28 Jun 2021, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Memilih padanan diksi yang dekat untuk produk seni, seperti puisi, prosa, lirik lagu, sari kata, drama, skrip drama pentas, drama radio, drama televisyen, iklan, poster, atau jenama barangan, menuntut kebijaksanaan, imaginasi dan daya kreativiti yang tinggi. Ciptaan seni sarat dengan unsur perlambangan, gaya bahasa dan bahasa figuratif yang membawa makna polisemi. Diksi dalam seni kreatif menggunakan bahasa konotatif demi menghidupkan nilai ekspresif, estetik, afektif dan emotif sesuatu bahan atau produk. Menterjemahkan produk seni dengan memilih padanan diksi yang memiliki kesamaan nilai emotif, afektif, makna, rona, dan nilai-nilai estetika dalam budaya bahasa sasaran sering menjadi cabaran kepada penterjemah kerana setiap bahasa memiliki sintaksis, morfologi, semantik, stilistik, bahasa figuratif, kiasan, perlambangan, budaya, dan rona yang berbeza untuk mengungkapkan keindahan pemikiran dan keestetikaannya.

Menyedari akan kesukaran yang sering dihadapi oleh para penterjemah memindahkan kreativiti daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran secara asli dan sejadi, maka Persatuan Penterjemah Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (PPM-DBP) telah mengorak langkah positif dengan menganjurkan bengkel Kursus Intensif Penterjemahan Kreatif secara dalam talian selama dua hari, yakni pada 26 dan 27 Jun 2021 dari pukul 9.00 pagi hingga 5.30 petang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta kursus dalam terjemahan kreatif.

Seramai 17 orang peserta daripada pelbagai peringkat usia, latar pendidikan dan kerjaya telah menyertai kursus ini yang dikendalikan melalui pelantar Google Meet oleh Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dan Fatimah Zainal secara bergilir-gilir selama dua hari.

Sesi kursus dijalankan secara dalam talian.

Matlamat utama penganjuran Kursus Intensif Penterjemahan Kreatif bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta tentang teori, konsep, kaedah dan pendekatan yang lazim digunakan dalam penterjemahan kreatif. Para peserta didedahkan dengan bentuk kata, ujaran konotatif, gaya kreatif, budaya beraneka, rona berbeza dan citra beragam yang lazim ditemukan dalam teks dan produk kreatif. Mereka dibimbing secara intensif untuk menghasilkan seni terjemahan yang berkualiti dengan cepat dan tepat dalam bahasa sasaran.

Penterjemahan kreatif merupakan suatu inovasi dalam seni penterjemahan yang menggabungkan elemen kreativiti dan strategi untuk melahirkan terjemahan sejadi yang kreatif, estetik, beritma, dengan sentuhan muzikaliti yang tinggi dalam bahasa sasaran. Penterjemah boleh memanfaatkan pelbagai strategi penterjemahan, termasuk adaptasi, modulasi, transposisi, neutralisasi, naturalisasi, dan transkreasi, untuk menghasilkan seni terjemahan yang estetik dan inovatif dalam bahasa sasaran.

Penterjemahan kreatif tidak terbatas pada genre sastera sahaja. Rekayasa ini digunakan secara meluas dalam bidang pengiklanan, pemasaran, penciptaan lirik lagu, produk komersial, dan jenama barangan untuk mempromosikan hasil seni di pasaran antarabangsa. Pelbagai aspek dititikberatkan selain diksi seperti cita rasa, rona dan budaya eksklusif sesuatu bangsa agar produk seni tersebut boleh menembus pasaran global, memancing minat pelanggan, dan seterusnya melariskan produk seni merentas sempadan bahasa, bangsa, agama dan negara.

Tuntasnya, produk seni yang sarat daya cipta estetik menuntut sentuhan terjemahan yang kreatif dan inovatif untuk membangkitkan emosi pembaca atau pelanggan yang memiliki latar budaya, agama, bahasa dan bangsa yang berbeza. Kursus selama dua hari ini telah menggabungkan strategi, kreativiti, imaginasi dan transkreasi yang berbeza dan berjaya melahirkan suatu bentuk seni terjemahan inovatif dan kreatif estetik yang bersesuaian dengan budaya dan norma masyarakat tempatan dan antarabangsa dalam bidang penterjemahan kreatif.

Program-program penterjemahan boleh diikuti di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.