Oleh Harlym Yeo
28 Jun 2022, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Edisi keenam program PEMUISI di DBP bertemakan ‘Puisi Landskap Sanubari’ anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya mengumpulkan 27 orang pemuisi daripada kalangan penggiat seni, penulis, mahasiswa, peminat puisi, dan termasuk Sasterawan Negara ke-15 Dato’ Rahman Shaari yang berlangsung di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.

Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA.

Program itu dirasmikan oleh Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA. Menurut beliau sewaktu berucap merasmikan program tersebut, “puisi mempunyai tugas besar dalam diri seseorang ketika berinteraksi sesama manusia dan alam.”

Tambah beliau, pemuisi bertanggungjawab mengungkapkan puisi ketika segala gejolak berlaku seperti rasuah, integriti pemimpin, dan gejala sosial lain. Pemuisi bukan sahaja merakamkan peristiwa dan mengungkapkan diksi-diksi tetapi juga merupakan pengkritik sosial yang mencipta kemanusiaan.

“Kita puji PEMUISI yang berjaya memasyarakatkan genre puisi melalui program kerjasama dengan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan penyertaan ahli-ahli Rukun Tetangga, termasuk juga mengajak mahasiswa dari Universiti Malaya bersama-sama malam ini,” tambah beliau sambil mengakhiri ucapannya melalui dua rangkap pantun Melayu lama.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim bahawa dalam usaha mendekatkan puisi kepada golongan remaja, PEMUISI telah membentuk Kerabat Remaja PEMUISI. Pada malam itu juga terdapat persembahan daripada kalangan mahasiswa Universiti Malaya yang dipimpin oleh Timbalan Presiden PEMUISI, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman.

Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari.

Menyentuh tentang tema program itu, beliau berkata, “puisi mengekspresikan pemikiran yang membangkitkan perasaan, imaginasi, dan panca indera dalam susunan berirama. Puisi juga merupakan rakaman dan interpretasi pengalaman hidup manusiawi yang digubah dan diadun menjadi bait-bait indah dan berkesan”.

Puisi lazimnya berubah mengikut perkembangan evolusi, selera serta perubahan konsep estetika manusia. Selain itu, pandangan hidup, renungan, pemikiran, perasaan atau emosi antara perkara yang mempengaruhi pembangunan puisi,” jelasnya lagi

Program pada malam itu menyaksikan lebih ramai wajah baharu yang berpotensi tinggi tampil membuat persembahan sekali gus menepati matlamat penganjuran untuk merakyatkan puisi dalam kalangan masyarakat.

Antara yang hadir menyemarakkan lagi majlis dengan persembahan mereka ialah Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, Kapten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ismail Ahmed @ Adiwangsa Sukma, Ketua Biro Komunikasi dan Media Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Letfee Ahmad, Penysarah UiTM, Dr. Zainatul Shuhaida Ab. Rahman, Deklamator Kebangsaan, Azamin Itam, Exco PEMUISI, Harlym Yeo, Maslinah Yusoff, Jejaka Bitara, Norlizah Mohd Yassinta, Nor Azmi, Nurul Insyirah Bt Muhammad, Lim Ah Nee, Bard Puisi, Dang Merduwati, Nursyamimi Bt Saleh, Noorhafizah Jamaluddin, Mohamad Suwarno Bin Kosnon, Noraziam Hamzah, Nurul Aiza Bukhari, Shafiqa Amiera Bt Donya, Bunga Merah, Dani dan lain-lain.

Istimewanya dalam majlis kali ini ialah kehadiran Dato’ Rahman Shaari iaitu Sasterawan Negara ke-15. Beliau julung-julung kalinya tampil membuat persembahan dalam acara baca puisi setelah bergelar SN. Beliau juga turut memberi ulasan ringkas tentang sajak yang dideklamasikannya berjudul ‘Sengsara’.

Edisi ketujuh program PEMUISI di DBP dijangka akan bersiaran pada 30 Julai, Sabtu di DBP yang juga turut disiarkan dalam media sosial DBP dan FB PEMUISI BERKARYA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.