Oleh S. Syazan
Diterbitkan pada 16 April 2025, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

S. Syazan membaca buku tulisan S.M. Zakir tentang pengarang drama Sasterawan Negara Dato’ Noordin Hassan dan menemui jasa besarnya dalam teater negara.

Tanpa rasa jemu, beliau terus menulis skrip drama pentas tanpa henti bagi mencari rencah yang sesuai agar Malaysia tidak ketandusan penulis yang hebat, setaraf dengan penulis antarabangsa.

Penulis sangat terinspirasi dengan ketokohan Sasterawan Negara Dato’ Noordin Hassan dalam penulisan drama pentas dan pengarahan. Beliau yang merupakan Sasterawan Negara ketujuh memenangi pelbagai anugerah dalam penulisan kreatif dan pementasan teater. Ketika membaca buku Siri Kajian Tokoh dan Karya Pilihan: Noordin Hassan: Jalan Panjang Teater Fitrah hasil penulisan S.M. Zakir telah membuka mata penulis bahawa kehebatan Dato’ Noordin Hassan mencipta nafas baharu dalam pementasan teater di Malaysia.

Beliau berpeluang menambah pengalaman di Kirkby College, Liverpool, England selama dua tahun. Pengajiannya di sana menjadi batu loncatan untuk menggabungkan ilmu pengetahuan seni kreatif dengan pengalamannya di England. Tanpa rasa jemu, beliau terus menulis skrip drama pentas tanpa henti bagi mencari rencah yang sesuai agar Malaysia tidak ketandusan penulis yang hebat, setaraf dengan penulis antarabangsa. Pada permulaan penglibatannya dalam drama pentas ketika era 1950-an sehingga 1970-an, beliau lebih berfokus pada semangat nasionalisme rakyat Malaysia. Sehingga berlaku tragedi berdarah pada 13 Mei 1969, para pengkarya masa itu mengalami masalah untuk melakukan kerja kreatif kerana telah disekat untuk bersuara tentang isu sensitif.

Masa itu, Noordin Hassan sedar, ada sesuatu yang perlu dibuat dalam pementasan teater di Malaysia. Maka, muncul gaya persembahan yang baharu agar dapat disuntik dengan penerapan identiti Melayu. Kejayaannya mementaskan teater Bukan Lalang Ditiup Angin di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI) buat kali pertama selepas tragedi 13 Mei 1969 berlangsung dengan jayanya. Walaupun terdapat unsur yang menyentuh tragedi 13 Mei dalam teater tersebut, tetapi kebanyakan penonton tidak sedar kerana hal itu diselitkan secara simbolik, lebih-lebih lagi untuk menyampaikan semangat keharmonian pada perpaduan kaum yang terjejas teruk ketika itu.

Fazilah Husin dalam Teater Eksperimental Melayu (200&) menyatakan bahawa Noordin Hassan mendapat ilham apabila melakukan pemerhatian terhadap dramatis Barat yang sentiasa mencari jalan untuk menghasilkan teater yang baharu, sama ada merangkumi aspek falsafah mahupun teknik dan bahan.

Beliau berusaha untuk mencipta identiti Malaysia kerana tidak mahu terperangkap dengan konsep absurd dari Barat. Pegangan sentrik Barat yang meruntuhkan nilai moral dan agama yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Jika kita lihat dalam Rukun Negara yang tercipta pada tahun 31 Ogos 1970 telah meletakkan teras panduan kepada masyarakat untuk dipatuhi agar keharmonian perpaduan tetap kukuh. Atas faktor inilah, konsep teater fitrah Noordin tercetus.

Noordin Hassan mula menemui jalannya dengan konsep teater fitrah apabila bertemu dengan Prof. Dr. Baharudin Ahmad sebelum dibawa ke International Institute of Islamic Thought and Civilization atau ISTAC. Pertemuan tanpa disangka telah membuka jalan Noordin untuk pergi ke kuliah yang dijalankan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menjernihkan kegelisahan fikirannya untuk menyelongkar makna diri masyarakat Malaysia dalam konsep teater fitrah. Kehebatan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah memberikan ilham kepadanya agar memperkenalkan konsep Islam al-Din ke dalam konseptual teater fitrah. Sumbangan besar daripada Syed Muhammad Naquib al-Attas ini berjaya membantu agar Noordin dapat membentuk teater fitrah berdasarkan panduan tujuh prinsip kebenaran, iaitu beriman, pengabdian, niat suci, yakin, jiwa universal, cinta, dan ibadah.

Prinsip yang terhasil daripada penegasan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa setiap makhluk ciptaan Allah perlu menepati pola yang tersedia dicipta-Nya, iaitu sesuatu yang wujud semenjak manusia diciptakan. Oleh itu, fitrah merupakan satu hukum yang perlu dipatuhi manusia agar mereka dapat hidup dengan keadaan yang harmoni, manakala bagi manusia yang ingkar dan menentang hukum yang ditetapkan, kehidupan mereka akan menjadi kucar-kacir. Apabila penulis cuba memahami gaya penulisan drama Noordin Hassan, penulis menemui bahan rujukan daripada Abdul Mujid dan Jusuf Mudzajir yang membincangkan pola fitrah berdasarkan pentafsiran al-Quran dan hadis, yang dapat membangunkan beberapa jenis fitrah, dan jenis fitrah ini akan membentuk satu pola fitrah.

Penulis yakin bahawa Noordin Hassan tidak melalui jalan yang mudah untuk mencipta konsep teater fitrah. Beliau perlu melakukan penelitian terhadap perkembangan seniman Barat yang tidak jemu-jemu menghasilkan bentuk baharu dalam teater, sama ada yang berkaitan dengan falsafah atau teknik lakonan. Selepas kejayaan teater Bukan Lalang Ditiup Angin, beliau mementaskan teater Tiang Seri Tegak Berlima yang masih sama mengekalkan unsur simbolik agar memaut penonton agar cuba sedaya upaya mengerah fikir akan makna tersurat dan tersirat dalam pementasannya. Penulis mengetahui, berdasarkan bahan rujukan yang dibaca bahawa Tiang Seri Tegak Berlima merupakan lanjutan daripada drama Bukan Lalang Ditiup Angin apabila Noordin Hassan cuba melakukan satu percubaan menimbulkan unsur keislaman dalam pementasan.

Sebagai graduan teater, penulis menjadikan Noordin Hassan sebagai inspirasi yang mengubah pementasan teater di Malaysia. Setiap penulis juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam setiap karya penulisan yang dihasilkan agar dapat memberikan manfaat kepada pembaca. Penulis berharap agar penggiat teater dapat menyelami dan mengangkat kembali karya agung Noordin Hassan agar dramanya kekal relevan sepanjang zaman.

Beli Noordin Hassan: Jalan Panjang Teater Fitrah di sini.

_________________________

S. Syazan merupakan penulis novel, artikel, skrip pentas, dan skrip animasi. Beliau juga aktif dalam pementasan teater.

Kredit Foto: Adam Yusoff
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi