11 Jun 2021, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Manuskrip Alam Melayu ialah naskhah tulisan tangan yang menghimpunkan ilmu pengetahuan orang-orang lama. Manuskrip ini ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi. Dianggarkan penemuan manuskrip Alam Melayu sekitar abad ke-14 hingga abad ke-19 Masihi dan pendapat lain menyatakan penemuannya pada abad ke-16 hingga abad ke-20 Masihi.

Kali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menampilkan Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad sebagai panel jemputan dalam rancangan Yang Lama Dijunjung “Manuskrip Alaf Baharu”, pada 9 Jun 2021 melalui Studio Media Sosial DBP.

Keunikan penghasilan manuskrip Melayu bukan sahaja daripada kertas bahkan terdapat juga daripada daun lontar, kulit binatang dan buluh. Hal ini membuktikan bahawa kecintaan dan kegigihan masyarakat Melayu terdahulu mendokumentasikan ilmu dan pemikiran bangsa Melayu. Sayangnya, Malaysia masih ketinggalan dalam pengkajian manuskrip Alam Melayu jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Eropah, seperti Belanda, United Kingdom dan Rusia.

Manuskrip Alam Melayu bertebaran di serata dunia dan masih dipelihara dengan begitu baik. Kedapatan sebanyak 20 ribu buah manuskrip yang berada di luar negara menuntut untuk dikaji. Penjajahan merupakan faktor utama manuskrip Melayu dibawa keluar dari Malaysia. Pun demikian, ada juga usaha daripada orang-orang Barat pada zaman dahulu yang sangat mencintai manuskrip Melayu, sehingga bergolok-gadai mengupah orang tempatan untuk menyalin semula manuskrip-manuskrip tersebut, lalu dibawa pulang ke negara mereka. Manuskrip-manuskrip Melayu juga sering dijadikan sebagai hadiah pada ketika itu. Lantaran itu, tidak hairanlah manuskrip tersebut berada di negara-negara luar.

Dr. Salmah menjelaskan, risiko-risiko kerosakan ialah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pencinta manuskrip sekiranya usaha-usaha menanganinya tidak dilakukan. Hal ini demikian kerana, manuskrip yang dihasilkan daripada daun lontar dan buluh misalnya, tidak tahan pada serangan serangga dan cuaca. Kenyataan yang dikemukakan ini berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang berkunjung ke Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda semasa membuat penyelidikan.

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad

Dr. Salmah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Rafiq Rahman selaku moderator program bahawa cabaran paling utama bagi pengkajian manuskrip-manuskrip Melayu ialah kelemahan menguasai tulisan Jawi. Jenis tulisan dan gaya bahasanya menuntut seseorang pengkaji mengetahui ilmu transliterasi, iaitu suatu ilmu dalam bidang filologi untuk melakukan sesuatu kajian. Kos yang tinggi juga merupakan salah satu cabaran yang sering melunturkan semangat masyarakat ataupun penyelidik, khususnya untuk mendalami manuskrip-manuskrip Alam Melayu.

Namun demikian, semangat perlu ditekalkan agar manuskrip-manuskrip Melayu tidak dipandang sepi. Tambahan pula, dalam dunia moden kini, telah giat dijalankan usaha-usaha mendigitalkan manuskrip Alam Melayu. Perpustakaan British misalnya, telahpun mendigitalkan hampir kesemua manuskrip Melayu dalam koleksi simpanan mereka. Disamping itu, Perpustakaan Universiti Leiden dan School of Oriental and African Studies, London juga turut menjalankan usaha ini. Meskipun kos pendigitalan menelan belanja sebanyak 1 Euro per halaman, namun usaha ini amat berbaloi untuk meneruskan pengkajian dan memastikan manuskrip-manuskrip dapat dipulihara.

Perkembangan manuskrip alaf baharu turut merentas sosial media apabila Ybhg. Datuk Dr. Annabel Teh Gallop, Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa Manuskrip Alam Melayu memperkenalkan manuskrip-manuskrip Alam Melayu di Facebook dan Twitter. Dr. Annabel turut membawa pendekatan animasi dan videografik dalam laman Twitter bagi menarik minat anak-anak muda untuk mendekati dunia manuskrip Alam Melayu. Di Malaysia juga, usaha ini telah dilakukan oleh beberapa buah universiti, Yayasan Warisan Johor misalnya, menerusi Koleksi Artifak di Youtube.

Apabila melihat pada cabaran pendigitalan manuskrip alaf baharu, perlu ada kolaborasi daripada pelbagai pihak, khususnya kerajaan untuk menyokong dan menampung kos yang tinggi ini. Pihak swasta dan individu yang berkemampuan juga turut digalakkan mengambil tempat untuk menyemarakkan dunia pendigitalan manuskrip. Lantaran itu, generasi kini dapat meneruskan legasi kecintaan terhadap manuskrip kerana pendigitalan manuskrip lebih mudah diakses di mana-mana sahaja secara dalam talian.

Siaran Yang Lama Dijunjung tersebut boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.