Diterbitkan pada 21 April 2026, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Naskhah Pohon Kebaikan Peradaban Fadilah, himpunan puisi tentang semangat dan peradaban Islam oleh Wan Mohd. Nor Wan Daud, meskipun bukan puisi sepertimana yang lazim ditemui dalam genre sastera, sebaliknya menampilkan puisi tentang amanat atau pesan mengenai Islam yang bernilai tinggi.

Pengarang Berita BH, Sdr. Mohd Nazmi Yaakub ketika tampil sebagai panel membicarakan naskhah itu menerusi acara Bicara Buku yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Pelita Dhihin, 19 April lalu, menyifatkan naskhah ini hadir sesuai dengan cabaran masa kini yang hebat.

Beliau menyifatkan dalam konteks semasa, sesiapa yang menimba ilmu yang benar dengan guru yang benar juga merupakan suatu nikmat.

“Apabila dibaca, naskhah ini menampilkan keutuhan dari segi makna dan bentuknya, apatah lagi ada pengaruh puisi lama, misalnya puisi ‘Buai Laju-laju’ yang diolah oleh pengarangnya secara kreatif.

“Kadangkala dalam konteks sastera Malaysia, ada (karya) yang terlalu berlebih-lebihan atau hanya berlegar pada aspek seronok saja, tetapi bukan Pohon Kebaikan Peradaban Fadilah yang seimbang luaran dan dalamannya,” katanya dalam acara yang dimudahcarakan oleh moderator, Sdr. Haerul Anwar.

Katanya, dari sudut makna, naskhah ini memang hebat dengan kedudukan pengarangnya sendiri, selain isi yang dibawakan.

Tambahnya, gaya penulisan pengarangnya juga ditampilkan dengan bahasa yang tertib dan bermakna, sambil mengangkat kembali semangat peradaban Islam yang berakar daripada wahyu serta berkembang melalui kekuatan ilmu, adab dan kesungguhan insan sepanjang zaman.

Katanya, naskhah itu turut merakamkan denyut nadi peradaban Islam yang merangkumi keindahan akhlak, keluasan ilmu, kekuatan rohani, serta aspirasi memakmurkan dunia dengan nilai kebaikan.

Pendekatan itu tegasnya, bukan sekadar mengimbau kegemilangan lalu, sebaliknya berperanan sebagai suntikan jiwa untuk menyegarkan kembali tradisi keilmuan dan adab yang kian terpinggir.

Beli Pohon Kebaikan Peradaban Fadilah di sini.

Kredit Foto: Pelita Dhihin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi