7 Julai 2022, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerancakan era globalisasi telah mengubah ukuran sesebuah kejayaan. Pada hari ini, masyarakat sering kali menilai kejayaan dengan limpahan material dan kuasa. Dalam keghairahan, nilai kerohanian semakin disisihkan. Manusia menjadi obsesi untuk mendaki tempat tertinggi dalam setiap hal sehingga mengabaikan prinsip moral.

Di tengah-tengah kebejatan sosial yang melanda, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman mencoret perasaan dan pemikirannya yang enggan tunduk pada ketamakan manusia melalui tulisan sajak. Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin mengumpulkan 77 buah puisi yang ditulis oleh beliau dari tahun 2018 hingga tahun 2022 berdasarkan pengalamannya dalam dunia korporat.

Saya melihat ada tiga latar di sini, iaitu yang pertamanya, di tanah air; yang keduanya, di Eropah, terutamanya di London; dan yang ketiganya, di Tanah Suci. Daripada tiga latar ini, terpercik satu pemikiran dan dikumpulkan dalam satu bentuk pengucapan yang saya lihat dari sudut psikologi harapan.

Perkara itu dikongsi oleh Zaen Kasturi ketika membicarakan buku kumpulan puisi ini dalam majlis pelancaran buku tersebut pada pagi ini.

Zaen Kasturi menyentuh tentang perspektif psikologi harapan dalam sajak yang ditulis oleh Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

“Al-Ghazali mengatakan bahawa kerinduan ialah bola api yang dinyalakan oleh Allah di dalam hati kekasih-Nya yang mempunyai sejuta keinginan dan bermacam-macam persoalan,” ujar beliau.

Zaen Kasturi mengaitkan ungkapan tersebut dengan buku kumpulan sajak ini apabila mengesan kecenderungan penulis yang menggunakan perkataan “rindu” dalam kebanyakan tulisannya. Menurut beliau, tatkala manusia dihimpit dengan cabaran kerana terpaksa berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi dan politik, manusia tetap memegang harapan untuk terus menjalani kehidupan. Persoalan yang dibangkitkan oleh penulis tentang kerinduannya pada janji, kejujuran, keberkatan dan sebagainya, menggambarkan harapannya tentang sebuah kehidupan yang murni.

Ulasnya lagi, penulis juga bijak dalam menyusun bahasa sajaknya. Penulis menimbulkan harapannya dalam nuansa yang harmoni tanpa menggunakan perkataan yang keras walaupun harapan yang dibangkitkan itu tercetus daripada kegelisahan masyarakat yang mendesak.

“Penambahan –lah dan –kan pada perkataan dalam buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin ini tidak bersifat negatif dan pasif tetapi dibumbui oleh kesan optimistik. Cuma optimisme itu tidak dijelmakan secara keras dan terlalu mengharap,” tegas beliau.

Jelas beliau, penggunaan –lah dan –kan menggambarkan kesantunan bahasa Melayu dan sikap keterbukaan dalam menghadapi sesuatu permasalahan yang melingkari kehidupan. Selain itu, perkataan seperti andai dan jikalau; serta teknik pertanyaan yang turut ditampilkan dalam sajak juga memberikan gambaran pada sesebuah harapan. Zaen Kasturi membacakan sajak “Kecintaan Kita?” yang terdapat dalam buku tersebut sebagai contoh.

Sajak “Kecintaan Kita?” yang terdapat dalam buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin mengutarakan sebuah pertanyaan tentang kecintaan. Penulis menyandarkan harapannya pada pencarian jawapan.

Beliau mengakhiri pembicaraannya dengan mengatakan bahawa seperti sifatnya seorang penulis, penulis Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin ini tidak menyuarakan harapan peribadi semata-mata tetapi sebenarnya juga menyuarakan harapan masyarakat secara keseluruhannya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.