Diterbitkan pada 11 Julai 2024, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Institut Tun Perak yang berlangsung di Panggung Seri JKKN Negeri Melaka telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama AB Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, malam tadi.

Majlis “Malam Sirih Bertepuk Pinang Menari” bersempena dengan Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan 2024 itu diwarnai dengan pelbagai persembahan kesenian oleh para artis kebudayaan tempatan, antaranya termasuklah persembahan Dondang Sayang Baba Nyonya, Joget Kereta Tolak dan nyanyian lagu-lagu pantun.

YAB Datuk Seri Utama AB Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, ketika menyampaikan ucapan perasmian Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan 2024.

YAB Datuk Seri Utama AB Rauf Yusoh dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa seni warisan pantun ini merupakan genre kesusasteraan Melayu yang berkembang di seluruh Nusantara sejak ratusan tahun dulu. Dalam hal ini, masyarakat seharusnya membudayakan pantun agar tidak ditelan zaman.

“Kini, sebanyak 1914 rangkap pantun yang berkaitan dengan kampung di Melaka, 1251 rangkap pantun sekolah dan 360 rangkap pantun persendirian, manakala sebanyak 303 pantun bagi jabatan dan agensi di Melaka telah berjaya dikumpulkan dan saya juga mewujudkan laman sesawang Gerbang Pantun Melaka untuk memperkasakan dan melestarikan budaya pantun di negeri ini,” kata YAB Datuk Seri Utama AB Rauf Yusoh.

Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, menyampaikan cenderamata kepada YAB Datuk Seri Utama AB Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka dalam majlis tersebut.

Tambah YAB Datuk Seri Utama AB Rauf lagi, pantun menjadi wahana hiburan bagi masyarakat Melayu terdahulu yang dapat dilihat dalam lagu-lagu lama Dondang Sayang, Joget Lambak dan sebagainya. Cerminan budaya dan identiti masyarakat Melayu dalam berkomunikasi dan menyampaikan mesej ini adalah selari dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Kata YAB Datuk Seri Utama AB Rauf,

Saya akan berusaha untuk menyerahkan naskhah pantun klasik lama yang terdapat di Universiti Leiden di Amsterdam kepada Dewan Bahasa dan Pustaka jika berjaya dibawa pulang untuk dicetak semula dan dijadikan warisan kepada anak bangsa kita.

Dalam pada itu, Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa dengan pelibatan banyak pihak untuk memastikan pantun terus dilestarikan, maka DBP akan mengambil tanggungjawab penuh untuk memperkasakan pantun dengan pelbagai bentuk aktiviti dan kerjasama.

Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Salah satu usaha utama konkrit yang dilakukan oleh DBP adalah dengan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dengan mengadakan kolokium yang sangat bermakna ini.”

“Saya memohon agar YAB Ketua Menteri Melaka terus memberikan sokongan dan ruang kepada DBP bagi memastikan Melaka dapat dijadikan sebagai Pusat Pelestarian Pantun, dan DBP turut berusaha memberikan kerjasama terbaik kepada mana-mana pihak dan agensi untuk memperkasakan pantun,” ujar Dr. Hazami.

Pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan dalam Majlis “Malam Sirih Bertepuk Pinang Menari” bersempena dengan Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan 2024.

Majlis “Malam Sirih Bertepuk Pinang Menari” yang berlangsung dengan gilang-gemilang itu turut diwarnai dengan sesi jual beli pantun antara YAB Ketua Menteri Melaka dengan para hadirin yang memenuhi Dewan Seri Panggung, JKKN Melaka. Lebih menarik, hadirin yang berjaya menjawab pantun tersebut diberikan hadiah istimewa daripada YAB Ketua Menteri Melaka.

Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula pada 10 hingga 11 Julai 2024 ini terbahagi kepada tiga sesi pembentangan yang melibatkan para pengkaji, penyelidik dan penggiat seni pantun untuk berkongsi pendapat dan cadangan yang berkaitan dengan pelestarian dan pengembangan pantun di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi