26 Julai 2022, 19:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena penganjuran Sayembara Puisi Kata-Pilar yang ketiga, Ainunl Muaiyanah, salah seorang juri penilai melihat semula manuskrip yang pernah dihantar untuk sayembara itu pada tahun-tahun yang lepas. Perkongsiannya itu diharapkan dapat dijadikan panduan oleh peserta sayembara tersebut pada kali ini.

Umumnya, beliau berkongsi sentimen dengan kebanyakan juri penilai lain. “Dari pihak juri penilai secara umum, kriteria yang diterima kadang-kadang mudah ditolak kerana tidak menepati kehendak penganjur.”

Secara peribadinya pula, Ainunl mencari elemen-elemen yang mengejutkan. Erti mengejutkan itu tidak semestinya membawa pembaharuan dan kelainan yang besar, tetapi lebih kepada karya yang berani dan bertanggungjawab dalam membawa kelainan.

Banyak elemen yang terdapat dalam manuskrip sayembara lepas yang dapat mengejutkan saya. Mengejutkan itu adalah daripada segi jenis bahasa yang digunakan kemas dan unik, di samping teruja melihat penulis-penulis baharu yang telah menemui suara dan bahasanya.

Seterusnya, beliau meneliti penyair yang mempunyai ‘permainan’ dan teknik tersendiri yang digunakan dalam manuskrip mereka. Gaya permainan mereka ini akan menjelaskan sudut pandang sebagai penulis yang menuju kematangan dan kedewasaan, serta melihat idea yang dapat dijernihkan dengan pengalaman dahulu atau pun sebaliknya.

Sesetengah peserta begitu ghairah menulis dengan kelainan tersendiri, namun tidak diiringkan dengan ilmu, diselarikan dengan pengalaman dan pembacaan yang tinggi, akan melahirkan karya yang tidak matang. Sebagai juri, beliau akui yang mereka hampir boleh meneka berdasarkan manuskrip yang dihantar bagaimana corak dan jenis bacaan serta pengaruh setiap peserta.

Nokturna karya Karim Mohd, pemenang utama Sayembara Puisi Kata-Pilar yang pertama adalah antara karya yang patut dijadikan rujukan. Kemenangan karya itu tidaklah kerana memaksa kelainan dalam berkarya, tetapi bersifat segar. Kesegaran akan dapat dinikmati jika hasilnya itu matang, terjaga dan sedap dibaca. Selain Nokturna, Tang ke Ting dan Noir Kota daripada sayembara kedua juga memaparkan sisi berani dalam diri penulis muda yang menulis dengan gaya berlainan serta unik, dan jarang dijumpai.

Noir Kota karya Ariff Mustaffa Hamzah membawa semula ‘fable’ dalam puisi yang menceritakan pancoraba kehidupan dalam kota. Gaya begitu sudah pernah dibuat, tetapi cubaan Ariff kali ini menjadi kerana menggunakan gaya yang berlainan dan berani. Nokturna pula seperti lahir dalam masa yang tepat dalam era pergolakan diri yang menjelaskan kehidupan generasi muda. Tema sepertinya juga pernah ditulis sebelum ini. Pemburu Kota tahun 1970-an dengan Nokturna tahun 2018. Masing-masing dalam usaha yang sama tetapi pembaharuan dilakukan oleh Karim Mohd pada tahun 2018 sebagai wakil suara generasi muda kini.”

Fahd Razy, yang juga akan menjadi salah seorang juri bagi Sayembara Puisi Kata-pilar tahun ini menambah:

Dalam sayembara lepas, kita juga lihat pada isu puisi yang menyentuh sensitiviti dan tabu. Jika mengkritik isu politik, hal itu masih tidak dikira sensitif bagi kami. Topik tabu itu bergantung. Contohnya mungkin daripada segi sensitiviti agama, di situ kita harus meletakkan batas. Seperti dalam Momen karya Quratul Ain, walaupun ada menyentuh agama-agama dunia seperti Yahudi, Kristian dan sebagainya, tetapi karya tersebut tidaklah sampai menyentuh perkara yang mendalam dan sulit seperti isu akidah. Karya tersebut lebih kepada bercakap tentang budaya.

Dalam sayembara pertama contohnya, ada satu manuskrip yang meletakkan perkataan yang membawa maksud alat sulit dan mencarut. Beliau sebagai penilai tidak merasakan bahawa perkataan itu perlu, malah yang lebih utama lagi, perkataan itu tidak pula menguatkan puisi.

Selain itu, penggunaan bahasa selain bahasa Melayu juga memainkan peranan dalam membentuk puisi. Penggunaan jargon bahasa Inggeris atau Arab untuk memberikan maksud kepada puisi kadang-kadang digunakan agar tidak melarikan emosi atau konotasi makna yang ingin disampaikan oleh penulis. Namun demikian, perlu juga berhati-hati dalam menggunakan bahasa yang bukan bahasa Melayu kerana sampai satu tahap boleh dipersoalkan sama ada puisi itu masih puisi bahasa Melayu, atau puisi bahasa asing.

Jangan Terburu-buru Menghantar Karya

Kelemahan ketara dalam manuskrip sayembara lepas didedahkan Ainunl sebagai penyertaan yang bersifat terburu-buru. Beliau akui sebahagian karya seronok dan sedap untuk dibaca tetapi dicemari dengan penulisan yang terburu-buru di tengah jalan.

Beliau mencadangkan agar sunting dahulu karya sebelum dihantar. Merancang proses, tulis dengan berhati-hati dan luang masa sebelum hantar manuskrip.

Sayang kerana sebahagian daripada manuskrip yang dihantar ini pada permulaannya bagus, menarik dan sedap puisinya, tetapi di tengah jalan, kualitinya merudum jatuh kerana penulisannya terkejar dihimpit tarikh sayembara dan secara tidak langsung melemahkan mutu karya. Utamanya, jangan takut untuk mencuba. Kami sarankan penulis untuk mencuba. Yang penting selaraskan usaha dengan ilmu. Terapkan sekali kefahaman kepada subjek yang dipilih. Malah, jangan meminjam bahasa orang lain menjadi bahasa kita sendiri.”

Kenyataan ini dikongsi Ainunl dan Fahd dalam sesi Mengopi Puisi anjuran Kata-Pilar di Twitter Space @katapilarbooks baru-baru ini bersempena anjuran Sayembara Puisi Kata-Pilar 3.0.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.