Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Apabila membincangkan Sasterawan Negeri Kelantan, Dr. Fatimah Busu, memang sukar untuk memfokuskan hanya pada karya-karyanya sahaja, sebaliknya beliau turut menyeret isu kontroversi yang menyelubunginya.

Hal ini termasuklah penolakannya terhadap pengiktirafan SEA Write Award 2005 yang diberikan oleh kerajaan Thailand sebagai tanda protes atas layanan mereka terhadap warga Takbai ketika itu.

Dr. Fatimah Busu.

Begitu juga mengenai “keciciran” namanya sebagai pemenang SEA Write untuk tahun-tahun berikutnya dan Anugerah Sastera Negara (ASN).

Hal itu turut diulas sepintas lalu semasa Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Kelantan, Dr. Fatimah Busu sempena Perkampungan Penulis Wilayah Timur yang diadakan pada 3 hingga 5 Julai 2025.

Dalam seminar yang menampilkan panel Dr. Abang Patdeli Abang Abang Muhi, Dr. Norhayati Ab Rahman dan Dr. Maharam Mamat petang semalam, Abang Patdeli menerusi perkongsiannya, “Membongkar Tanggapan Orang tentang Fatimah Busu” menyebutkan bahawa Fatimah mempunyai begitu banyak karya tapi apa yang mengganggunya ialah pandangan orang mengenai Fatimah.

“Pandangan ini penting kerana memperjelas hal tentang karya dan kepengarangannya.

“Siapa Fatimah Busu dan mungkinkah dia diangkat sebagi Sasterawan Negara (SN), antara isu-isu yang melingkari perbincangan-perbincangan mengenai Fatimah, dan semua itu bergantung pada kajian dan tanggapan orang.

“Banyak karyanya tidak dikaji, tidak ada pemikiran yang ditonjolkan,” katanya.

Tambah Dr. Abang Patdeli, terdapat banyak pandangan mengenai beliau, antaranya termasuklah Pauline Fan yang baru-baru ini menterjemahkan 10 cerpennya dalam bahasa Inggeris dengan tajuk An Ordinary Tale about Women and Other Stories terbitan Penguin Random House SEA.

Dr. Abang Patdeli berkata, Pauline menyifatkan karya Fatimah berteraskan komentar sosial dan politik yang tajam. Beliau mengkritik struktur kuasa dan ketidakadilan terhadap wanita dalam masyarakatnya, selain cerita-ceritanya yang tidak mengikut kerangka feminis Barat tetapi dalam semangat yang mempersoalkan sistem patriarki setempat dan struktur undang-undang yang menzalimi wanita.

Selain itu, ada juga tanggapan dan jentikan dalam khalayak sastera mengenai keciciran Fatimah dalam penganugerahan ASN dan SEA Write Award.

“Tapi Fatimah ialah orang yang rendah hati, dan berpegang pada tali Allah dan menyebut bahawa dia menerima bakat yang diberikan oleh Allah SWT, dan semoga ia tidak membuatnya takbur,” katanya.

Sementara itu, Dr. Noorhayati menerusi kertas kerjanya, “Pertembungan antara Ideologi Feminis Barat dengan Islam dalam Trilogi Novel Fatimah Busu” mengupas tentang tiga novel, iaitu Ombak Bukan Biru, The Missing Piece 1 dan The Missing Piece 2.

“Namun begitu, novel beliau yang paling kontroversi ialah Salam Maria.

Salam Maria diterbitkan sendiri tetapi naskhah terjemahannya diterbitkan oleh ITBM,” katanya.

Tambah Dr. Norhayati, Fatimah pernah dicalonkan sebagai Sasterawan Negara tetapi gagal terpilih, sebaliknya tahun pengiktirafan itu mengangkat Datuk Zurinah Hassan sebagai SN ke-13.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi