21 Julai 2022, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurHikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah karya historiografi yang cukup istimewa dalam sejarah kesultanan Kedah. Secara keseluruhannya, inti pati naskhah tersebut merakamkan sejarah dan cerita-cerita yang berkaitan dengan negeri Kedah pada zaman silam seperti asal usul raja serta kerajaan, dan pembukaan negeri Kedah sehingga kedatangan agama Islam. Unsur mitos dan fiksyen yang digabungjalinkan dalam setiap penceritaan Hikayat Merong Mahawangsa menyerlahkan lagi sisi keintelektualan pengarangnya.

Kajian dan penyelidikan berkenaan Hikayat Merong Mahawangsa telah banyak dilakukan oleh para ilmuwan dan sarjana dari barat dan tempatan.

Dewan Bahasa dan Pustaka melihat peri pentingnya manuskrip karya agung Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa dikaji kerana di dalamnya tercatat tentang salasilah dan pemerintahan raja-raja Kedah.

Ghani Abu (kiri) bertindak sebagai moderator dan Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan) sebagai ahli panel.

Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan) menyatakan demikian dalam Rancangan Bicara Karyawan yang membincangkan perihal buku kajian Hikayat Merong Mahawangsa: Karya Agung dalam Sejarah Kesultanan Kedah. Tambah beliau, “kajian-kajian tentang Hikayat Merong Mahawangsa pertama kalinya dilakukan oleh pihak British, terutamanya oleh James Low pada tahun 1840-an apabila manuskrip ini ditemui. Kajian seumpama ini akan menjadi rujukan penting kerana berkaitan dengan salasilah raja-raja negeri Kedah.”

Manuskrip ini perlu dibaca oleh semua golongan, terutamanya masyarakat Kedah sendiri. Salah seorang ahli panel yang lain dalam bicara tersebut, iaitu Encik Suhaidi Shukri (Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman) pula berkata bahawa, “suatu penghormatan kepada kerajaan negeri Kedah apabila Dewan Bahasa dan Pustaka berusaha mengangkat karya agung Kedah. Hal ini kerana Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah sebuah karya agung yang bernilai tinggi dan perlu disebarluaskan kepada masyarakat umum, terutamanya kepada rakyat negeri Kedah sendiri.”

Pihak Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman akan terus menyokong dan memberikan kerjasama kepada DBP untuk mengangkat karya agung berkaitan dengan negeri Kedah yang boleh diberi tumpuan seperti Syair Sultan Maulana dan Syair Duka Nestapa. Hal ini penting kerana melalui kajian dan penyelidikan, kita dapat mengetahui sejarah kesultanan Kedah, jelas beliau lagi.

Sementara itu, Dr. Ibrahim Bakar Langkawi (Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah) pula menjelaskan bahawa masyarakat terutamanya generasi muda perlu didedahkan dengan sastera sejarah yang sebenarnya.

Kajian berkaitan Hikayat Merong Mahawangsa sedikit sebanyak membolehkan kita memperbetulkan beberapa perselisihan pendapat dan pandangan yang timbul berkenaan karya agung ini sebagai sebuah sumber sejarah.

Buku Hikayat Merong Mahawangsa: Karya Agung dalam Sejarah Kesultanan Kedah yang dibicarakan tersebut akan dilancarkan bersempena Wacana Karya Agung Melayu Hikayat Merong Mahawangsa pada 27 dan 28 Julai 2022 oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah. Rancangan Bicara Karyawan ini dikendalikan oleh Encik Ghani Abu sebagai moderator.

Tonton bicara tersebut di sini:

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.