riuh dan sinonimnya Balai Budaya Tun Syed Nasir dengan mereka yang bernama insan seni. Kini, DBP menyambut ulang tahun ke 69 dengan menara terserlah megah dengan tingkat-tingkat bertambah yang diharapkan tidak memisahkan kenangan, keakraban, kekerabatan, dan kemesraan mereka yang telah menjadi pujangga tak bersama dan bernama lagi.

Di akhir garisan ini, walaupun ada yang tersenyum mentertawakan aku kerana agak kerdil dengan sejarah kecil aku ini, aku tetap tersenyum kerana kenangan itu terlalu berharga daripada seribu karya yang direka cipta dalam khayalan kita.

Selamat menyambut Ulang Tahun ke-69 DBP. Aku tidak lupa dengan jasa gedung indah dan taulan sahabat seni yang masih hidup mahupun yang telah pergi. Al-Fatihah. Semoga keakraban kerabat karyawan seni, penulis dan penyairnya, dapat dikembalikan dengan tangan terbuka oleh DBP, seperti zaman-zaman yang telah berlalu dahulu.

Orang seni kalau tak jumpa, rindu. Kalau selalu jumpa, macam seteru. Wallahuaklam …

_________________________

M. Said Muharam pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau mula bergiat dalam dunia penulisan awal 1980-an dengan menubuhkan Grupemuisi Setanggi Universiti Malaya. Puisi-puisinya pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1992 dan 1995 dan Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA 1995. M. Said menghasilkan kumpulan puisi Kharmizi (DBP, 1999) yang dianggap oleh Sasterawan Negara Rahman Shaari sebagai karya “tingkat kekomunikatifan satu”. Terkini, beliau hadir dengan kumpulan puisi terbaharu, Sutera Bulan di Mayang Maya (Rimbun Kudos, 2025). 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi