27 Julai 2022, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail menandatangani buku pelawat DBP disaksikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP (kiri) dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP (kanan).

Kuala Lumpur –  Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran buku himpunan puisi hasil nukilan Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. MAZA, bertajuk Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani. Titah pelancaran DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan pelancaran buku tersebut disempurnakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail, Raja Muda Perlis menyempurnakan pelancaran buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani.

Titah Pelancaran DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail disaksikan oleh Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, penulis Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani yang juga merupakan Mufti Perlis, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Pelancaran buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamed, Ketua Perangkaan Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Uzir Mahidin, ahli Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara dan tetamu kehormat yang lain.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menerusi ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata bahawa buku Himpunan Puisi Dr. MAZA mempunyai keistimewaannya tersendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana buku tersebut merupakan buku himpunan puisi sulung karya Dr. MAZA yang diterbitkan oleh DBP. Ujar beliau lagi, “Apabila membaca puisi nukilan Dr. MAZA, kita seperti membaca kisah hidup beliau, termasuklah kisah beliau yang turut sama mengiringi DYTM Raja Muda Perlis mengayuh basikal dan cerita sewaktu beliau belajar di Jordan.”

Tetamu yang hadir dalam majlis pelancaran buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani.

“Puisi merupakan sastera yang tampaknya ringkas pada zahirnya, terhasil daripada kata-kata terbaik dan kemudiannya disusun menjadi bait-bait indah. Namun begitu, untuk melahirkan ilham dan idea yang disulam menjadi ungkapan yang indah dan sarat dengan makna tersirat itu bukanlah suatu kerja yang mudah,” tambah YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan penerbitan buku tersebut, terutamanya buat Dr. MAZA yang berjaya mengilhamkan karya yang begitu baik.

Memetik Kata Pengantar oleh Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, diharap dengan terhasilnya puisi dalam buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani yang sebahagian besarnya bertemakan kerohanian, kemanusiaan dan kesejagatan, puisi itu dapat menjadi ‘penyembuh’ atau terapi jiwa tatkala kita berdepan dengan pelbagai bentuk ujian daripada Yang Maha Esa.

Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari membicarakan buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani.

Dalam majlis yang sama, Sasterawan Negara yang terkini, iaitu YBhg. Dato’ Rahman Shaari mendeklamasikan puisi nukilan Dr. MAZA yang bertajuk “Termaktub Nama Faizuddin Putra” sebelum berbicara berkaitan dengan buku himpunan puisi tersebut. Beliau menyifatkan himpunan puisi tersebut mengandungi unsur aforisme yang mempunyai pesanan yang boleh dijadikan pegangan hidup. Antara puisi yang dibicarakan termasuklah “Pesanan Sebuah Mahligai” dan “Yang Benar Tetap Benar” serta pantun yang bertajuk “Cari Ganti”.

Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, penulis buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani.

Sebagai penulis bagi buku himpunan puisi tersebut, Dr. MAZA turut berkata bahawa penghasilan karya tersebut merupakan hasil galakan daripada Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin untuk menerbitkan kesemua puisi yang telah dihasilkan. Menurut beliau, pelibatan beliau dalam bidang penulisan puisi ini bermula sejak beliau berusia 14 tahun malah beliau pernah memenangi pertandingan dalam penghasilan puisi di sekolah. Dengan usaha pencarian semula puisi yang telah dinukilkan sejak tahun 1994 hingga 2021, maka terhasillah buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani yang memuatkan 62 buah puisi hasil buah fikiran Dr. MAZA sendiri.

Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menandatangani karya beliau.

Buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani merupakan hasil nukilan Dr. MAZA yang dikumpulkan sejak tahun 1994 hingga 2021. Sepanjang 27 tahun tersebut, beliau berjaya menghimpunkan sebanyak 62 buah puisi, termasuklah tiga buah pantun yang berkisar tentang pengalaman beliau dan realiti kehidupan masyarakat setempat. Selain itu, kesemua karya tersebut turut mempunyai nilai dan pengajaran yang mampu menyentuh sanubari setiap pembaca dan sekali gus memberikan didikan kepada masyarakat.

Majlis Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani pada pagi ini turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Encik Ahmad Shukri Abdullah dengan puisi yang bertajuk “Merdekakan Suara Penyair”, hasil nukilan Dr. MAZA dan persembahan nyanyian daripada Encik Badrul Hisham Abdul Hamid dengan lagu yang bertajuk Kepadamu Kekasih dan lagu puisi “Gaza Itu Memanggilku” yang juga merupakan puisi nukilan Dr. MAZA.

Selepas majlis tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat melawat pameran di lobi Balai Budaya Tun Syed Nasir dan bergambar bersama-sama tetamu yang hadir.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat melawat pameran di lobi Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP selepas berakhirnya majlis.
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (kanan) dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim (kiri).
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bergambar bersama-sama tetamu kehormat yang hadir.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.