26 Februari 2022, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menurut Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, terdapat karya sastera tempatan, khususnya daripada penulis muda yang bermutu dan sangat baik nilainya. Keberadaan mereka yang kini sedang giat berkarya dengan berani dan penuh puitis akan mampu menembusi sempadan dunia sastera Asia Tenggara.

Beliau ujarkan kenyataan itu dalam ucapan perasmiannya bagi Majlis Pelancaran Buku Puisi Terbaharu Kata-Pilar Books 2022 yang dilangsungkan di Pasar Seni Kuala Lumpur, bersempena Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2022 semalam.

Sasterawan Negara itu turut meletakkan harapan tinggi terhadap peranan rumah penerbitan tanah air yang komited dalam mengeluarkan buku penuh bermutu dan berkualiti. Ujar beliau, “Pada masa penerbit gergasi berasa seram sejuk untuk terbitkan buku puisi, Kata-Pilar Books berani menerbitkan bukan satu, tetapi enam buah kumpulan puisi.”

“Sungguhpun perkembangan industri buku negara agak perlahan, ditekan oleh ekonomi dan zaman digital, hayat industri buku kita terus dipanjangkan oleh penerbit-penerbit yang komited. Kerana dengan adanya usaha andalah, industri buku negara dan penerbitan bahan penulisan ini akan terus menyemarakkan dunia sastera hari ini.”

Apabila mengamati enam judul Kata-Pilar dalam pelancaran itu, iaitu Mata Penceroboh oleh Daniyal Kadir, Pada Malam Tak Boleh Tidur oleh Aliff Awan, Aku Mahu Jadi Bandar yang Kaulipat ke dalam Dompetmu oleh Lokman Hakim, Bara Hujan oleh Rudi Mahmood, Daftar Mimpi oleh Abdullah Hussaini, dan Kata-kata yang Muncul di Cermin oleh Hidayah AT Mizi, beliau dapat mengesan bakat-bakat dalam keenam-enam penulis ini mempunyai deria puitis yang sangat menarik.

Apabila memerhati kembali era awal penapakannya sebagai penulis, Anwar Ridhwan sendiri menyaksikan bagaimana sejarah berjalan dan melupakan beberapa penyair yang dahulu aktif berkarya. Hanya sejumlah kecil sahaja para penyair zamannya yang kekal dikenali oleh khalayak hari ini. Hal utamanya kerana ciptaan puisi mereka yang hebat dan usaha mereka untuk terus berkarya.

“Saya harap anda (enam penulis pada majlis pelancaran) akan kekal dalam medan puisi tanah air, mahupun hingga 30 ke 40 tahun akan datang,” ujar Anwar Ridhwan.

Menerusi ucapan itu juga, beliau meluahkan keyakinan dengan keberadaan puisi dalam kalangan khalayak. Ujarnya, puisi masih diminati ramai, susulan itu buku-buku puisi masih dapat dijual dengan pendekatan pemasaran yang tertentu. Ditambah dengan kemampuan karyawan muda hari ini; khususnya penulis Kata-Pilar Books yang dianggap oleh beliau sebagai digital native, beliau mengharapkan pihak kerajaan Malaysia juga turut komited dalam usaha mengembangkan kemajuan sastera negara.

“Puisi merupakan kandungan kreatif, sebagaimana karya sastera yang lain seperti cerpen, novel dan drama. Kita maklum bahawa pada masa ini, kerajaan memberikan Dana Kandungan Digital yang disalurkan kepada FINAS untuk membantu para penggiat industri untuk menghasilkan karya yang bermutu.

“Maka, saya merayu kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kerana DBP ialah institusi yang diamanahkan untuk membina dan mengembangkan sastera kebangsaan, sekiranya belum membuat permohonan, untuk memohon ‘Dana Kandungan Kreatif’ daripada pihak Kerajaan Malaysia, sebagai pelan untuk mengembangkan sastera negara,” jelas sasterawan itu.

“Dana Kandungan Kreatif” maksud Anwar Ridhwan ini dicadangkan untuk membantu melahirkan generasi sastera yang kuat jiwa sasteranya serta membantu para penulis yang berbakat untuk menghasilkan karya seperti kumpulan cerpen, kumpulan puisi, novel, dan drama panjang bermutu.

“Jika puluhan juta ringgit dapat disalurkan kepada sukan bola sepak, dan saya tidak menidakkan usaha itu, malah kita mesti berani bermimpi untuk mengangkat bola sepak negara ke peringkat antarabangsa. Maka oleh itu, dalam masa yang sama, saya merayu pada pihak Kerajaan Malaysia supaya berilah dana yang tinggi pada usaha pengantarabangsaan sastera kita, melalui penterjemahan dan pengantarabangsaan secara realistik.”

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa banyak karya penulis muda tanah air yang beliau baca, jelas ada nilai yang bermutu. Malah, nilai sasteranya berada pada tahap sastera antarabangsa. Namun begitu, usaha untuk menterjemahkannya sangat kurang. Beliau menekankan, “Sudah tiba masanya program penterjemahan karya sastera kita kepada pelbagai bahasa dunia dilakukan secara agresif.”

“Saya percaya, jika usaha ini dilakukan, dalam masa yang terdekat, sastera tanah air kita akan melepasi sempadan Asia Tenggara, menembus sastera Asia dan melangkaui sampai ke peringkat antarabangsa,” jelas Anwar Ridhwan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.