Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 26 September 2025, 07:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marsli N.O mengingatkan dirinya sendiri agar tidak terjerumus dengan hasutan nafsu amarah sendiri apabila meniti jalan penulisan.

Kerana alpa dan terpengaruh dengan nafsu amarah juga, sering juga berlaku penganjuran sesuatu acara memenangkan kaum kerabat atau orang terdekat dengan penilai atau panelnya sendiri, walau pada hakikatnya masih ada calon yang lebih layak.

Oleh sebab dianugerahi nafsu, kita manusia diberikan Tuhan rasa dan keinginan yang membeludak untuk mendapatkan sesuatu. Nafsu ini, yang terbahagi kepada tujuh tingkat tersebut, perlu sentiasa dikawal dan dijauhi, terutamanya tahap yang paling rendah dan jahat serta perlu dijauhi, iaitu nafsu amarah atau nafsu ammarah.

Sebagai seorang yang dianugerahi Tuhan bakat dan kebolehan untuk menulis, penulis juga memiliki nafsu. Namun begitu, nafsu dan bakat yang dianugerahi Tuhan kepada dirinya itu sewajarnya sentiasa dikawal dan memanfaatkan sebaik yang mungkin.

Sebagai insan yang tahu dan kenal hakikat sebenar keberadaan dirinya di dunia yang fana ini, bakat dan kebolehan yang dianugerahi Tuhan kepada dirinya itu tidak boleh tidak merupakan satu tugas dan amanah yang perlu dipikul serta ditunaikan sebaik yang mungkin.

Namun begitu, sebagai manusia biasa yang tidak sunyi berbuat silap dan tersasar, tidak setiap waktu kewajaran itu dipatuhi. Ada waktunya, kerana alpa dan godaan nafsu amarah, tugas dan peranan dirinya sebagai penulis yang sebenarnya dilupai.

Sebagai penulis yang semestinya melahirkan dan menyebarkan karya yang mampu mendatangkan rasa insaf dan tawaduk demi mendidik jiwa manusia yang membaca karyanya, kini berubah melahirkan karya demi karya yang berkiblatkan hedonisme semata-mata.

Kini dalam jiwa dan dirinya, yang dijadikan matlamat ialah populariti karya serta keuntungan material. Setiap waktu, yang sentiasa berlegar dalam fikirannya ialah helah dan upaya untuk terus mempopularkan hasil karyanya yang berkiblatkan hedonisme itu, yang natijahnya tidak lain adalah untuk keuntungan dan ganjaran kewangan.

Alpa, didorong dan terpengaruh dengan nafsu amarah juga menjadikan sikap haloba serta tamak menimbun dalam dirinya. Ketika dirinya sebagai penulis diberikan ruang dan peluang untuk memimpin sesebuah persatuan penulis, di situ jugalah dia melihat peluang dan kesempatan untuk mengaut sesuatu keuntungan dalam bentuk kewangan untuk dirinya sendiri mahupun kelompok yang bersekongkol dengannya.

Tambahan apabila dalam sesebuah persatuan penulis tersebut dimonopoli oleh ahli jawatankuasa pentadbirannya yang juga tidak amanah, maka semakin berleluasalah penyelewengan, sama ada dalam bentuk penyelewengan dan penganjuran sesuatu acara.

Untuk sesuatu kegiatan dan acara, sebagai contohnya, kertas kerja untuk memohon dana bantuan kepada pihak berwajib dengan sengaja dilebihkan nilai anggaran perbelanjaannya atas alasan “kenaikan di luar jangka”.

Setelah acara berakhir dan segala bil seperti butiran perbelanjaan dalam kertas kerja projek telah dilunaskan, segala lebihan kewangan yang ada akan mengalir pula ke dalam poket pengurus projek serta konco-konco yang bersekongkol dengan dirinya.

Kerana alpa dan terpengaruh dengan nafsu amarah juga, sering juga berlaku penganjuran sesuatu acara memenangkan kaum kerabat atau orang terdekat dengan penilai atau panelnya sendiri, walau pada hakikatnya masih ada calon yang lebih layak.

Segala tindakan mesum ini berulang dan terus berulang. Seolah-olah para pelakunya tiada sedikit pun memiliki rasa silu atau takut dan insaf pada pembalasan kemudian hari, atau setidak-tidaknya memikirkan, betapa yang diselewengkan itu ialah wang atau dana milik negara dan rakyat.

Jika pun bukan kerana dorongan materialisme menyesatkan dan melencongkan niat mula yang baik dan murni dalam dirinya sebagai seorang penulis, nafsu amarah yang menumbuhkan rasa hasad dan sombong dalam diri seorang penulis juga turut menggerhanakan niat awal yang murni dan suci tersebut.

Akan tetapi sesiapa pun, tanpa rasa jujur dan ikhlas, tidak akan mampu melahirkan sebarang karya yang hebat dan bermutu jika sekadar hanya berselindung di sebalik kata-kata hikmat seorang tersohor yang menjadi pujaan dan pautannya sekian lama.

Sebagai seorang penulis, pada zahir atau permukaannya, dirinya tetap dan terus berkarya, walau tidak segencar peringkat awal dan pertengahan kemunculan dirinya dahulu.

Namun sebagai seorang penulis yang kian memasuki usia tua atau lama, secara diam-diam dirinya berasa “kurang selesa” dengan kemunculan semakin ramai penulis yang lebih muda atau apabila melihat rakan-rakan penulis yang sebaya dengan dirinya masih tetap gencar menulis dan terus menulis, malah kerap pula meraih pelbagai anugerah sastera dan penulisan.

Teralpa dan didorong oleh rasa tercabar dan hasad dalam dirinya, diusahakan pelbagai tingkah dan helah yang berselindung di sebalik topeng dirinya sebagai seorang penulis.

Antara lain, untuk masih menampakkan betapa diri dan karyanya masih hebat, sering kali dia memetik pelbagai kata-kata hikmat seorang penulis lain yang lebih tersohor sebagai penguat hujah atau penambah ramuan “kehebatan” dalam karyanya.

Kadangkala, untuk memberikan sesuatu komen yang tujuannya adalah untuk menyindir serta menunjukkan kebodohan seseorang lain yang menulis, dipergunakan juga teknik ini.

Supaya dengan cara demikian, komen yang diberikan agar kelihatan kukuh dan disokong pula dengan hujah padu daripada pendapat seorang penulis lain yang lebih hebat dan terkenal.

Akan tetapi sesiapa pun, tanpa rasa jujur dan ikhlas, tidak akan mampu melahirkan sebarang karya yang hebat dan bermutu jika sekadar hanya berselindung di sebalik kata-kata hikmat seorang tersohor yang menjadi pujaan dan pautannya sekian lama.

Apatah lagi jika kerana nafsu amarah yang mendorongkan rasa hasad dan dengki dalam dirinya, sanggup pula seorang penulis bersusah payah menyebarkan fitnah memburukkan peribadi dan karya penulis yang kurang “disenanginya”.

Malah, lebih ekstrem lagi, ada pula yang sanggup singgah ke pejabat editor atau pengendali majalah tertentu, bertanya dan mempertikaikan kewajaran penyiaran sesuatu karya seorang penulis tertentu yang juga kurang “disenanginya”.

Benar. Seorang yang sedemikian ini mungkin satu waktu dahulu juga pernah menulis dan pernah meraih pelbagai hadiah dan anugerah. Namun kerana pada waktu sama dirinya yang juga seorang “pegawai” dan semakin lama semakin menjadi sibuk serta seronok di dunia pegawainya, kegiatan menulisnya sedikit demi sedikit diabaikan dan dilupakan.

Akhirnya, dia sekadar mampu berbangga dan mengakhiri hidupnya cuma sebagai seorang “pegawai” dan dunia menulisnya sekadar menjadi dunia masa silam.

Demikian juga jika dirinya pada suatu waktu pernah bergelar seorang tokoh dalam bidang apa-apa pun. Gelaran dan ketokohan dirinya itu juga sekadar menjadi “sejarah” jika sebagai seorang penulis dibiarkan dirinya terus alpa dan terpedaya dengan nafsu amarahnya.

Kesimpulannya, walaupun tugas seorang penulis yang benar dan sejati tidak pernah berakhir, namun tatkala dirinya dibiarkan terus alpa dan terpesong kerana nafsu amarah, betapa pun cuba diselindungkan kekurangan dan ketidakmampuan dirinya untuk terus menulis dengan pelbagai helah dan tingkah yang tidak sewajarnya, kelemahan itu akhirnya akan tetap zahir dan kelihatan juga.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Reaksi

Penulis dan Gua

10 Julai 2026, 08:45