Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSalah mengeja perkataan tertentu dalam karya kreatif, terutama sajak itu bukan licentia poetica. Raja Yusoff Ariffin mengajak kita membincangkan pelbagai perkara mengenai licentia poetica.
Penyimpangannya hanya diizinkan untuk ayat sahaja, bukan perkataan.
Saya masih mengingati kata-kata penyair terkenal tanah air, yang juga mantan editor majalah Dewan Sastera dan kemudian ruangan sastera akhbar Berita Harian, iaitu Sutung Umar RS (Wan Omar Wan Ahamed) mengenai kecenderungan penyair ketika menulis sajak.
Lebih kurang begini kata Allahyarham: “Penyair boleh melakukan ‘penyimpangan’ dalam perkataan atau ayat sajak mereka, tetapi perlu terlebih dahulu mengetahui apa yang betul. Namun begitu, untuk tidak menyusahkan sesiapa, tulislah yang betul atau yang biasa-biasa sahaja.”
Selain pemahaman sendiri, saya turut mencari beberapa pandangan mengenai licentia poetica. Ada yang mengatakan bahawa kesalahan yang disengajakan dalam sesebuah karya, terutamanya sajak ini disebut sebagai licentia poetica, atau secara umumnya “lesen artistik”.
Ada pula yang mengatakan bahawa licentia poetica ialah kebebasan yang diberikan kepada sasterawan, terutamanya penyair, untuk memanipulasi penggunaan bahasa dan tidak mengikuti tatabahasa yang baku, untuk menimbulkan kesan tertentu dalam karyanya.
Kebebasan ini tidak hanya diberikan kepada penyair sahaja. Cerpenis dan novelis juga berhak mengaplikasikan licentia poetica, asalkan relevan dengan matlamat dan penyampaian idea kepada pembaca karya mereka.
Saya menemui contoh penggunaan licentia poetica dalam sebuah sajak yang berjudul “Di Depan Lemari Pendingin” karya M. Aan Mansyur daripada kumpulan sajaknya, Tidak Ada New York Hari Ini, iaitu: “Ada waktu-waktu tertentu saat langit/melihat semata ada aku berjalan sendiri/ke mana-mana./Aku bicara perihal segala,/tetapi kau tidak mendengar apa-apa./Kau berpikir, tetapi aku tidak bisa merasakan/detak jantungku sendiri./Ada saat kau menemukan cinta/adalah umbi-umbian di lemari pendingin./Mereka tiba-tiba bertunas meskipun sudah/lama lupa rupa dan aroma tanah.”
Sekiranya sajak pendek ini mematuhi peraturan baku penulisan perkataan, maka baris-baris dan baitnya akan tertulis seperti ini: “Ada waktu-waktu tertentu saat langit melihat semata ada aku berjalan sendiri ke mana-mana./Aku bicara perihal segala, tetapi kau tidak mendengar apa-apa./Kau berpikir, tetapi aku tidak bisa merasakan detak jantungku sendiri./Ada saat kau menemukan cinta adalah umbi-umbian di lemari pendingin./Mereka tiba-tiba bertunas meskipun sudah lama lupa rupa dan aroma tanah.”
Dapat dilihat dan dirasai sajak tersebut sangat biasa dan membosankan. Pemotongan perkataan pada perkataan tertentu dilakukan untuk memberikan kesan, menghasilkan cetusan perasaan pada waktu yang tepat. Contohnya pada potongan baris ketiga dan keempat daripada bentuk asal sejak berkenaan: “ke mana-mana./Aku bicara perihal segala,/tetapi kau tidak mendengar apa-apa./Kau”.
Kekecewaan dan terdesaknya penyair dapat dirasakan. Dia telah menyebut pelbagai perkara (macam), dan ke mana-mana (dengan siapa sahaja yang mahu mendengar). Namun demikian, seperti yang diteruskan pada baris keempat, objek yang menerima sajak tidak mendengar apa-apa. Pengakhiran perkataan dengan tanda noktah, yang diteruskan dengan kalimat baharu dengan awalan ‘Kau’ yang mendadak menggambarkan ketidaksabaran penyair. Sama seperti kita yang terlalu marah, kesal, kalut, dan bingung, sehingga ketika menemui perkara yang membuat kita marah/kesal/kalut, kita hanya sanggup berkata: “Kau ….”
Bolak-balik kata-kata, terutama kata-kata majmuk, pada sajak atau pantun untuk menghasilkan irama yang kemas atau kesamaan bunyi (rima), juga ialah contoh penggunaan licentia poetica.
Lihat pula contoh sebuah pantun sederhana, iaitu “Buah durian, buah duku/Ku suka temanku membaca bukuku”, yang akan terdengar lebih menarik jika dituliskan, “Buah duku, buah durian/Ku suka bukuku dibaca teman”.
Perhatikan sebuah lagi pantun: “Rajin kuliah supaya cepat dapat kerja setelah lulus/Terus terang, yang penting cari wang yang banyak”, yang akan lebih kemas dan berima jika dituliskan: “Rajin kuliah supaya cepat dapat kerja setelah lulus/Yang penting cari wang yang banyak, terang terus”.
Pendapat yang lain mengatakan, dengan licentia poetica, penyair boleh menyimpang atau meninggalkan bentuk-bentuk, ataupun aturan yang biasa digunakan. Cuma, bukanlah dengan sewenang-wenangnya. Penyimpangannya hanya diizinkan untuk ayat sahaja, bukan perkataan.
Hal ini merupakan diktum yang konotasinya bermaksud kebebasan menongkah arus nahu dan menyimpangi kegramatisan, atau apa-apa sahaja aspek kebahasaan atas nama pembinaan sajak. Penyair bebas untuk menyimpang daripada bentuk konvensional.
Seperti yang boleh dikaitkan dengan penegasan Sutung, penyimpangan itu dilakukan secara sedar mahupun tidak sedar terhadap morfologi dan sintaksis. Kebebasan puitis memberikan karya ruang yang lebih luas untuk membina, dan membebaskan kata daripada kongkongan pengertian, selain mengembalikan fungsi asalnya yang jernih.
Pembinaan sesebuah sajak sering berkaitan dengan himpunan pengalaman hidup penyair, dan intuisinya terhadap alam. Walau apa-apa pun kritikan terhadap licentia poetica, binaan sajak itu sendiri memang bersifat absurd dan subjektif.
Walaupun licentia poetica tidak melibatkan ejaan, tetapi amat penting bagi penulis mengetahui dan mematuhi rumus yang telah ditetapkan. Ertinya, jangan lakukan kesalahan ejaan sesuka hati.
Justeru, penulis perlu mempelajari dan mengetahui perkara asas seperti ejaan, kerana hal ini tidak hanya membantu mereka, tetapi turut memudahkan editor ketika menyunting karya.
Antara contoh perkataan, ejalah “di atas”, bukan “diatas”; “di luar”, bukan “diluar”; “dikirim”, bukan “di kirim”; dan “ditulis”, bukan “di tulis”. Begitu juga dengan “hati-hati”, bukan “hati hati”; “ramai-ramai”, bukan “ramai ramai”; dan “helai-helai”, bukan “helai helai”.
Allahyarham Kemala yang juga Sasterawan Negara ke-11, turut dikenali sebagai penyair yang memulakan penulisan perkataan berganda menjadi satu. Sebagai contoh, rerumput yang berasal daripada rumput-rumput, rerama (rama-rama), dan kekadang (kadang-kadang). Walau bagaimanapun, ini bukan licentia poetica, dan mana-mana penyair yang turut menggunakannya dalam sajak mereka, tidaklah melakukan pembaharuan.
Penulis jangan memalukan diri sendiri kerana tidak tahu mengeja dengan betul hingga menjadi sindiran masyarakat. Soal ejaan merentasi kreativiti!
Memang kadang-kadang, penulis sengaja “melanggar” kerana mempunyai maksud intrinsik yang sukar difahami oleh khalayak biasa. Ungkapan dalam karya seperti sajak tidak dipertikaikan kerana kreativiti itu ialah hak peribadi.
Kita hanya mempersoalkan ejaan. Penulis jangan memalukan diri sendiri kerana tidak tahu mengeja dengan betul hingga menjadi sindiran masyarakat. Soal ejaan merentasi kreativiti!
Timbul persoalan lain, iaitu adakah struktur sajak menjadi lemah atau pemaknaannya longgar jika tanpa licentia poetica?
Khalayak atau pembaca harus memahami siapakah penyair. Menurut Kamus Merriam-Webster, penyair ialah kelompok yang kreatif serta mempunyai keupayaan imaginasi, ekspresi dan sensitiviti yang istimewa ketimbang khalayak biasa.
Penyair sering berparodi dengan diri sendiri dalam berkarya. Dalam proses ini, tidak dinafikan bahawa ruang kebebasan memerlukan penyampaian kata-kata tanpa sebarang sekatan, ataupun penapisan. Relung rasa penyair tidak semestinya berada pada frekuensi dan ritma yang sama pada setiap masa.
Amplitud juga kadangkala berubah dan mempengaruhi kekuatan puisi yang dihasilkan. Kebebasan dan ekspresi mencipta suasana yang lebih berdampak mempengaruhi intensiti bait-bait sajak yang terhasil.
Ada yang mengambil Emily Dickinson, salah seorang penyair Amerika yang terkenal sebagai contoh. Walaupun jarang-jarang keluar rumah, tetapi karya-karyanya “hidup” dan mampu menyelami gelodak kemanusiaan seolah-olah beliau seorang pengembara masa.
Sajak bukan hanya ditulis untuk dibaca, tetapi juga untuk dideklamasi, dilagukan (lagu puisi) dan dilakonkan (dekon= deklamasi lakon). Jadi, licentia poetica berperanan untuk mewujudkan keharmonian menerusi ekspresi yang “sedondon” dengan sajak yang dicipta.
Namun begitu, jangan lupa bahawa sebebas mana pun penyair menterjemahkan ekspresinya, adalah wajar sajak yang ditukangi masih bertunjangkan nilai dan norma masyarakat semasa. Ertinya, tiada kebebasan yang bersifat mutlak.
Jika unsur ini dipinggirkan, kemurnian sajak akan tertolak, apatah lagi jika memprovokasi atau mencetuskan konflik terhadap jati diri sesuatu kaum, agama atau bangsa.
Meskipun boleh licentia poetica, penyair jangan mementingkan aspek kebebasan ekspresi semata-mata. Justeru, ada ungkapan menjaga “air muka” dalam masyarakat Melayu. “Air muka” bagi masyarakat Melayu bukan sekadar komunikasi, tetapi menjangkau ruang lingkup masa yang lebih panjang. Hal ini bukan setakat cerminan nama baik orang berkenaan sahaja, tetapi juga menunjangi nama ibu bapa, keluarga dan keturunan.
Jangan lupa dalam semua budaya, penggunaan bahasa yang sopan menggambarkan kesantunan penutur atau pengucapan yang baik. Penulis berperanan besar dalam membudayakan konsep kesantunan ini kerana karya-karya mereka pasti mempunyai sesuatu untuk disampaikan kepada khalayak pembaca.
Justeru, saya bersetuju bahawa penggunaan licentia poetica yang menolak, dan meremehkan aspek kesantunan tidak boleh diterima sama sekali. Penggunaan licentia poetica tidak salah selagi kesantunan bahasa dan citra bangsa tetap terpelihara.
Walaupun menulis itu ibadah dan dakwah untuk membentuk pembaca mencintai Allah SWT, tetapi emosi memang ada pasang surutnya, dan kesabaran juga kadang-kadang teruji. Penulis yang bijaksana pasti akan tahu mengurus emosi dengan adil.
Seberapa ketat atau longgar licentia poetica dapat digunakan dalam sesebuah karya hanya tergantung pada konteks karya tersebut, dan siapa yang menikmatinya. Licentia poetica dikatakan akan lebih longgar pada sajak, dan lebih ketat pada beberapa bahagian novel/cerpen. Sebagai contoh, longgar pada dialog dan ketat pada penceritaan.
Semaraknya karya seni dalam sajak, cerpen, novel, mahupun drama memerlukan hubungan yang simbiotik antara ekspresi dengan pemilihan kata. Karya yang baik harus ditanggapi dengan dasar apresiasi sastera yang ampuh.
Setiap penulis ada identitinya masing-masing, dan hal itu tergambar melalui tatabahasa yang digunakan, termasuk tatabahasa yang sengaja dilanggar. Sastera ialah media untuk mengalirkan rasa. Kalau kita berasa terintimidasi kerana karya kita dikritik oleh orang lain, maka tujuan sastera itu tidak tercapai. Licentia poetica bertujuan untuk meneruskan fungsi sastera tetap melangkaui zaman, pelaku dan genre.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).