Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Amalan berbomoh dalam drama Suluh Peraba, sebuah naskhah pentas yang diadaptasi oleh Zakaria Ariffin daripada novel Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari ternyata masih berleluasa dengan ayat-ayat al-Quran serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang bercampur aduk dengan mantera.

Permasalahan ini menjadi perbuatan khurafat dan tahyul atas nama rawatan alternatif. Amalan ini dikupas oleh YBrs. Dr. Noor Hidayah Ismail.

Beliau dijemput dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Menurut beliau, pemikiran tentang keupayaan bomoh dalam menyelesaikan pelbagai perkara yang sukar untuk diterangkan secara logik akal telah tertanam begitu lama dalam minda dan jiwa masyarakat Melayu.

Katanya, sama ada berpendidikan, berjawatan tinggi, ahli perniagaan, mahupun suri rumah, mereka tidak terkecuali terlibat dengan bomoh atas kehendak mereka sendiri atau sebab orang lain kerana situasi tertentu.

Dr. Noor Hidayah Ismail (kiri) bersama-sama dengan Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman.

“Hal tersebut secara tidak langsung memberikan mereka pengetahuan dan maklumat berkaitan bomoh dan amalan berbomoh itu,” katanya, yang mewakili pemakalah YBrs. Dr. Fazilah Husin.

Dalam drama Suluh Peraba, beliau menyingkap permasalahan yang terjadi pada watak Asmal yang memulakan ceramahnya dengan mantera, antara dua puisi lama yang Rahman Shaari dapat daripada seorang tua di Perlis sebagai penguat semangat.

Drama Suluh Peraba menampilkan Muhammad Odai dan isterinya Suminee, serta Asmal dan isterinya Zaeemah.

Kedua-dua pasangan ini saling mengenali dan bersahabat. Asmal ialah penceramah motivasi yang sentiasa berusaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya atau keburukan amalan tahyul dan syirik.

Odai juga tidak pernah percayakan bomoh, apatah lagi untuk menggunakan perkhidmatan mereka, tetapi terpalit menggunakan bomoh untuk menyelamatkan diri daripada skandalnya dengan Cik Som, kerani di tempat beliau bertugas.

Asmal dan Odai ialah ahli sebuah persatuan yang menentang hal syirik dan karut, termasuklah amalan berbomoh.

“Data bagi kajian ini ialah kenyataan dan perbincangan yang berkaitan dengan bomoh dan perbomohan daripada drama pentas Suluh Peraba yang skripnya pernah tersiar dalam Dewan Sastera Jun – September 2001, dan dianalisis berdasarkan pendekatan sosiologi sastera,”ujarnya.

Jelas Dr. Noor Hidayah, masyarakat Melayu dalam drama ini digambarkan mudah percaya kepada bomoh walaupun dalam urusan pengubatan, percakapan dan tingkah laku mereka mencurigakan.

“Namun begitu, mereka masih lagi mahu mencuba nasib.”

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi