Oleh Nisah Haron
23 Julai 2022, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nisah Haron meneliti kembali betapa pentingnya sesebuah perjalanan anugerah sastera disusun secara strategik demi pengukuhan perkembangan sastera yang cemerlang.

Selepas acara besar, biasanya angin yang berpusar di media itu cepat reda. Minat berkalih dan kalau ada pun mereka yang tegar sahaja masih mencari-cari karya yang dimenangkan.

Karya sastera bersifat subjektif dan pemenangnya bukanlah terpilih kerana ia unggul tetapi kemungkinan terdapat satu tempat sahaja untuk kedudukan itu. Tanpa sebarang pilihan, juri perlu meletakkan karya itu sama ada di tempat pertama, kedua dan seterusnya. Merit yang berbeza dan kualiti karya yang sama kuat menyukarkan tugas seorang juri. Di sinilah pentingnya, senarai pendek yang turut menunjukkan wibawa sang juri (yang boleh dibaca melalui laporan panel hakim) dan alasan sesebuah karya itu dimenangkan.

Sesebuah karya boleh diberikan kedudukan teratas kerana kecenderungan juri atau aspek teknikal yang dipenuhi. Namun begitu, setelah dibaca oleh khalayak umum, barangkali karya yang tidak dimenangkan itu menyentuh perasaan pembaca pada era tertentu dan kemudiannya lebih diingati. Misalnya, novel Salina oleh Sasterawan Negara A. Samad Said mendapat hadiah penghargaan berbanding dengan Musafir (Hasan Ali) yang menerima hadiah utama. Tanpa menafikan kekuatan novel Musafir, Salina lebih signifikan, diingati dan menjadi novel ikonik A. Samad Said dan telah pun melepasi ujian zaman apabila menjadi karya yang malar segar sehingga kini.

Hal ini telah saya catatkan dalam artikel berkenaan:

Terpilih dalam kalangan karya yang sama-sama hebat menjadikan karya berkenaan bertambah kuat, berbanding dengan karya yang sekadar mengetepikan lawannya yang memang jauh tidak setanding. Menang dalam kalangan karya yang lemah tidak semestinya karya yang menang itu kuat.

(Nisah Haron, 2010)

Laporan hadiah sastera pula biasanya diedarkan pada hari penyampaian hadiah ataupun diterbitkan selepas itu. Sebarang respons dan komentar, semuanya menjadi ibarat rumah sudah pahat berbunyi. Keputusan hakim muktamad dan segala keluh-kesah akan habis begitu sahaja di angin lalu. Lebih malang lagi, apabila sesebuah pengumuman hadiah sastera itu tidak diikuti oleh sebarang laporan panel hakim. Penulis dan pembaca tidak dapat melihat alasan atau sudut yang menjadi pilihan juri ketika membuat keputusannya. Hal sebegini bersifat diktator dengan tidak memberikan peluang kepada sesiapa membincangkan alasan sesebuah karya itu dimenangkan.

Hayat berita dalam media pula selalunya pendek dan ini tidak memberikan sebarang kesan yang mendalam kepada masyarakat. Selepas acara besar, biasanya angin yang berpusar di media itu cepat reda. Minat berkalih dan kalau ada pun mereka yang tegar sahaja masih mencari-cari karya yang dimenangkan. Justeru, kita sering terlepas pandang akan berita-berita sastera yang besar, termasuklah Anugerah SEA Write hatta pengumuman Anugerah Sastera Negara sekalipun!

Kepentingan Senarai Pendek

Mereka yang namanya direkodkan dalam senarai pendek menunjukkan saingan, potensi dan kualiti karya yang wajar diberikan perhatian.

Finalis atau senarai pendek karya eceran, misalnya, perlulah cepat dibukukan. Pastinya penulis boleh segera memberikan hak penerbitan dan antologi ini mampu mendapat perhatian pembaca. Andainya penganjur masih lagi terawang-awang dan tidak tangkas dalam soal hak cipta, pastinya semua ini terlepas begitu sahaja. Penganjur melakukan semua ini hanya selepas pengumuman bukannya sebelum. Hal ini dibuktikan dengan antologi Cinta Sekerdip Embun (DBP, 2010) untuk cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1997–2005 dan Tanah Nurani (DBP, 2009) untuk puisi-puisi yang memenangi HSPM 1997–2005.

Sebenarnya, buku yang diterbitkan ini mempunyai tarikan yang tersendiri kerana karya-karya yang memenangi HSPM menjadi contoh, lalu menjadikan karya ini sering diperkatakan. Sekarang, bayangkan sebuah antologi yang menghimpunkan karya-karya yang telah disenarai pendek. Hayat karya-karya itu dapat dipanjangkan lagi dan dapat terus diperkatakan.

Kemenangan sama ada sebagai penerima HSPM, Anugerah MASTERA, Anugerah SEA Write mahupun Anugerah Sastera Negara akan membina profil kepengarangan penerimanya. Mereka yang namanya direkodkan dalam senarai pendek menunjukkan saingan, potensi dan kualiti karya yang wajar diberikan perhatian. Ini membuka ruang untuk karya ini diterjemahkan seperti yang berlaku kepada karya saya sendiri, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (yang diterjemahkan kepada Sangkuriang’s Love Oedipus’ Longing). Perkataan “shortlisted for Malaysia Premier Literary Prize 2006/2007” membuka mata masyarakat antarabangsa sewaktu bermukim di International Writing Program (IWP) di Iowa pada tahun 2015. Hal ini saya lakukan dengan penuh sedar sewaktu kumpulan cerpen itu diterjemahkan sebelum berangkat ke sana. Mujurlah laporan panel hakim untuk HSPM telah mula diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera dan saya menggunakan maklumat itu untuk menambah merit kepada karya itu.

Selain itu, karya yang disenarai pendek mampu menarik pembaca baharu dan memberikan pengukuhan pada pengkaryaan pengarangnya. Justeru, amalan mengumumkan senarai pendek haruslah diterajui oleh institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi penjaga amanah bahasa dan sastera tempatan agar dapat diikuti oleh penganjur-penganjur yang lain.

Dengan itu, kita dapat melihat ketelusan dalam penjurian, wibawa juri yang diumumkan terlebih dahulu dan mengenal calon-calon yang disenarai pendek supaya pembaca akan dapat mendekati karya-karya mereka.

Sudah sampai masanya sastera diuruskan dengan cara yang lebih berstrategi bagi mengelakkan keputusan-keputusan yang mengejutkan kerana pembaca dan masyarakat sastera alaf ini sudah lebih bijak memilih dan mereka ialah pembaca yang intelek. Penganjur wajar menghormati ujian kedua, iaitu ujian masyarakat sastera yang perlu dilalui sesebuah karya sebelum layak menjadi karya atau pengkarya yang melepasi ujian zaman!

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Finalis Hadiah dan Anugerah Sastera: Fenomena yang Tidak Dibina (Bhg. 1)

Kredit Gambar: MP7EO/Unsplash

_________________________

Nisah Haron dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan penerima Hadiah Sasterawan Muda Asia Tenggara (MASTERA) pada tahun 2017. Beliau memiliki lima buah novel, puluhan cerpen, esei dan sajak yang terbit dalam akhbar dan majalah tempatan dan antarabangsa, selain terpilih untuk diterjemahkan. Beliau mewakili Malaysia ke International Writing Program di University of Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 2015.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.