Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kumpulan puisi Pecah dan Lupa oleh Abdullah Hussaini yang memenangi satu daripada tiga hadiah finalis dalam Hadiah Puisi T. Alias Taib II kelmarin, dibina dalam bentuk naratif kerana kekuatan peribadi pengarangnya yang lebih menguasai prosa.
Penulis muda, YBrs. Puan Qurratul Ain ketika membicarakan karya itu berkata, puisi yang terkandung dalam kumpulan puisi itu berkembang seperti cerita, ada dilema dan klimaks.
Katanya, puisi tanpa naratif akan terapung-apung, dan naratif tidak semestinya perlu seperti “cerita”, tetapi motif, emosi dan ketahanan bahasa yang konsisten seperti mengalirkan naratif.
“Kumpulan puisi ini menggunakan bahasa yang matang dan kekuatan bahasa itu konsisten.
“Usahanya juga konsisten dari cerita ke cerita, begitu juga dengan naratif emosinya.
“Emosilah yang menjadikan cerita,” katanya.
Namun dalam masa yang sama katanya, ada puisi yang terlihat seperti filler, sebagai pengisi yang mengganggu kekutanan suara penyair yang pada awalnya padat dan matang.
Ada juga katanya, dalam sesetengah karya naratifnya tidak berapa jelas tetapi tetap bersifat auntentik dan ungkapannya segar.
“Menariknya, kumpulan puisi ini banyak motif lokal (kampung), dan dengan latar belakang Abdullah sendiri, beliau menjadikan penggunaan motif itu betul dan tidak terlihat seperti sekadar hendak meletakkan saja (dalam puisi),” katanya.
Beli kumpulan puisi Pecah dan Lupa di sini.
