Oleh Suyuthi Yusuf
28 Julai 2022, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor SetarHikayat Merong Mahawangsa merupakan karya agung Melayu yang sering dibicarakan oleh para sarjana tempatan dan luar negara. Keistimewaan naskhah ini adalah kerana kepelbagaian kandungannya yang menyentuh pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, asal usul negeri, budaya dan sosial bangsa Melayu pada zaman Kesultanan Kedah.

Dalam usaha untuk mengangkat kehebatan naskhah ini, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman (LMNK) dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) mengadakan wacana untuk membincangkan kepentingan naskhah ini sebagai sumber maklumat dan bahan penyelidikan untuk masyarakat umum. Wacana tersebut telah diadakan di Dewan Seri Mentaloon, kediaman rasmi Menteri Besar Kedah pada 27 dan 28 Julai.

Dalam program wacana tersebut, buku kajian terbitan DBP, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa Karya Agung Melayu dalam Sejarah Kesultanan Kedah turut dilancarkan.

YBhg. Encik Mohd Firdaus Ahmad ketika memberikan ucapan alu-aluan.

Dalam ucapan alu-aluan majlis perasmian pelancaran buku dan wacana tersebut, YBhg. Tuan Mohd Firdaus Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah menyatakan penghargaan kepada pihak yang terlibat kerana membawa pengisian dan ilmu berkaitan naskhah ini kepada masyarakat umum. Ujar beliau lagi, muzium dan pihak lain perlu terus berusaha dalam meningkatkan kesedaran melalui pelbagai program pendidikan seperti penganjuran bengkel, seminar, dan pameran di samping berperanan sebagai pemupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.

Menerusi ucapan sambutan pula, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menyatakan bahawa karya historiografi Hikayat Merong Mahawangsa merupakan karya unggul Melayu yang merangkumi pelbagai aspek seperti hubungan diplomatik, mitos, kajian budaya dan citra wanita.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika memberikan ucapan sambutan majlis.

Usaha yang berterusan daripada pelbagai pihak sangat perlu dilakukan bagi melestarikan Hikayat Merong Mahawangsa sebagai karya agung Melayu ke persada dunia. Catatan sejarah dan salasilah raja-raja serta keunikan pelbagai unsur perlu diketengahkan kepada pembaca di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada warisan yang menggambarkan ketinggian budi dan tradisi persuratan alam Melayu pada masa silam yang tetap relevan pada masa kini.

Sementara itu, YBhg. Brigedier Jeneral (B) Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili Menteri Besar Kedah ketika memberikan ucapan perasmian menyatakan bahawa perjuangan untuk mengangkat karya kesusasteraan Melayu tradisional ini membuktikan bahawa kita memiliki khazanah pemikiran dan peradaban agung dalam bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun tinggi.

YBhg. Brigedier Jeneral (B) Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad sedang memberikan ucapan perasmian.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Wacana Karya Agung Melayu Hikayat Merong Mahawangsa dan Pelancaran Buku ialah Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan; Encik Suhaidi Shukri,Pengarah Muzium Negeri Kedah dan Dr. Ibrahim Bakar, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.