Oleh Karmila Azmi
12 Ogos 2022, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – “Melayu ialah mereka yang tidak akan berjalan kaki selagi perahu mereka boleh sampai. Tidak akan berumah di tanah kering selagi ada tanah berpaya.”

Petikan di atas memperjelas jati diri orang Melayu sebelum kedatangan orang asing. Mereka dikenali sebagai bangsa pelaut sehinggakan mempunyai undang-undang lautnya sendiri.

Hal itu ditegaskan oleh Dr. Ahmad Jelani Halimi dari Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak melalui perkongsian kertas kerja “Undang-Undang Laut Melayu: Undang-Undang Laut Melaka dan Versi-versinya” dalam Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2022 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos lalu di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Ahmad Jelani berkata, ketika tamadun besar di Barat dan Timur mencipta peralatan pengangkutan darat, orang Melayu sudah memikirkan cara mereka dapat menguruskan alam sekitar yang merupakan air dan gelombang.

“Ketika tamadun benua mencipta roda untuk kemajuan pengangkutan darat, orang Melayu sudah pun memikirkan peraturan yang harus ada dalam perahu dan keselamatan mereka yang berlayar di laut,” katanya.

Tegas Ahmad Jelani, Undang-Undang Laut Melayu adalah antara undang-undang laut yang tertua pernah diketahui, walaupun hanya terkanun atau tertulis pada sekitar akhir abad ke-15.

Tambahnya, sejak abad ke-2 SM, perahu-perahu Melayu sudah merentasi Teluk Benggala dan Laut China Selatan dengan ukuran 50-60 meter. Perahu-perahu ini disertakan dengan dua atau tiga tiang layar .

“Ia sepenuhnya dikendalikan oleh orang Melayu yang dirujuk sebagai ‘Kun-lun’ oleh masyarakat China dan ‘Dvipantra’ oleh orang India.

“Justeru, perahu-perahu ini dikenali sebagai Kun-lun po dalam catatan China. Perahu-perahu besar ini aktif hingga sekitar abad ke-6 M, mengangkut barangan dan penumpang menyeberang laut.

“Sebelum abad ke-5, orang Melayu hanya membekalkan perkhidmatan pengangkutan, tidak ada barangan atau komoditi wilayah ini yang menjadi bahan dagangan. Hanya pada sekitar akhir abad ke-4 baru kelihatan komoditi tempatan (Kepulauan Melayu) seperti rempah ratus, bahan logam berada di perut perahu-perahu itu,” katanya.

Namun tegas Ahmad Jelani, apabila banyak perahu asing dari Barat dan Timur mula memasuki Kepulauan Melayu pada abad ke-7, saiz perahu Melayu mula mengecil tetapi jumlahnya makin banyak.

Ia digunakan untuk belayar dari pelabuhan tertentu di sekitar Kepulauan Melayu ke pulau-pulau lain untuk mengutip bahan-bahan mentah bagi dilonggokkan di pusat-pusat perdagangan atau pelabuhan utama pada masa itu.

Misalnya di Kedah, Jambi, Palembang, Jawa Timur, Kalimantan Barat, Berunai (Brunei), dan beberapa buah pelabuhan lain di pesisir tanah besar Asia Tenggara. Dari sana, barangan itu akan diangkut oleh perahu-perahu asing untuk dieksport ke dunia luar.

Ketika itulah tegas Ahmad Jelani, pelbagai bentuk perahu yang dihasilkan oleh tukang-tukang Melayu. Antara jenis perahu itu termasuklah jong, lancang, mayang, balok, kakap, biduk, sumpit, dan beberapa jenis lagi.

“Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, terdapat dua buah undang-undang yang menjadi pedoman atau panduan mengendalikan masyarakat Melaka yang semakin bersifat majmuk.

“Satu peraturan di darat yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka dan yang satu lagi adat di laut yang dikenali sebagai Undang-Undang Laut Melaka.

“Liaw Yock Fang sebelum ini dalam kajiannya menganggarkan terdapat lebih daripada 40 naskhah undang-undang laut di seluruh dunia ini.

“Namun yang banyak dikaji ialah teks yang diterbitkan oleh R.O. Winstedt dan De Josselin de Jong, yang disusun berdasarkan 13 buah naskhah undang-undang laut yang disimpan di London dan Leiden.

“Versi undang-undang laut ini ada yang panjang ada yang pendek dan ada yang digabungkan dengan undang-undang daratan, seperti Undang-Undang Laut versi Mariyam Salim, Hukum Kanun Pahang dan Undang-Undang Johor,” katanya.

Ahmad Jelani berkata, penggubalan undang-undang laut memperjelas kepentingan lautan kepada orang Melayu sebagai pelaut handal.

Kredit Foto: Tanner Mardis/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.