Oleh Rosli K. Matari
29 Julai 2022, 07:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari menyelami dunia kreativiti puisi penyair R. Hamkama (Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.06/2022) yang sebahagiannya tersembunyi daripada peminat puisi dan khalayak sastera tanah air.

Saya tidak begitu pandai untuk terlalu melenggang-lenggokkan bahasa dalam pengucapan puisi. Terlalu berbunga-bunga pada keindahan. Mungkin kerana saya tidak begitu mahir dengan cara itu.

Penulis berasa teragak-agak untuk menanyakan lanjut kepada beliau tentang reaksinya terhadap artikel tersebut. Justeru, sedemikian mengejutkan sekali, tajuk artikel itu. Maklumlah – terdapat perkataan ‘mati’.

Namun mujurlah, beliau menjelaskan sendiri. “Saya mengenal baik Saudara Wadi Leta S.A. Tiada kecil hati apa-apa pada artikel dan tajuk besar, mengejutkan sedemikian itu. Kami seangkatan. Saya sedar dan tahu, niatnya baik pada isi artikel itu. Mahu menggesa saya aktif menulis semula,” jelas beliau. Kemudian, beliau menyambung lagi, “Wadi pandai menulis dengan menggunakan tajuk itu. Mengejutkan, tetapi juga memancing. Tidak hairan, jika editor menyiarkannya.”

Generasi penulis muda mutakhir sekarang tentu tidak pernah tahu tentang Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama – sebagai R. Hamkama – pernah berdepan dengan cabaran artikel yang mengejutkan itu.

Namun begitu, terbukti pada dekad mutakhir kini, R. Hamkama prolifik sekali kreativitinya. Mungkin, jadual kerjanya tidak sesibuk dahulu lagi, meski masih tetap padat pada beberapa tugasnya. Cuma, beliau tidak berkreativiti puisi sebagai karya akhbar dan majalah sebagaimana dahulu lagi, kecuali sekali-sekala. Sebaliknya, mengutamakan himpunan karyanya sebagai buku. Draf yang disimpannya – yang disangka sebagai “dekad lompang” pada kreativitinya dahulu, antara yang dapat dimanfaatkannya kembali, di samping prolifik dengan hasil karya terbaharu.

Suatu aspek paling jelas boleh diteliti pada sebahagian besar kreativiti mutakhir beliau. Terdapat kebanyakan puisinya menjurus sebagai puisi berbentuk pendek. Pada renungan penulis, beliau ketara benar lebih meminati ciri puisi pendek. Hal ini sebenarnya menarik dan boleh dikagumi juga. Ada kemungkinan, sebagai penyair pintar, beliau menemukan identiti kepenyairannya pada ciri bentuk ini.

Fadli al-Akiti pada sebuah artikel (Dewan Sastera Jun 2022) memberikan pandangannya tentang kreativiti puisi R. Hamkama; beliau tidak memintal sebuah naratif yang panjang apabila berkata-kata melalui sajaknya, tetapi dalam ungkapan sajak-sajak ini, beliau menyampaikan pelbagai persoalan yang menuntut renungan.

Namun juga, pada renungan penulis, ciri ini dalam karya mutakhir beliau, lebih disebabkan oleh faktor luaran yang kuat dan mendalam yang turut mempengaruhi kreativiti. Sama ada, disedari atau tidak oleh beliau sendiri. Justeru, hakikatnya, komitmen dalam bidang korporat masih tetap mencabar kepadatan tugas dan karier korporat beliau. Tidak memungkinkan beliau terlalu bertungkus pada kreativitinya, meski minat dan cinta beliau terhadap dunia puisi tetap besar.

Oleh yang demikian, mengikut faktor di atas, secara psikologikal adalah tetap mempengaruhi cabaran kreativiti beliau. Salah sebuah, sebagai contoh, puisi yang berikut ini merupakan pengucapan beliau yang relatifnya sebuah puisi yang agak pendek:

Sangkar Dosa

sangkar dosa kian terbuka
dijaja dengan pelbagai cara
menghimpun kalut yang bermuka
menjajahi setiap minda hamba
lalu semakin gahlah badut bercerita
mendasari setiap cerita bertakhta

aku masih membaca hikayatnya
sebuah dongeng sesalannya
tak mengenal nestapa, tak kenal siap

(Dipetik daripada Puisi Pantai)

Bandingkan juga dengan puisi beliau di bawah ini, jelas lebih pendek lagi pengucapannya:

Keranda Usang

selama mana lagi
untuk terus memamahi hati
bagaikan semua jalan telah mati

atau, ada lagi
keranda usungan berbaki?

(Dipetik daripada Puisi Pantai)

Penulis tidak berhasrat berpanjang lebar pada artikel ini untuk mengulas kedua-dua buah puisi di atas. Kedua-duanya merupakan contoh sebahagian daripada kreativiti R. Hamkama menyuarakan pengucapan pendek. Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan, pengucapan pendek daripada sebahagian besar kreativiti mutakhir penyair ini adalah menarik. Puisi mutakhirnya tetap dapat dikagumi, selain berkongsi pemikiran padat dengan pembaca.

“Saya bukanlah penyair yang dapat mencipta puisi hebat,” beliau merendah diri.

“Saya tidak begitu pandai untuk terlalu melenggang-lenggokkan bahasa dalam pengucapan puisi. Terlalu berbunga-bunga pada keindahan. Mungkin kerana saya tidak begitu mahir dengan cara itu.”

“Jika, misal saya ungkapkan ‘gelas berwarna merah‘ maka, begitulah ungkapannya. Tidak dilenggokkan, berbunga-bunga keindahannya. Saya lebih menyenangi ungkapan pemikiran yang terus padat,” jelas beliau lagi.

“Namun, Tan Sri, ‘gelas berwarna merah’ itu boleh mengandungi konotasi,” Ikhram mencelah, “ada siratan, lapisan makna pada pembaca.”

Beliau tertawa pada celahan cepat oleh Ikhram itu.

“Itulah – puisi. Sekalipun, kita mengungkapkan secara padat, tanpa lenggang-lenggok keindahan bahasa, kepadatan pengucapan dan pemikiran tetap mampu berdiri sebagai puisi. Keindahan makna. Tetap dapat menyampaikan signifikannya kepada pembaca yang kritis,” beliau menyambung ujar, mendedahkan dasar dan konsep kreativiti puisi yang dipegang dan disenanginya.

Penulis cepat teringat pada puisi “Keliklah”, sebuah karya yang paling penulis minati daripada kreativiti beliau. Namun begitu, tidak penulis suarakan kepada beliau tentang puisi yang secara peribadi, diminati ini.

‘Kelik’ ialah dialek Kelantan bemaksud “balik”, “pulang”. Oleh itu, “Keliklah” pada judul puisi ini bererti “Baliklah”, “Pulanglah”. Penulis kagum, beliau memanfaatkan dan berusaha mengedepankan sekali gus mempopularkan dialek Kelantan.

Penulis ingat lagi, ketika pertama kali membaca puisi ini, penulis gelak pada judulnya. Namun tetap kagum – sambil memikirkan, penggunaan kata ‘kelik’ itu benar-benar terasa sebagai ungkap kata yang lebih tegas dari segi bunyi sebagai penegasan atau arahan. Kekuatan penegasan ini hanya dapat dihayati, diselami dan “dirasai” oleh Oghe Kelate sahaja.

Keliklah

masih menunggu makna
sebaknya mendera di hujung ketika
keliklah!

Perjalanan kreativitinya sudah sepanjang kira-kira empat dekad ditekuni – sebegitu tekal – membuktikan beliau merupakan individu korporat yang berbeza daripada orang lain dalam bidang yang sama.

Puisi ini memang mengagumkan. Pengucapan R. Hamkama pada puisi ini pendek sahaja, sebagai pemikiran yang padat. Tidak mudah sebenarnya menghasilkan puisi ini. Meski tampak ringkas, pendek dan padat sedemikian, namun tidak mudah untuk difahami oleh pembaca. Demikianlah ketinggian nilai pengolahan dan pengucapan puisi ini – dari segi kebolehan kreativiti dan pemikiran.

Ungkapan “masih menunggu makna” ialah jalan pintas pada pemikiran penyair, sebagai melangkau, terus meninggalkan sesuatu situasi, peristiwa sedih, buruk, atau malang sebagai perkara yang sudah pun berlaku dan berlalu di belakang. Fokus penyair adalah terus menghadap pemikiran dan renungan terhadap situasi terkini yang sedang dihadapi atau dialami.

Oleh yang demikian, kebuntuan berlaku akibat situasi atau peristiwa malang atau menyedihkan – “sebaknya mendera di hujung ketika”. Pada nasib malang atau kesedihan ini, penyair menyarankan pemikirannya sebagai berkongsi nasihat, agar ‘keliklah!’. Namun begitu, sepatah ungkapan yang bermaksud ‘baliklah’ ini mendalam pengertiannya. Justeru, bukan semata-mata supaya balik atau pulang dengan kosong dan hampa begitu sahaja.

Sebaliknya, “baliklah” ini lebih sebagai nasihat dan kesedaran agar merenung semula akan kesilapan atau punca masalah bagi iktibar diri. Natijahnya, sesuatu kelemahan itu akan berpeluang untuk diperbaiki, memperoleh kebaikan atau kebahagiaan, sekiranya diinsafi untuk boleh difikirkan atau ditemukan dan diatasi sebagai jalan keluarnya.

Puisi “Keliklah” dapat diumpamakan seperti kata peribahasa “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Demikian, puisi ini bernilai tinggi.

Penyair R. Hamkama telah menghasilkan sejumlah kumpulan puisi, membuktikan betapa prolifiknya beliau. Sehingga kini, antara kumpulan puisi beliau termasuklah aaa (1976), Memoir…Satu Perjalanan (2011), Sajak LXV (2016), Ketika Kita Terus Bercerita (2018), Aku, Sajakku dan Tuhan (2019), Puyan Bermakna (2019), Nota Seberang (2020), Hak (2020), Lagi, Lagi dan Lagi (2020), dan Terpendam Makna (2021).

Di samping itu, beliau turut berkebolehan menulis cerpen. Antologi Cinta Isteri di Persimpangan (1975) mengumpulkan kreativiti beliau bersama Wanrazuhar dan Norhisham Mustaffa (Allahyarham) dalam genre ini.

Perjalanan kreativitinya sudah sepanjang kira-kira empat dekad ditekuni – sebegitu tekal – membuktikan beliau merupakan individu korporat yang berbeza daripada orang lain dalam bidang yang sama. Beliau tokoh bijaksana yang pandai menghargai dan mencintai kesusasteraan, serta ikut mahir berkreativiti bagi kepentingan masyarakat, bangsa, agama, dan negara. Malah, dalam konteks ini, khalayak sastera memandang dan menghormati beliau, seumpama kata peribahasa yang sudah sekian lama diwarisi dalam masyarakat – “takkan hilang bisa, ular menyusur akar

Beliau menerima Anugerah Patria NUMERA pada tahun 2014.

Dari kiri: Dato’ Dr. Radzuan, Tan Sri Hamad Kama, penulis, dan Ikhram.

Seronok kami bersembang – mencambahkan pengetahuan, ilmu, bertukar pendapat, dan bercerita pengalaman bersama beliau serta penyair Wanrazuhar. Di samping beberapa kenangan diri serta peristiwa lucu dalam aktiviti sastera.

Kami kelik meninggalkan kediaman Tan Sri Hamad Kama ketika hari sudah cepat menyusur ke arah tengah hari. Bayang pokok nyiur dan ru pun sudah semakin memendekkan diri. Kami tidak ingin menyusahkan mereka untuk jamuan tengah hari. Sementelah, sarapan pagi tadi masih cukup mengenyangkan. Lumayan dengan beberapa jenis hidangan make pagi Kelate – nasi berlauk, nasi kapit bersate, nasi tumpang, dan beberapa serba mok nik kor jenis kue Kelate. Tidak mungkin terhabis oleh kami.

Laut tenang. Bayu pun tidak berhembus lagi. “Mungkin berehat,” penulis gelak dalam hati.

Sewaktu bersalaman dengan beliau dan penyair Wanrazuhar, penulis senyum sendirian, teringat semasa bersembang – hampir-hampir ingin menanyakan, “Adakah nama samaran R. Hamkama itu kerana pengaruh meminati Hamka? Semasa bermula zaman awal penulisan dahulu.”

Namun begitu, mujurlah hati penulis tertahan daripada menyuarakan pertanyaan itu. Penulis cepat menyedari – nama samaran itu bukan kerana Hamka. Penulis cepat berfikir, R. Hamkama ialah nama beliau sendiri – diringkaskan daripada asal Hamad Kama. Cuma huruf R itu tidak dapat penulis pastikan. Mungkin nama kekasih. Jika nama kekasih, tentulah sudah sayup-sayup, tinggal kenangan. Penulis menyimpan gelak dalam hati. Terasa ingin bertanya tentang huruf R itu, tetapi kami sudah di muka pintu – untuk kelik.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

Gelas Berwarna Merah (Bhg. 1)

Kredit Foto: Chaozzy Lin/Unsplash dan Radzuan Ibrahim

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!