10 Ogos 2022, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Bicara Karyawan pada kali ini menampilkan Prof. Madya Dr. Azhar Wahid, pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pembicara. Beliau berkongsi dan mengulas tentang karyanya yang berjudul Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail. Buku terbitan DBP ini baharu sahaja diterbitkan.

Menurut beliau, buku tersebut merupakan satu-satunya buku yang mengambil istilah ‘hegemoni’ iaitu berkaitan dengan penguasaan politik. Istilah tersebut merupakan konsep dalam bidang sosiologi sastera yang dikaji dan diterapkan oleh beliau dalam karya-karya A. Samad Ismail yang terkenal dalam bidang kewartawanan.

Hegemoni juga bermaksud pengarang itu menulis mewakili bangsa atau negaranya. Dalam proses penghasilan buku tersebut, beliau menganalisis karya A. Samad Ismail ekoran daripada kajian yang dilakukannya ketika di peringkat Sarjana (pengkajian terhadap cerpen-cerpen A. Samad Ismail). Beliau seterusnya menyatakan bahawa terdapat keistimewaan dalam karya A. Samad Ismail yang menyebabkan beliau memilih tokoh tersebut. Hal ini kerana beliau bukanlah sasterawan negara, tetapi merupakan tokoh kewartawanan negara yang juga mampu menghasilkan karya yang mengagumkan.

Prof. Madya Dr. Azhar Wahid ketika membicarakan buku beliau.

Dalam buku tersebut, beliau memasukkan penceritaan dan sejarah yang berlaku berserta gambaran yang terperinci dari tahun 1946 hingga 1990-an. Kekuatan buku tersebut adalah kerana terdapat pendekatan sosiologi yang boleh dibangunkan dan diperkemas oleh pengamal sastera.

Selain itu, buku tersebut juga membantu sesiapa yang berminat untuk melakukan kritikan dan meneliti kaedah mengkaji karya berdasarkan teori sastera dalam ruang lingkup sosiologi sastera. Beliau juga menyeru agar para sarjana sastera bersama-sama menyemarakkan dunia sastera kerana sastera melambangkan ketamadunan bangsa. Buku tersebut amat sesuai untuk dibaca oleh golongan mahasiswa yang membuat kajian sosiologi atau kritikan sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.