30 Julai 2022, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis Sekilas Sdr. Muhammad Lutfi Ishak kali ini menjelaskan cabaran luaran terakhir kepada perkembangan sastera kita, iaitu masyarakat yang terlalu bertumpu pada politik.

Senario politik di Malaysia rumit untuk difahami kerana faktor persekitaran yang terlalu cair dan mudah berubah. Prinsip dan kebenaran boleh sahaja ditukar ganti sesuai dengan tuntutan realpolitik.

Apabila seekor harimau muncul di perkampungan, tidak ada orang yang sihat akalnya akan membiarkan harimau tersebut berleluasa seperti kambing. Mereka akan cuba mengembalikan harimau tersebut ke habitat asalnya kerana siapa-siapa sahaja boleh menjadi mangsa.

Begitu juga yang akan berlaku jika kemudiannya muncul seekor singa. Isu di sini bukan “harimau” dan “singa”. Harimau, singa dan ribuan haiwan buas yang dikenal pasti sebagai berbahaya, biarpun berbeza pada nama, hakikatnya sama pada kesan: Semuanya mengancam kesejahteraan insan.

Saat tulisan ini disiapkan, usul menyambung Akta SOSMA kepada lima tahun mendapat undian majoriti ahli parlimen. Selesai persidangan, situasi penuh azmat pun bermula: Pembangkang melakukan selaran manakala pihak yang satu lagi mempertahankan tindakan. Bagai mercun malam perayaan, ruang media berdentum-dentam dengan kenyataan kedua-dua pihak.

Kenyataan yang paling mendapat perhatian datangnya daripada Tun Mahathir. Beliau menjuluki akta itu sebagai zalim. Apabila julukan ini diucapkan oleh bekas Perdana Menteri yang dahulunya semasa berkuasa begitu agresif mengguna pakai Akta ISA, maka, ramai yang menyuarakan pandangan balas dengan penuh kesinisan.

Bagi mereka, khususnya yang serius mengikuti sepak terajang politik, Tun Mahathir cuma aktor yang hebat bermain wayang. Di pentas siasah, yang beliau sarung kini ialah persalinan Jebat. Justeru, itulah pun dialognya.

Namun, politik bukanlah suatu monolog. Maksudnya, bukan Tun seorang melakukan pementasan. Sebab itu, aktor-aktor lain juga memiliki dialog-dialog yang perlu diucapkan sesuai dengan persalinan yang disarung. Justeru, jika dahulu mereka mengujarkan dialog penentangan terhadap ISA, tidaklah pelik jika sekarang, mereka mengujarkan dialog pembelaan terhadap SOSMA. Sebab, isunya di sini bukan lagi kebenaran.

Jika kebenaran menjadi isu, serumit apa pun, keadaannya tidaklah begitu berbeza daripada keadaan penduduk kampung yang berhadapan dengan binatang buas. Maksudnya, kebenaran mestilah dipertahankan dengan tindakan yang boleh difahami sebagai suatu pembelaan.

Tidak kiralah harimau atau singa, langkah pembelaannya adalah untuk mengembalikan haiwan tersebut kembali ke habitat asal. Tidak kiralah apa pun nama aktanya, jika intinya sama, maka jika dahulu ditolak, sekarang juga perlu ditolak. Jika dahulu disokong, sekarang juga perlu disokong.

Namun, tampaknya bukan itulah yang berlaku. Keadaan seperti ini mengingatkan suatu pendapat yang diutarakan oleh sarjana politik, Muhammad Takiyudin Ismail. Menurut beliau, senario politik di Malaysia rumit untuk difahami kerana faktor persekitaran yang terlalu cair dan mudah berubah. Prinsip dan kebenaran boleh sahaja ditukar ganti sesuai dengan tuntutan realpolitik.

Realiti seperti ini memberikan kesan yang memeritkan, khususnya dalam konteks Malaysia kerana masyarakat Malaysia yang begitu berpusatkan pada politik. Dalam masyarakat sebegini, dimensi politik mencampuri secara melampau segala pandangan dalam kehidupan. Malah, makna politik yang luas telah disempitkan ke dalam satu pemahaman yang dangkal, sesuai dengan amalan politik yang difahami oleh masyarakat awam.

Unsur sebegitu boleh dilihat apabila kecenderungan struggle for power yang terzahir dalam setiap tingkat masyarakat. Bagi mereka, pelbagai isu dalam masyarakat akan dapat diselesaikan hanya melalui jalan kekuasaan.

Masalah akhlak contohnya, tidak difahami sebagai kegagalan sistem pendidikan dan kekeliruan pemikiran, tetapi masalah pelaksanaan undang-undang. Oleh sebab itulah, suatu ketika dahulu, pihak tertentu mengumbar undang-undang hudud di pentas-pentas politik.

Dalam tradisi kesarjanaan Islam, hudud melalui suatu perbincangan yang kompleks dan sistematik. Itulah mauduk perbincangan para fuqaha yang sejati. Bukannya dibincangkan oleh para orator di atas pentas-pentas politik yang anti-intelektual dan penuh slogan.

Masyarakat yang berpusatkan politik di Malaysia juga ialah masyarakat majmuk. Keutamaan dalam masyarakat majmuk ialah keharmonian dan kestabilan. Tanpa kestabilan dan keharmonian, Malaysia tidak dapat dibayangkan kelangsungannya, lebih-lebih lagi apabila kaum-kaum utama di Malaysia yang mempunyai latar tamadun dan agama yang panjang dan besar.

Hal yang serupa juga jika dilihat pada isu yang melingkari Bahasa Melayu, seperti PPSMI. Kita akan dapat melihat bagaimana politik memainkan peranan dari awal hingga akhir: PPSMI diperkenalkan secara tiba-tiba oleh anasir politik dan kemudiannya hanya berjaya ditamatkan melalui demonstrasi yang jelas unsur politiknya.

Padahal, rentang waktu sejak PPSMI diperkenalkan dan ditamatkan, diisi dengan pelbagai pandangan oleh pakar pendidikan. Namun, kurang ditanggapi secara positif, sama ada oleh ahli politik ataupun masyarakat.

Dalam masyarakat yang begitu berpusatkan politik, orang politik menjadi tumpuan dan tempat masyarakat menyandarkan harapan. Akibatnya, ahli politik dan individu yang mempunyai akses politik memiliki pengaruh yang besar dan mempunyai fungsi yang melampaui kemampuan mereka sendiri.

Lihatlah sahaja lantikan ke jawatan-jawatan penting dalam institusi bahasa dan kesusasteraan yang patut berasaskan autoriti dan merit juga mengutamakan kepentingan dan pertimbangan politik. Apabila seorang sasterawan menyorot isu persuratan atau sosial, sorotan itu akan ditanggapi dalam dimensi politik oleh masyarakat.

Masyarakat bukannya ingin terlibat dalam hujah yang mendalam, tetapi cenderung meletakkan hujah tersebut dalam satu perspektif politik kepuakan dan kepartian. Malah, sastera akan ditafsir dari sudut peranannya dalam kekuasaan.

Oleh itu, sastera pun ditegaskan sebagai alat propaganda dan diberikan fungsi yang melampaui kemampuan sastera. Sebagai contoh, diperkenalkan sastera untuk perpaduan dengan membelakangkan unsur-unsur asas perpaduan, iaitu bahasa dan pendidikan.

Masyarakat yang berpusatkan politik di Malaysia juga ialah masyarakat majmuk. Keutamaan dalam masyarakat majmuk ialah keharmonian dan kestabilan. Tanpa kestabilan dan keharmonian, Malaysia tidak dapat dibayangkan kelangsungannya, lebih-lebih lagi apabila kaum-kaum utama di Malaysia yang mempunyai latar tamadun dan agama yang panjang dan besar.

Keadaan ini akan mengukuhkan lagi cengkaman ahli politik sebab keinginan terhadap kekalnya keharmonian diasaskan oleh ketakutan yang keterlaluan akan wujudnya keretakan dalaman. Oleh itu, fungsi menstabilkan keharmonian menjadi milik penuh ahli politik. Pandangan-pandangan yang benar berkenaan mengukuhkan keharmonian kaum dengan mudah dikesampingkan oleh ahli politik dengan alasan boleh menjejaskan kestabilan.

Lanjutannya, kestabilan yang dinikmati oleh negara itu difahami sebagai kebijaksanaan politik oleh ahli politik. Hal itu memberikan masalah tersendiri kepada pembentukan sebuah masyarakat Malaysia yang mengutamakan unsur-unsur penting negara bangsa, termasuk pengabaian fungsi bahasa dalam pembentukan masyarakat yang lebih stabil untuk jangka masa panjang.

Pelbagai masalah yang menjadi barah kepada negara bangsa akan dibiarkan asalkan sebuah keadaan yang harmoni pada waktu itu terus berlangsung. Akibatnya, dasar-dasar kebudayaan dan kesusasteraan, tidak dilaksanakan kerana bimbang menjejaskan kestabilan yang ada.

Dalam situasi tersebut, sastera Melayu tidak akan dianggap sebagai sastera Malaysia, malah, dasar-dasar yang telah ditetapkan, biarpun mempunyai asas yang kukuh serta amat penting untuk dilaksanakan, akan tetap melalui perundingan politik untuk survival pihak-pihak yang mempunyai kuasa tawar-menawar.

Menurut Lijphart, tawar-menawar (bargaining) ialah salah satu pendekatan yang terkenal dalam menangani persaingan antara kelompok mahupun individu dalam bidang politik yang mengamalkan prinsip demokrasi consociational seperti di Malaysia.

Tawar-menawar sentiasa digunakan untuk menyelesaikan konflik dan masalah yang timbul bagi tujuan penemuan satu formula yang diterima oleh kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, penerimaan itu bukanlah memuaskan hati secara mutlak tetapi dapat meredakan konflik.

Dalam keadaan tawar-menawar yang sentiasa berlaku dalam kalangan elit politik, kewujudan sebuah masyarakat yang dapat melihat pelbagai isu di luar perspektif politik amatlah penting. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah mengembalikan pelbagai isu kepada para ahlinya, terutamanya kaum ilmuwan.

Namun, dalam konteks masyarakat yang terlalu bertumpukan politik seperti sekarang ini, keadaan tersebut hampir mustahil terjadi. Ahli politik akan terus bermain wayang dan mengujarkan dialog yang sesuai dengan persalinannya.

Masyarakat melihat perkembangan politik sepertimana mereka menonton wayang. Dalam keadaan seperti ini, pandangan daripada para ilmuwan yang bertujuan mengubah pandangan, selalunya jarang mendapat perhatian. Sebab itulah, masyarakat yang berpusatkan politik menjadi suatu cabaran luaran kepada perkembangan sastera kita.

Wallahualam.

Kredit Foto: Alexander/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.