25 Julai 2022, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – ‘Mengislahkan’ pemikiran dan melakukan pembaharuan (tajdid) masyarakat dimaksudkan oleh Prof. Khairudin Aljunied sebagai sebuah inisiatif yang bertulangkan motif intelektual. Perkataan tajdid yang berasal daripada bahasa arab dikembangkan daripada jadid membawa maksud baharu; manakala islah yang turut berakar daripada bahasa yang sama pula membawa maksud reformasi, iaitu pembentukan semula sebuah struktur, atau penambahbaikan.

Melalui bicara anjuran Universiti Utara Malaysia dan Pelita Dhihin, beliau (Universiti Brunei Darussalam) tampil sebagai pembicara dalam wacana ‘Tajdid dan Islah di Dunia Melayu’.

Dalam wacana ilmu, tajdid dan islah ialah usaha yang dilakukan oleh kumpulan pemikir untuk mengembangkan dan meningkatkan daya intelektual masyarakat. Pembaharuan tersebut dilakukan oleh pelbagai bentuk kumpulan daripada pelbagai bidang dan disiplin ilmu, sama ada kumpulan agama, politik, mahupun sastera. Mereka ini boleh dipanggil sebagai ‘mujaddid’ setelah mencapai tahap reformis yang sebenar.

Beliau menerangkan bahawa mereka yang telah mencapai tahap tersebut merupakan pemikir yang mengajak kepada kecemerlangan, keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan membebaskan diri daripada kejahilan dan tahyul.

Prof. Khairudin Aljunied sedang menyatakan perihal islah dan tajdid.

Dalam alam Melayu, ‘pentajdid’ dan ‘pengislah’ perlu menafsirkan kembali teks pemikir dan sastera terdahulu, teks para ulama, dan juga adat rencam kebudayaan tempatan. Perspektif dan pemerhatian terhadap kedudukan sosial, ekonomi dan politik masyarakat juga perlu diteliti semula.

Usaha ini kritikal dan perlu dilakukan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang seimbang, dinamik dan relevan”, ujar beliau.

Tambah beliau, memandangkan usaha tajdid dan islah ini ialah usaha yang bermotif intelektual, maka golongan ini sekurang-kurangnya perlulah mempunyai karya tulisan mereka sendiri. Jika tidak ada karya, maka tidak sepatutnya digelar mujaddid.

Sejarah dunia Melayu menyaksikan kebangkitan yang sistemik oleh kumpulan ‘pentajdid’ dan ‘pengislah’ bermula pada kurun ke-19. Masyarakat Melayu didedahkan oleh pembaharuan tersebut secara rintis oleh kaum sufi. Jelas beliau:

Sebenarnya, pelopor dalam mereformasikan pemikiran masyarakat secara sistemik ialah kaum sufi, bukannya pemikir modenis. Syeikh Yusuf Al-Makassari dan Tuanku Imam Bonjol merupakan antara tokoh pelopor islah dan tajdid ketika itu.

Manakala pemikir modenis pula menyusul dalam fasa yang kedua. Menurutnya:

Ketika itu muncul pemikir modenis yang memikirkan kembali bagaimana Islam boleh diinterpretasikan dan bagaimana untuk menafaskan pemikiran progresif dalam masyarakat.

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Hamka, digelar mujaddid oleh beliau dalam era ini. Beliau mengenangkan jasa Hamka sebagai seorang sasterawan yang merubah masyarakat melalui tulisannya. Novel-novel Hamka yang dilihat sebagai novel cinta tidak hanya dibaca sekilas lalu, malah menginspirasikan, dan membawa perbincangan kritis serta menjadi tiang ideologi dalam membina pemikiran.

Selain itu, beliau juga menyifatkan novel-novel Hamka sebagai suatu alat yang sesuai dengan zamannya, lebih-lebih lagi jika dilihat menerusi konteks untuk menarik minat generasi muda. Melalui cerita-cerita cinta Hamka yang terkenal sebagai cerita cinta tragedi, pelbagai unsur dan sentimen utama kehidupan dapat diterapkan kepada pembacanya. Hamka yang merupakan seorang pemikir dan mujaddid cuba untuk membentuk pemikiran generasi muda terhadap Islam dan sifat tanggungjawab.

Fasa ketiga mujaddid dalam dunia Melayu pula berlaku pada era pascamerdeka. Kebanyakan pemikir merupakan mereka yang pulang belajar dari luar negara dan berkeinginan tinggi untuk melihat masyarakat bergerak ke arah pemikiran moden dan progresif. Secara tidak langsung, fenomena ini mempengaruhi pergerakan pemikiran masyarakat Melayu. Menurutnya:

Mereka ini yang pulang dengan kesedaran yang baharu mahu masyarakat tempatan menjadi masyarakat yang ‘madani’, dan berpandangan global.

Beliau turut menyebut dan menyenaraikan sasterawan yang terlibat dalam mengusahakan tajdid dan islah, khususnya penulis yang terlibat dalam gerakan ASAS 50.

Antaranya ialah Keris Mas, A. Samad Ismail, dan A. Samad Said. Sasterawan kita dalam usaha untuk ‘mentajdid’ dan ‘mengislahkan’ masyarakat Melayu ketika itu bergerak dengan rupa motif yang jitu. Saya ada sebutkan dalam buku saya, Radicals: Resistance and Protest in Colonial Malaya, iaitu khususnya melalui gerakan ASAS 50, terlihat usaha sistemik dalam merubah masyarakat melalui sastera. Mereka menggunakan kebolehan dalam menukang karya untuk memberi gambaran baharu kepada masyarakat tentang hakikat dunia dan tanggungjawab kita kepadanya. ASAS 50 atau Angkatan Sasterawan ’50 merupakan antara gerakan sastera yang tertua di Malaysia. Slogan ‘Seni untuk Masyarakat’ diterapkan sebagai misi mereka dalam mengangkat sastera dan masyarakat.

Selain itu, antara isu lain yang beliau tekankan ialah hubungan masyarakat Melayu terhadap buku. Apabila diminta untuk menerangkan konsep ilmu di Nusantara sama ada keberadaannya terhad ataupun sebaliknya, beliau tegas berpendirian bahawa konsep ilmu di Nusantara – khususnya di alam Melayu – kuat dan berkembang, tetapi terdapat krisis besar yang meletakkan konsep ilmu itu dalam lohong risiko, iaitu penghormatan masyarakatnya sendiri terhadap buku.

Antara krisis besar dunia intelektual kini, malah dalam nasib masyarakat kita sendiri ialah betapa kurangnya kita dalam membaca buku, khususnya mereka yang berada dalam dunia akademik. Sangat membimbangkan apabila terdapat sebilangan pensyarah dan profesor dalam dunia ilmu sendiri tidak membaca buku. Untuk menjadi individu dalam masyarakat yang progresif, sekurang-kurang kita perlu membaca dan berfikir secara ‘ekstensif’ setiap hari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.