26 Julai 2022, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Dalam puisi, apabila menyebut tentang kesempurnaan itu kadang-kadang akan berbunyi abstrak. Namun, saya rasa abstrak dalam konteks kesempurnaan pengucapan puisi ini bukanlah suatu perkara yang kita tidak boleh tanggap”, jelas Lutfi Ishak sebagai pembicara dalam program wacana “Kesempurnaan Pengucapan Puisi: Jalan yang Berliku-liku” kelolaan majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Selain beliau, pembicara yang lain ialah Salman Sulaiman dan moderator bagi program tersebut ialah Editor Dewan Sastera, Fadhli al-Akiti.

Jelas beliau lagi, dari keabstrakanlah – unsur kesempurnaan puisi – wujudnya puisi-puisi yang kekal dan dianggap agung sehingga mampu kekal relevan walaupun telah dibaca, diperhatikan dan dikaji merentas zaman. Puisi yang kekal atau sempurna ini akhirnya berpijak kepada dua aspek dan konsep utama, iaitu keindahan ungkapan dan keelokan idea dan isi.

Lutfi Ishak.

Aspek subjektif dan objektif dalam dua aspek puisi ini pula dihuraikan oleh beliau seperti berikut:

Hal subjektif itu terdapat pada keindahan, hal objektif pula pada isi dan idea. Jika dilihat dalam tradisi persuratan Melayu, yang subjektif  ialah keindahan kata-kata. Contohnya, jika pembaca hari ini melihat semula kata-kata yang dikeluarkan pada abad ke-17 atau abad ke-18 misalnya, kata-kata tersebut akan kelihatan janggal. Namun, jika dilihat pada isi dan idea dalam kata-kata itu, pembaca akan tetap dapat menghargainya.

Salman Sulaiman juga bersetuju dengan dua unsur tersebut. Jelasnya:

Sajak yang baik mempunyai dua aspek, iaitu kebijaksanaan, dan keindahan bahasa dalam pengucapannya”.

Namun, beliau juga turut mengakui bahawa kesempurnaan itu tidak semudah yang disangka kerana tetap susah untuk dicapai dalam apa-apa perkara pun.

Selain itu, beliau juga turut menekankan kepentingan terhadap keseimbangan dalam menulis sajak. Berdasarkan pemerhatiannya sebagai pemerhati dan kolumnis majalah Tunas Cipta, Penerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan itu berpandangan bahawa banyak karya mutakhir ini memperlihatkan tumpuan penulis baharu yang agak kuat pada permainan bahasa. Seiring itu, keseimbangan mula hilang apabila kekuatan makna dalam puisi itu goyah dan tidak jelas.

Salman Sulaiman.

Bagi beliau, terlalu ghairah dalam mencari ruang untuk bermain-main dengan bahasa boleh menjadi pintu kepada melemahkan karya.

Pengarang mapan seperti Muhammad Haji Salleh dan Rosli K. Matari sendiri tidak terlalu bermain dengan rima dan bahasa. Boleh dikatakan, setelah ditulis kata-kata dengan isi yang bermakna, rima dan keindahan bahasa itu didatangkan dengan tidak sengaja dari diri mereka.

Selain itu, keseimbangan dalam berkarya ini boleh disesuaikan juga dengan had. Lutfi Ishak berkata:

Had ialah perkara yang penting dalam menuntut keseimbangan. Apabila kita tidak tahu hadnya, di situlah bermulanya permainan bahasa yang keterlaluan sehingga hilangnya puisi yang berfungsi untuk masyarakat. Sedangkan pada akhir sekali, puisi ialah tulisan manusia untuk manusia.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada dasarnya untuk menulis sebuah puisi juga adalah untuk mengenal manusia. Atas dasar itu, beliau berpendapat bahawa untuk para penyair, pertama sekali yang mereka perlu jelas bukanlah puisi, tetapi apakah maknanya menjadi manusia.

Tidak wujud manusia yang serba boleh dan mampu tanpa ada keterbatasan atau had itu sendiri. Maka jika mampu bersifat aman dengan hakikat bahawa manusia itu memang memerlukan had dalam kehidupan, maka kata-kata puisi juga akan ditulis dengan keseimbangan.

Gunakan bahasa untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika mahukan bahasa yang indah dan seni yang cantik, kita kena terima dahulu bahawa ada had pada setiap sesuatu dalam alam ini. Oleh sebab itu sesetengah ilmuan berkata bahawa sastera itu ialah adab.

Bacalah Iqbal, Rumi dan karya Sastera Alam Melayu yang Melangkaui Sejarah

Salman secara khususnya mengharapkan karya mutakhir ini bersifat asli dan baharu. Beliau merasakan terdapat karya baharu yang klise dan berulang walaupun ada pengaruh daripada penulis lama. Lutfi pula memandang beberapa kelainan dan pembaharuan dalam berkarya ini sebagai suatu yang bukanlah tiba-tiba wujud, tetapi ditemukan dan dikaji semula oleh generasi baharu.

Salah satu cara hendak menulis yang lain dan baharu adalah dengan melihat semula karya-karya agung. Telusuri semula perkembangan karya Melayu yang bukan saja sepuluh atau dua puluh tahun lepas, tetapi sehingga empat atau lima ratus kebelakangan. Sejarah persuratan kita panjang. Dari situ baru kita boleh lihat semula kita sekarang berada di tahap mana?

Lutfi kemudiannya berkongsi beberapa karya yang sering menjadi rujukan beliau seperti Javid Nama (Muhammad Iqbal), karya-karya Jalaluddin Rumi, T. S. Elliot, T. Alias Taib, Rahimidin Zahari dan Wan Mohd Nor Wan Daud. Beliau juga tidak mengehadkan bacaan kepada karya puisi semata-mata. Beliau berpandangan bahawa unsur puisi juga boleh dilihat pada prosa dan menyatakan bahawa beliau membaca berulang kali Risalah untuk Kaum Muslimin (Syed Muhammad Naquib al-Attas) yang menurut beliau adalah seperti puisi dalam bentuk prosa.

Salman juga turut meletakkan Muhammad Iqbal sebagai pengarang yang patut dibaca oleh penulis muda. Beliau mengesyorkan karya Iqbal iaitu Rahsia-Rahsia Diri. Selain itu, beliau juga menyenaraikan Syair Rubai oleh Hamzah Fansuri, Gitanjali (Rabindranath Tagore), dan Masnavi (Jalaluddin Rumi) sebagai karya yang sering dirujuk oleh beliau.

Kesemua karya tersebut memberi pengaruh besar kepada penyair kita sendiri. Lutfi Ishak sendiri menunjukkan pengaruh Rumi dan Tagore dalam karyanya. Anwar Ridhwan melalui karyanya ‘Tercipta Dari Tanya’ pula lebih menghampiri karya-karya Rumi dan Iqbal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.