5 Ogos 2022, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Hari Sastera ke-18 2022 membuka tirainya dengan sesi pembentangan pertama yang dipengerusikan oleh Haji Aziz Mohd Nor, Bendahari Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Sesi ini menampilkan tiga orang panel pembentang, iaitu Dr. Abdul Aziz Mahmood (Dr. Abham TR), Ketua Satu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dan Abdul Hadi Yusoff, Setiausaha PPK.

Dr. Abham TR membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Sastera Islam di Kelantan”. Menurutnya, mengkaji sastera Islam di Kelantan merupakan suatu tugas yang berat. Oleh itu, beliau memberikan fokus kepada beberapa individu yang banyak memberikan sumbangan awal kepada perkembangan sastera Islam di Kelantan.

Antara nama penulis Kelantan sebelum perang yang beliau nyatakan ialah Tok Kenali, A. Kadir Adabi, Yusof Zaki Yaakub, Abdullah Nakula dan Asad Shukri. Penulis kemudiannya sesudah negara merdeka ialah S. Othman Kelantan, Abdullah Tahir, Cikgu Zakaria Sabri, Abdul Razak Mahmud, A. Aziz Deraman, Wan Jaafar Ahmad, Mat Daud Molly, R Hamkama, dan Norhisyam Mustafa. Para penulis tersebut disifatkan sebagai pembangun kesusasteraan Islam, khasnya di negeri Kelantan.

Beliau turut memaklumkan bahawa perkembangan dan penyuburan sastera Islam di Kelantan dibantu oleh penerbitan majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). MAIK yang turut mengutamakan bidang sastera dan persuratan telah menerbitkan dan mengekalkan penerbitan majalah Pengasuh sejak 11 Julai 1918 sehingga sekarang.

Kertas kerja berikutnya bertajuk “Warisan Perpaduan dalam Getam Guri Bunga Matahari” dibentangkan oleh Abdul Hadi Yusoff. Beliau menyifatkan penulis buku Getam Guri Bunga Matahari (GGBM), M. Nizam Rahman atau YB Mejar (B) Dato’ Hj. Md. Anizam Ab Rahman sebagai seorang penyair yang jujur memperagakan watannya, serta menzahirkan adab dan budaya Melayu.

Enam puluh empat buah sajak dalam GGBM berlandaskan budaya serta sejarah yang mengandungi pelbagai pengetahuan, kisah dan pengalaman hidup penulis yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan. Abdul Hadi mengagumi penulis yang bukan sahaja bertindak sebagai pentadbir negeri, handal dalam ilmu persilatan bahkan mencintai bahasa dan sastera. Selain itu, beliau juga merupakan tonggak pihak kerajaan negeri dalam menganjurkan program bahasa dan sastera di Kelantan.

Pembentang ketiga, Rosli K. Matari, gah mengangkat Abdulhadi Muhamad melalui tajuk kertas kerja beliau “Mencerakin Mandiri Abdulhadi Muhamad sebagai Penyair Islam”. Bagi beliau, Abdulhadi Muhamad tokoh yang teguh mandiri sebagai penyair Islam yang banyak menyuarakan nurani puisi keislaman.

Abdulhadi Muhamad diberikan penghormatan membaca sajak nukilan beliau.

Rosli meneliti keseluruhan kumpulan puisi Abdulhadi Muhamad dan terdapat beberapa aspek peneguhan yang memperkasakan tokoh ini sebagai penyair Islam. Antaranya ialah pemikiran utama puisi beliau jelas menjurus kepada puisi Islamik  serta diksi Islamik yang digunakan ketara mendukung makna dan menancap maksud yang kuat dan kukuh.

Kekuatan, keindahan, dan keberkesanan pengucapannya jauh mengatasi sesetengah penyair lain. Cuma, beliau agak terpencil dan bukan figura penting kerana tiada ‘mata luas’ para sarjana, pengkaji dan pengkritik untuk merenungi karyanya.

Hari Sastera ke-18 menyambut ulang tahun ke-50 dengan Kelantan kembali sebagai tuan rumah setelah kali pertama diadakan pada tahun 1972.  Program bermula 4 hingga 6 Ogos 2022 di PCB Resort, Kota Bharu ini dihadiri hampir 200 orang peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.