12 Julai 2022, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buat julung kalinya, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Sambutan Hari Puisi Kebangsaan (HPK) 2022 bertempat di Rumah GAPENA pada hari ini. “Puisi Kebangsaan Lambang Jati Diri Bangsa Malaysia” telah dipilih sebagai tema bagi sambutan tahun 2022.

YBrs. Dr. Tan Awang Besar (dua dari kanan) melancarkan Sambutan Hari Puisi Kebangsaan (HPK) 2022 dan disaksikan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (kiri), YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Borhan (dua dari kiri), Puan Haslina Dato’ Usman (tiga dari kiri), Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah (paling kanan) dan tetamu undangan.

“Puisi ialah kata-kata yang indah dan kata-kata yang terbaik yang boleh dijadikan nasihat dalam kehidupan. Bagi saya, penyair ialah perakam masa hadapan. Malah penyair juga boleh menyatukan kaum seperti lewat puisi yang dihasilkan oleh Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang,” kata YBrs. Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC, mewakili YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC ketika melancarkan Sambutan Hari Puisi Kebangsaan (HPK) 2022.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Puan Haslina Dato’ Usman, waris Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, YBhg. SN Dato’ Baha Zain, YBhg. SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari, barisan penyair tersohor tanah air dan tetamu undangan dari beberapa agensi dan individu perseorangan.

Roslan Madun turut hadir untuk menyampaikan lagu puisi semasa Sambutan HPK 2022.

Menurut Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua Dua GAPENA selaku Pengerusi Sambutan HPK 2022, Sambutan HPK 2022 yang bermula pada hari ini di Rumah GAPENA akan diteruskan pada peringkat negeri dan wilayah di seluruh Malaysia bermula dari 13 Julai hingga 30 Julai 2022. Tambah beliau lagi:

“HPK tidak hadir secara mengejut tetapi sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2017 dan dibincangkan pada tahun 2018 semasa Hari Puisi Nasional (HPN) di Bintulu, Sarawak.”

Berdasarkan perancangan tersebut, akhirnya satu ketetapan telah diputuskan pada Oktober 2021 semasa Hari Puisi Nasional Ke-21 di Pontian, Johor, iaitu tarikh 12 Julai dipilih sebagai Hari Puisi Kebangsaan bersempena dengan tarikh kelahiran SN Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang pada 12 Julai 1929.

“Selain memilih tarikh 12 Julai bersempena dengan tarikh lahir SN Usman Awang, HPK juga ditetapkan sambutannya pada tahun 2022 kerana pada tahun ini juga, genaplah 100 tahun puisi moden diperkenalkan di negara kita, iaitu pada tahun 1913,” jelas Datuk Haji Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA.

Puan Haslina Dato’ Usman, waris SN Usman Awang menyampaikan seuntai kata pada pembukaan majlis.

Menyentuh tentang pemilihan tarikh kelahiran SN Usman Awang berbanding dengan tokoh lain, beliau menyatakan bahawa SN Dato’ Dr. Usman Awang merupakan ikon penyair dan banyak puisinya memperlihatkan ketajaman fikiran, kehalusan perasaan dan keindahan bahasa dalam memperihalkan keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia.

Puan Haslina Dato’ Usman, waris SN Dato’ Dr. Usman Awang turut menyampaikan seuntai kata semasa pembukaan majlis tersebut. Beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas pemilihan tarikh tersebut sebagai mengenang jasa SN Dato’ Dr. Usman Awang.

Dalam majlis sambutan yang sama, Dr. Tan Awang Besar turut melancarkan dua buah buku baharu terbitan GAPENA, iaitu Antalogi Puisi Bahasa Bonda dan Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Jangan Gendang Bertingkah Lagi. Selain itu, SN Dato’ Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan SN Dato’ Rahman Shaari telah dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2022.

Bacaan puisi oleh penerima Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2022, SN Dato’ Baha Zain (kiri) dan SN Dato’ Rahman Shaari (kanan).

Bagi membangkitkan jati diri bangsa melalui puisi, semasa menikmati jamuan petang, tetamu undangan dipersembahkan dengan deklamasi puisi oleh Dr. Shamsuddin Othman, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dan Buck Lee @ Adam Bakhtiar Abdullah.

Dua buah judul baharu terbitan GAPENA yang dilancarkan bersempena dengan Sambutan HPK 2022.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.