Oleh Rosli K. Matari
27 Julai 2022, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari menyelami dunia kreativiti puisi penyair R. Hamkama (Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.06/2022) yang sebahagiannya tersembunyi daripada peminat puisi dan khalayak sastera tanah air.

Disedari atau tidak oleh beliau sendiri, jawapan itu sebenarnya sekali gus mencerminkan ketegasan peribadi beliau. Meski hanya bagai kadar berdepan dengan soal mendraf puisi, beliau cepat memintas cara menyelesaikan masalah dan yakin pada jalan ikhtiar atau keputusan yang dilakukannya, dalam soal kreativiti puisinya.

“Saya kalau mendraf puisi, rasa tidak selesai,” tokoh penyair yang kami temui ini menggetus demikian darihal kreativiti dirinya. Beriring dengan tawa kecilnya. Tentu berasa lucu pada rungutan diri sendiri itu. Malah, beliau cepat pula mengulang dan menambah kata lagi, “Hairan, rasa payah mahu selesai. Sukar untuk peroleh karya yang dapat memuaskan hati sendiri.”

Kami turut tertawa.

Penulis sendiri pun tiada menyangka luahan itu. Sebahagian puisi beliau, mutakhir ini, cenderung berangkap pendek. Akan tetapi, pada puisi pendek pun, rupa-rupanya beliau tidak pernah berasa mudah menyelesaikan draf puisi. Pendedahan beliau jujur. Berterus terang.

Sungguhpun demikian, penulis dapat menanggap, kesulitan sedemikian timbul sebenarnya disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya – senantiasa ingin menukarkan diksi agar lebih tepat, merubah-rubah pengucapan menjadi lebih segar dan cenderung menukarkan teknik pengucapan. Hakikatnya, pemikiran penyair sentiasa ingin mempertingkatkan kualiti daya ciptanya.

Beliau tentu berulang-alik pada mana-mana faktor itu. Oleh itu, tidak mudah untuk menyelesaikan kreativiti – mendraf. Puisi, memang tidak mudah dicipta oleh mana-mana penyair pun.

“Jadi, macam mana cara menyelesaikan draf itu?” Ikhram ingin cepat-cepat menunggu jawapan.

Sebaliknya, tokoh di hadapan kami ini lebih bijak untuk menduga, lalu segera mengembalikan soalan yang diajukan itu, “Ikhram fikir, bagaimana caranya?”

“Tidak tahu saya sebab bukan sajak saya,” jawab Ikhram, tegas, melepaskan diri.

Tentu sahaja kami gelak mendengar lantunan jawapan itu. Jawapan yang melucukan. Meski kami bersama-sama tertawa pada dalih itu, namun Ikhramlah lebih panjang gelaknya. Mungkin, geli hati benar. Justeru, pintar, maka cepat benar mengelak diri daripada kemungkinan, mencadangkan jawapan yang kurang tepat. Lebih-lebih lagi, di hadapan tokoh yang disegani.

“Saya berhenti di situ sahaja,” beliau menyambung ujaran kepada Ikhram, sambil dengan gaya menggenggam kelima-lima jarinya.

Disedari atau tidak oleh beliau sendiri, jawapan itu sebenarnya sekali gus mencerminkan ketegasan peribadi beliau. Meski hanya bagai kadar berdepan dengan soal mendraf puisi, beliau cepat memintas cara menyelesaikan masalah dan yakin pada jalan ikhtiar atau keputusan yang dilakukannya, dalam soal kreativiti puisinya.

Jelas, sebahagian wibawa dan pemikiran beliau sebagai tokoh korporat turut terbawa, direalisasikan juga dalam dunia kreativiti puisi yang ikut ditekuninya sejak sekian lama.

“Puisi bukan khayalan kosong, tidak bermakna, sebagaimana disangka oleh mana-mana segelintir awam. Puisi ialah pemikiran. Kekuatan dan ketinggian pemikiran. Malah, harus mampu dicapai secara halus dan indah kerana kesusasteraan dicipta dari sudut keindahan kreativiti,” ujar beliau, dengan kesungguhan nada tegas. Betapa pun, tentulah beliau sedar kami turut sedia mengetahui dan memahami akan hal itu. Namun, tetap menarik untuk direnung bersama.

Pada kesungguhan nada ujaran itu, dapat kami duga, tentulah kerana beliau gembira amat pada kunjungan kami. Dapat bersama-sama bersembang puisi. Memang kami berhasrat untuk bersembang sastera dengan beliau, di samping tujuan kunjungan hormat. Lebih-lebih lagi kerana penulis sendiri sudah lama tidak berkesempatan bersua wajah dengan beliau.

Beliau yang kami kunjungi ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Tokoh korporat ini tentulah tidak perlu diperkenalkan lebih panjang lebar di sini. Lulusan Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA – UiTM) dan University of Swansea, United Kingdom ini kini merupakan Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad, setelah bersara daripada jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 2016 lalu. Di samping masih sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah bagi beberapa institusi dan pertubuhan, serta kini kembali menjadi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau merupakan individu terkenal dan dihormati sebagai tokoh korporat yang begitu meminati dan menghargai kesusasteraan. Malah, ikut prolifik berkreativiti, terutama dalam genre puisi, dari hujung dekad 60-an lagi. Di samping itu, beliau merupakan Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI).

Puisi bukan khayalan kosong, tidak bermakna, sebagaimana disangka oleh mana-mana segelintir awam. Puisi ialah pemikiran. Kekuatan dan ketinggian pemikiran. Malah, harus mampu dicapai secara halus dan indah kerana kesusasteraan dicipta dari sudut keindahan kreativiti …

Penulis bersama-sama Ikhram Muhamad Fadhly Husin dan Wan Mohd Helmi Wan Hussin – kedua-duanya dari DBP Wilayah Timur – berkesempatan mengunjungi Tan Sri Hamad Kama di Bachok, Kelantan, baru-baru ini, pada kebetulan beliau pulang kerana urusannya.

Beliau bersama-sama Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, melapangkan masa pagi bagi kehadiran kami. Pertemuan adalah di kediaman Tan Sri Hamad Kama di Kelantan, bersebelahan chalet HR Beach Resort (milik beliau), di kampung Pantai Chap yang tenang indah, sebahagian pesisiran pantai Bachok yang terkenal dengan jolokan Pantai Irama.

Pertama kali dahulu, penulis berpeluang bersua dan bersembang mesra dengan Tan Sri Hamad Kama ialah kira-kira tujuh tahun lalu, pada tahun 2016, di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu. Beliau diundang oleh Dato’ A. Aziz Deraman selaku Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) bagi merasmikan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, dihadiri oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sebagai tokoh tamu syarahan bagi program yang julung-julung kali diadakan, ketika itu.

Dari kiri: Dato’ Dr. Radzuan, Tan Sri Hamad Kama, penulis, dan Ikhram.

Pertemuan pada kali ini, bersama dengan dua pegawai DBP, mengakrabkan dan memesrakan lagi hubungan kami. Malah, cukup menggembirakan dan ceria sekali kerana turut berserta Dato’ Dr. Radzuan yang sudah lama prolifik berkarya puisi, sejak dekad 70-an, cukup terkenal dengan nama penanya, Wanrazuhar.

Tan Sri Hamad Kama memang akrab dengan Wanrazuhar sejak lama, semasa belajar di Sekolah Menengah Teknik Kuantan dahulu lagi, walau “Dato Wan” berpangkat “adik”. Malah, tentu jarang diketahui umum, di sekolah menengah inilah tempat Perdana Menteri sekarang, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pernah belajar juga.

Bertemu dengan Tan Sri Hamad Kama, beliau seorang yang mudah mesra. Bersama kami, jelas sekali beliau begitu girang dan seronok dapat bersembang puisi dan sastera. Justeru, bidang yang cukup diminatinya – meski beliau tokoh korporat – dihargai sebagai suatu kreativiti keintelektualan dan kesenian yang bernilai tinggi, selain ketekalan beliau yang turut berkreativiti dalam penulisan puisi.

Sepanjang sembang – tidaklah hanya hal yang menggembirakan dan ceria sahaja tentang kesusasteraan – terselit juga sedikit sebanyak kesal dan kekecewaan, terpendam sekian lama dalam nurani beliau.

Antaranya, menyentuh tentang pendidikan kesusasteraan di sekolah menengah harus didinamikkan lagi, pengajian kesusasteraan di pusat pengajian tinggi adalah penting sebagai antara disiplin, dan penerimaan masyarakat terhadap kesusasteraan masih rendah.

Meskipun, beliau sebenarnya “individu antarabangsa” yang acap berkunjung dan terlibat dalam beberapa urusan dan lawatan ke luar negara, namun beliau tetap tidak melepaskan peluang dan ruang untuk mengamati masyarakat dan kesusasteraan di negara-negara luar. Terutamanya dalam konteks dinamik kesusasteraan di negara-negara maju itu.

Beliau mengamati minat, penerimaan serta penghormatan tinggi terhadap bidang kesusasteraan dan puisi oleh kalangan masyarakat di kebanyakan negara maju, berbanding di tanah air ini yang masih belum dapat melonjak pada signifikan sedemikian.

“Tempat lahir para penyair dan penulis terkemuka mereka dikekalkan, dipulihara dan dijaga rapi. Sudut tempat minum dan restoran dikunjungi oleh tokoh penyair, sasterawan, adalah begitu tersohor. Tasik yang menjadi kegemaran kunjungan penyair, turut menjadi kebanggaan tempat kunjungan masyarakat. Cenderamata sempena tokoh pengarang terkemuka diminati, malah menjadi sebahagian daripada unsur pelancongan,” jelas beliau.

Tambah beliau, “Universiti-universiti mengambil berat akan subjek Kesusasteraan, betapa pun mereka merupakan negara industri, negara maju.”

Beliau memancing perbincangan, pada hakikat, kesusasteraan serta puisi ialah jiwa dan pemikiran manusia. Negara dan kemajuan tidaklah digerakkan oleh enjin dan mesin sahaja. Begitu juga, wang dan kemewahan bukanlah sebagai segala-galanya dalam erti kehidupan. Kesusasteraan, tegas beliau, ialah sebahagian dari aspek yang dapat memberikan kejernihan jiwa dan teladan moral.

Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1951, Tan Sri Dato’ Sri Hamad menggarap dakwat pena lalu ikut menyumbangkan kreativiti dan pemikiran dalam sejarah kesusasteraan di tanah air. Beliau sendiri bermula sejak penghujung dekad 60-an lagi. Karya puisi pertamanya ialah “Hari Masih Muda”, tersiar dalam majalah Mastika pada isu Februari 1969. Ketika itu, beliau masih di bangku sekolah, tingkatan empat, menuntut di Sekolah Menengah Teknik Kuantan.

Semenjak itu, beliau semakin mengasah minat, mempertajam bakat. Kreativiti puisinya terus mengalir, walau bagai anak sungai harus lebih berani mengalir jauh, pada liku-liku cabaran kematangan dan kebijaksanaan untuk tiba ke muara sastera tanah air.

Pada zaman usia mudanya, puisinya banyak tersiar dalam pelbagai media arus perdana. Oleh itu, ketika dekad-dekad awal keprolifikan kreativitinya, dunia sastera tanah air menyaksikan beliau sebagai salah seorang dalam baris penyair mapan. Beliau cukup terkenal dengan nama pena yang digunakannya, R. Hamkama.

Keprolifikan beliau, kemudiannya, terpandang mengendur. Justeru, tidak mudah lagi untuk menemukan puisinya terpampang dalam mana-mana akhbar dan majalah. Namun begitu, ketika itu, sebenarnya bukanlah beliau meletakkan penanya. Minat dan cintanya pada puisi sebenarnya kejap seperti akar pokok besar. Beliau mendraf dan menyimpan sahaja. Justeru, kesibukan dan kepadatan jadual hariannya tidak dapat dihindari lagi kerana bidang karier dan kepakarannya sudah menghala ke dunia korporat.

Tidak hairan, jika pengisian beliau dalam dunia kesusasteraan di tanah air pada dekad seterusnya itu, terpandang bagai sudah lompang. Sehingga penyair terkenal Kelantan, Wadi Leta S.A. pernah menulis sebuah artikel, tersiar dengan tajuk yang cukup mengejutkan khalayak sastera tanah air. Penulis tidak ingat, akhbar mana satu dan tarikhnya. Puluhan tahun lalu:

“R. Hamkama Sudah Mati”demikian tajuk artikel yang jelas tampak sebegitu tegas, berani dan lantang itu. Siapa tidak akan terkejut?

Tan Sri Hamad tertawa ketika bersembang menyentuh tentang artikel di luar duga itu. Tentu sahaja, pada sangka Wadi, tokoh penyair R. Hamkama sudah tidak memegang pena untuk mencipta puisi lagi. Akan tetapi, pandangan Wadi itu benar juga. Soal prolifik berkreativiti diambil kira dari segi lestari karya menemui khalayak pembaca dan masyarakat. Oleh yang demikian, niat sebenar Wadi menulis artikel itu agar tokoh ini kembali gigih berkreativiti.

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

Gelas Berwarna Merah (Bhg. 2)

Kredit Foto: Chaozzy Lin/Unsplash dan Radzuan Ibrahim

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.