Oleh Ismail Daud
25 Julai 2022, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpat – Lebih 20 penulis berkampung di Galeri Pakdo pada hari pameran dan jualan buku sempena Program Merakyatkan Buku Penyair Kelantan. Program tersebut bermula selama dua hari iaitu pada 16 Julai hingga 17 Julai lalu.

Antara penulis dan penyair yang hadir ialah Awang Abdullah, Wan Asyeah Wan Nawang, Rohani Deraman, Aminuddin Mamat, Supian Hanuman Ikan, Ilmin Abdullah, Aibidiey, A. Ghaffar Daud, Hashim Latif,  Mimie, Eziz Sukman, SujataWee, Shamshinar, dan yang lainnya.

Sebahagian buku daripada Galeri Pakdo yang dipamerkan sempena Program Merakyatkan Buku Penyair Kelantan.

Galeri Pakdo, yang dikendalikan oleh penyair Ediramle Ismail di Kok Pasir, Tumpat, Kelantan mempamerkan lebih 5000 buku. Galeri Pakdo tersebut dibuka sejak tahun 2016 dan pelbagai aktiviti telah diadakan di situ termasuklah pertandingan membaca, pertandingan membuat video kreatif, menanam sayur-sayuran selain tanaman pokok hiasan semasa pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Dalam program tersebut, penyair jemputan, Aminuddin Mamat mendeklamasikan sajak ‘Ke Ruang Katarsis’  karya Zaen Kasturi selain Awang Abdullah serta Mimie mempersembahkan selingkar kisah dalam ‘Balada Seorang Pendikir.’

Program itu diserikan lagi dengan persembahan dikir barat oleh penulis dan artis dikir barat, Supian Hanuman Ikan melalui buku hasil karyanya, ‘Lirikku Lukisan Jiwaku’. Selain itu, penulis skrip drama televisyen, Wan Asyeah Wan Nawang serta Rohani Deraman turut menyampaikan petua menghasilkan skrip bermutu yang boleh memikat hati penerbit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.