Oleh Salman Sulaiman
4 Ogos 2022, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman selaku salah seorang petugas Hari Sastera ke-18 dan wakil tuan rumah meraikan ketibaan dan mengalu-alukan kedatangan para sasterawan dari seluruh negara ke Hari Sastera ke-18 di PCB Resort, Kota Bharu, Kelantan.

Dengan tema ‘Islam dan Sastera Kebangsaan’, Hari Sastera kali ini bakal menghimpunkan kira-kira 200 orang sasterawan dari seluruh negara.

Setelah genap 50 tahun berlalunya Hari Sastera yang pertama pada tahun 1972 di Kota Bharu, Kelantan; kini pada tahun 2022, Hari Sastera kembali berlabuh di tanah Tok Janggut bumi Serambi Mekah, mendarat di pasir Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. Selepas tahun 1972, Hari Sastera diadakan di serata negeri dan berkeliling ke seluruh negara hinggalah tahun ini kembali singgah semula di negeri Kelantan.

Hari Sastera ke-18 yang diadakan di PCB Resort ini bermula pada 4 hingga 6 Ogos 2022, bersamaan dengan 5 hingga 7 Muharam 1444 Hijrah. Dengan tema “Islam dan Sastera Kebangsaan”, Hari Sastera kali ini bakal menghimpunkan kira-kira 200 orang sasterawan dari seluruh negara. Kita mengharapkan sesuatu yang positif dan perkembangan yang lebih baik untuk sastera kita dengan adanya Hari Sastera ini, insya-Allah. Hampir setiap negeri menghantar para sasterawan masing-masing yang nantinya akan membawa pulang dapatan yang berguna untuk memantapkan lagi aktiviti kesusasteraan dan gerakan persatuan pada peringkat negeri pula.

Hari Sastera kali ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Mohd Amar bin Abdullah, dan majlis penutupnya pula akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Md. Anizam bin Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan.

Sebagai pembukaan pada hari pertama program, sesi pertama pembentangan kertas kerja perihal “Sastera Islam di Kelantan” akan dimulakan pada jam 3.00 petang nanti dengan membariskan tiga orang ahli panel, iaitu Sdr. Abham T.R. (PUSPA), Sdr. Rosli K. Matari (PERADABAN) dan Sdr. Abdul Hadi Yusof (PPK). Manakala Ketua Satu PPK yang turut dijadualkan sebagai salah seorang pembentang pada sesi ini pula berhalangan hadir kerana beliau masih berada di luar negara. Namun begitu, kertas kerjanya tetap dapat dibaca dalam buku prosiding. Sesi pertama ini akan dikendalikan oleh Sdr. Mohd Azam Juhari, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur selaku moderator.

Pada sebelah malam nanti akan diadakan forum “Keberadaan Sastera dalam Dauliah Islam” yang menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP), Datuk Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (Pengurus Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian yang juga pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Nilam Puri) dan Datuk Dr. Johari Mat (Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru). Moderator yang akan mengendalikan sesi ini ialah Haji Zulkifli Abdul Rahman (Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan). Acara hari ini akan ditutup dengan sesi Minum Kopi Malam pada jam 10.30 malam.

Pada 5 Ogos 2022 (Jumaat): Hari kedua program Hari Sastera ke-18 akan diteruskan lagi dengan sesi pembentangan kertas kerja berkenaan “Apresiasi Sastera Islam” oleh empat orang lagi ahli panel, iaitu Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (DBP), Haji Hamzah Hamdani (GAPENA), Datuk Jasni Matlani (GAPENA/BAHASA), dan Prof. Dr. Haji Hashim Ismail (GAPENA/Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya). Sesi ini akan dikendalikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang bertindak sebagai moderator.

Manakala pada jam 3.00 petang, akan berlangsung Majlis Ucaptama yang akan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman yang merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). Bertindak sebagai moderator untuk sesi ini ialah Sdr. Amiruddin Md. Ali Hanafiah (Ketua Dua GAPENA). Pada sebelah malam hari kedua ini akan berlangsungnya majlis perasmian Hari Sastera ke-18 oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan didahului dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan yang juga merupakan Ketua Satu GAPENA.

Pada hari terakhir program Hari Sastera ke-18 pada 6 Ogos 2022 (Sabtu) pula akan diadakan majlis Gapo-gapo, Puisi, yang merupakan acara Santai Puisi Peserta Hari Sastera ke-18, diikuti dengan majlis jamuan ringan pada jam 10.30 pagi. Program Hari Sastera kali ini akan diakhiri dengan Majlis Penutupan pada jam 11.00 pagi yang akan disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri, YB Mejar (B) Dato’ Haji Md. Anizam Abdul Rahman.

Bermula jam 11.00 pagi ini, para peserta akan mula mendaftar untuk mendapatkan bilik masing-masing, dan seterusnya berkampung selama tiga hari dua malam; berseminar, berbincang, bersoal jawab dan menyuarakan pendapat untuk menyemarakkan lagi perkembangan sastera kebangsaan.

Selamat datang kepada semua para peserta program Hari Sastera ke-18 – indah pemandangan samudera biru terbentang dan tanah pasir Pantai Cahaya Bulan akan menyambut kalian ke bumi Cherang Tegayong Tanah Serendah Sekebun Bunga, negeri Cik Siti Wan Kembang Kelantan Darul Naim!

Kredit Foto: Firdaus Roslan/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.