Diterbitkan pada 8 Mei 2026, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Sarjana dan pengkaji sastera, Che Abdullah Che Ya, 60 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.08 pagi tadi di Hospital Kajang seperti yang dimaklumkan oleh anak sulung Allahyarham.

Allahyarham sebelum ini telah dimasukkan ke Hospital Kajang pada 4 Mei 2026 akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA-MELAYU), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Che Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Che Lah dalam kalangan kawan-kawan dan anak didik sebelum ini pernah terlibat sebagai panel penilai dan hakim Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Semasa hayatnya, beliau banyak menyumbang kepada dunia kritikan dan kajian sastera di Malaysia dengan membentangkan kertas kerja dan menghasilkan makalah serta turut menulis esei kritikan cerpen untuk majalah Dewan Sastera.

Antara buku kajian yang pernah beliau hasilkan ialah Novel-novel Alaf Baru: Pembangunan Negara Malaysia yang Menjadi Impian Pengarang Muda Malaysia (2007), Manusia dan Kuasa: Melihat Hubungan Sastera dan Politik (2009) dan Novel Berunsur Politik Kenegaraan Malaysia dan Indonesia (2016).

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, sebelum dibawa ke Masjid UKM untuk disolatkan selepas selesai solat Jumaat hari ini.

Pengebumian Allahyarham dijadualkan sekitar jam 2.15 petang di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), Kajang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi