Oleh Salman Sulaiman
25 Julai 2022, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman memberikan reaksi terhadap perdebatan istilah “darah penyair” yang dikemukakan oleh Lutfi Ishak dalam sebuah sesi majlis perbincangan tentang pengucapan puisi.

Itulah maksud Lutfi. Dia bukanlah bertujuan mahu menjual semangkuk darahnya untuk mendapatkan duit belanja mas kahwin bagi melamar Puteri Bunian Gunung Jerai atau apa.

Kata-kata yang diungkapkan oleh Muhammad Lutfi Ishak, “Puisi ialah darah penyair yang ditukar menjadi kata-kata” tiba-tiba diangkat, dan kemudiannya diperdebatkan. Ada yang mempersoalkan kebenaran frasa yang dilontarkan oleh pengarang Kafe, Dondang Pembukaan dan Senandika ini.

Apabila berbicara tentang “darah penyair”, sebenarnya kita bercakap dalam konteks kepenyairan itu sendiri, iaitu dari sudut puisi – sebagai sajak. Kita tidak berbincang di luar batasan dunia kepenyairan. Kata-kata yang diungkapkan oleh Lutfi itu perlu dilihat sebagai satu ungkapan yang diucapkan daripada lidah seorang penyair. Hal ini kerana kata-kata tersebut diucapkan pun ketika membincangkan majlis sembang kami berkenaan puisi.

Sebagai sebuah puisi; betul, kata-kata tersebut ialah frasa sajak yang hiperbola, berlebih-lebihan. Namun sebagai sebuah sajak, dalam konteks penulisan puisi dan dunia kepenyairan – ia masih benar dan wajar. Penyair angkatan 2000 yang pernah muncul dengan cerpennya yang mendapat pujian “Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung” ini mengungkapkan berkenaan perjuangannya dalam penulisan karya sastera yang dilaluinya sejak lebih 20 tahun lalu. Darah ialah konotasi yang jelas tentang perjuangan yang jerih, yang luka, yang amat pedih.

Itulah maksud Lutfi. Dia bukanlah bertujuan mahu menjual semangkuk darahnya untuk mendapatkan duit belanja mas kahwin bagi melamar Puteri Bunian Gunung Jerai atau apa. Bukan juga untuk mendapatkan wang agar dapat membeli dakwat pena buat mengarang sajak. Jauh sekali ingin menjual darahnya untuk mendapat imbuhan supaya boleh meneguk kopi mahal dalam kafe tersohor di ibu kota. Darah ialah lambang peritnya liku-liku perjuangan yang dilalui sepanjang meladeni dunia sastera yang tidak kurang helah dan sepak terajangnya ini. Setiap perjuangan yang perit dan pedih itu selalunya akan menempuh cabaran getir hingga menyebabkan kita terluka sampai keluar darah.

Ungkapan perihal “puisi ialah daripada darah penyair” ini tidak jauh bezanya daripada apa yang diungkapkan oleh Awang Abdullah dalam esei kepenyairannya berjudul “Sekali Bererti, Selamanya Abadi” (Dewan Sastera Bil.05/2022): “Kenapa puisi? Puisi itu darah daging saya. Toreh berdarah, yang mengalir itu darah puisi.”

Lama sebelum itu, kata ‘darah’ telah digunakan oleh Sapardi dalam sajak “Kami Bertiga” yang dimuatkan dalam bukunya yang terkenal Sihir Hujan (DBP, 1984):

dalam kamar ini kami bertiga:
aku pisau, dan kata –
kalian tahu, pisau barulah pisau kalau ada darah di matanya
tak peduli darahku atau darah kata

Tidak jauh bezanya penyataan Awang dan Sapardi jika dibandingkan dengan apa yang baru saja diungkapkan oleh Lutfi. Ketiga-tiga mereka bercakap tentang darah kepenyairan, sebagai lambang dalamnya cinta kasih mereka terhadap puisi.

Rahimidin juga menggunakan kalimah ‘darah’ dalam sajaknya “Aku Debu Piatu” yang dimuat dalam buku Perahu Fansuri (Sindiket Sol-Jah, 2011):

Engkau
yang lebih dekat
dari urat leherku

alirkan
zikir darah
menyebut-nyebut
asma kasih-Mu
dalam urat nadiku

hembuskan
tasbih hayat
menyebut-nyebut
zat kebesaran-Mu
dalam setiap
butir nafasku

keagungan-Mu
mengalir dalam
nafas dan darahku.

 aku debu piatu.

Makanya, ungkapan “darah penyair” tidaklah pelik atau janggal kerana ungkapan ini diungkapkan oleh penyair yang benar-benar ada dalam dunia kepenyairan dan betul-betul memahami mehnah dunia kepengarangan.

Kita mengenali Lutfi sebagai seorang pengarang yang ingin melihat dunia sastera yang murni ini tidak diganggu-gugat dan dicemari oleh tangan-tangan kotor yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan sekadar mahu mengangkat diri sendiri. Hal yang diperjuangkan oleh Lutfi adalah terhadap keseluruhan dunia kepengarangan dan untuk semua warga penulis-penyair yang ada. Dia bukan bertindak untuk kepentingan sendiri dan tidak bercita-cita pun untuk penuhkan koceknya melalui penglibatan dalam arena sastera ini. Akan tetapi yang difikirkannya ialah nasib para penulis dan keadaan bangsa kita pada masa hadapan, seandainya sastera ini dirosakkan oleh manusia-manusia yang hanya memakai topeng pengarang.

Hujahan ringkas ini wajar ditutup dengan sajak Lutfi sendiri dalam Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (Kata-Pilar, 2018) berjudul “Kamus untuk Para Pembohong”.  Ditujukan sajak ini kepada para pembohong kerana dia ingin melihat dunia persajakan kita didukung oleh orang jujur dan amanah dengan beban kepenyairan yang digalas. Dia mahu setiap penyair itu menjadi manusia yang jujur dan berhati luhur. Itulah prinsip yang dipegangnya sejak dulu.

Sajak yang ditulis oleh Lutfi dalam kembara ke dua kota besar Caracas dan Istanbul ini begitu elok untuk kita selidiki dalam memahami inti sebenar bicara kita perihal “darah kepenyairan” dan keperluan kita memenuhkan dunia persajakan ini dengan insan budiman bercita sempurna yang bergelar pengarang sejati. Amati sajak tersebut sepenuhnya seperti berikut:

kenapa terbang jauh merentas lautan?
kerana aksara terbaik dari pengalaman.

dari dulu para penyair tidak membeli dakwat
darah mereka sentiasa pekat. kautahu
sebuah kamus yang tebal, kadang-kadang
tidak menawarkan sepatah akwal pun
kecuali kepada para pembohong.

perjalanan kali ini panjang, teramat panjang
puluhan jam terapung membuatku linglung;
tidak ingin kutahu lagi di mana, atau di sebelahku siapa
ayuh mendarat, kataku, tapi senandika
sejenis puisi, suatu pemberontakan sunyi
berakhir dengan penghakiman diri.

pesawat terus terbang, tidak terusik
di luar, siang dan malam sebatas kata-kata
sesekali kapal terbang tersengguk-sengguk
oh, apakah dia juga mengantuk?

Kredit Gambar: Erick Butler/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, ‘Ngembara…, ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!