Oleh Nor Asiya Nasir
29 Mac 2022, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Penglibatan tokoh bukan dalam kalangan sasterawan menerusi program PEMUISI DI DBP membolehkan khalayak sastera dikembangkan serta pada masa yang sama bahasa Melayu dapat ditingkatkan melalui bacaan puisi di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa,” ujar Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim dalam Program PEMUISI DI DBP kali ketiga, di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 26 Mac 2022 yang lalu.

Program tersebut menampilkan tetamu khas, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk (Dr.) Hussamuddin Hj Yaacob yang merasmikan program kali ini. Beliau juga turut melancarkan buku baharu, Antologi Puisi Artistik Pohon Merdeka yang merupakan Teks Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM), terbitan PEMUISI.

Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim juga turut menyentuh pemilihan tema program iaitu “Ikhlas Hati, Bahagia Menanti”. Berikut merupakan kupasan ringkas terhadap tema program tersebut.

Sifat ikhlas di dalam diri kita akan menjadikan kita seorang insan yang sentiasa bermuhasabah diri, menginsafi diri sebagai makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT dan tanggungjawab utama kita terhadap Ilahi. Dengan sifat ikhlas itu, kita dapat menjauhkan diri daripada perbuatan jahat dan tidak baik seperti rasuah, penyelewengan kuasa, mencuri, merompak dan sebagainya.

Datuk (Dr.) Hussamuddin Hj Yaacob melancarkan buku Antologi Puisi Artistik Pohon Merdeka terbitan PEMUISI.

Berkenaan buku Antologi Puisi Artistik Pohon Merdeka, beliau turut menambah selaras dengan sambutan baik yang diterima dalam kalangan para pemuisi dan deklamator di seluruh negara, PEMUISI telah mengemas kini format dan kaedah pertandingan agar SDPAHM anjuran PEMUISI dengan kerjasama DBP yang akan memasuki tahun ketiga pada 15 September nanti muncul sebagai sayembara yang berprestij di Malaysia.

“Baru-baru ini, satu jawatankuasa dibentuk bagi mengkaji semula buku antologi yang menjadi teks pertandingan. Hasilnya, pada malam ini teks baharu berjudul Antologi Puisi Artistik Pohon Merdeka telah berjaya diterbitkan. Seramai 45 puisi nukilan 45 pemuisi baru dan mapan, termasuk Sasterawan Negara (SN) telah mengisi ruangan buku tersebut”, katanya lagi.

Dato’ (Dr.) Hussamuddin Hj Yaacob dalam ucapan perasmiannya menyeru para pemuisi bangkit menyelamatkan negara dengan melahirkan karya yang memberikan kesedaran serta mengangkat kembali nilai moral bangsa Malaysia.

Kita harus bangkitkan kembali kesedaran bangsa Malaysia tentang sistem nilai yang sudah runtuh. Pemuisi perlu lahirkan sajak yang boleh membakar semangat persis sewaktu negara menuntut kemerdekaan dahulu. Perkara ini bukan kebetulan, sebaliknya merupakan aturan Allah SWT untuk orang seperti saya datang dan bercakap dengan pemuisi pada hari ini untuk mengubah rentak puisi (berkonsepkan) perang terhadap nilai moral bangsa yang rendah.

Dalam acara yang berlangsung dua jam itu, seramai 23 orang pemuisi telah mengambil bahagian melontarkan vokal menerusi persembahan deklamasi dan lagu puisi. Antara yang membuat persembahan secara dalam talian ialah rakan kerabat PEMUISI Indonesia, Ibu Lily Multuliana Sutan Iskandar. Dalam kalangan pemuisi tanah air pula ialah SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh, SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan Dato’ Profesor Dr. Hashim Yaacob.

Manakala antara yang membuat persembahan secara maya ialah Ahmad Harun, Dr. Ibrahim Ghafar, Maslinah Yusof, Dr. Ahmad Ibrahin (FDAM), Muhamad Zaini Hassan (FDAM, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman (Timbalam Presiden PEMUISI), Adik Mawaddah Marzelan, Dani, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim@Wanrazuhar (Presiden PEMUISI), Dato’ Radzuan Abdullah (Exco PEMUISI), Diani Julia Ikin,Adini Ismail, Man Bakri, Noor Hasmah, Dr. Azlan Raymond Majumah, Prof. Mayda Dr. Noor Hasimah Ismail, Shareezad Satad dan Hasany Hashim.

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.