Oleh Salman Sulaiman
7 Julai 2022, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman memberikan pandangan terhadap perancangan Hari Sastera ke-18 yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

Sastera kita ini untuk orang yang sudah berusia saja ke?

Saya tidak mahu ada isu berbangkit selepas ini berkenaan Hari Sastera ke-18 anjuran GAPENA bersama badan kerabat. Menurut jadual yang diedarkan, acaranya bakal diadakan pada 4 hingga 6 Ogos 2022 di Kota Bharu, Kelantan. Saya tidak ingin ada yang berkata nanti, “Kenapa hari tu tak bersuara? Kenapa sebelum ini tak cakap awal-awal? Kenapa lepas majlis berlangsung baru bercakap?” Saya tidak mahu selepas rumah siap, pahat masih berbunyi. Oleh sebab itu, saya tulis teguran ini – sekarang! Ketika program bakal berlangsung hampir sebulan lagi. Ketika apa-apa yang tidak sesuai dan kurang elok masih boleh dibaiki. Tatkala apa-apa yang tidak berapa baik dan kurang sempurna masih boleh diperbetul.

Apabila melihat jadual atur cara program Hari Sastera ke-18 tersebut, membuatkan kita tertanya-tanya, “Sastera kita ini untuk orang yang sudah berusia saja ke? Sastera Kelantan pun sama. Adakah milik sasterawan dan penyair lama sahaja?”

Memang kita tidak pernah menafikan sumbangan para penulis mapan Kelantan. Akan tetapi, dalam masa yang sama, kita juga tidak dapat menolak kehadiran S.M. Zakir, Azman Hussin, Nazmi Yaakub, A. Ubaidillah Alias, Zanazanzaly, Rebecca Ilham, Nimoiz T.Y, Faisal Mat Zawi, Adibah Abdullah, Fauzan Zain, Adni Bahiah Zahaba, dan beberapa lagi nama yang lain. Sayangnya, kita tidak jumpa pun nama mereka dalam senarai pembentang kertas kerja Hari Sastera ke-18 itu. Tidak ada seorang pun wakil penulis muda (yang sebenarnya sudah tidak berapa muda) sebagai pembentang kertas kerja.

Mungkin jadual acara hari pertama masih boleh berubah dan bertukar panel. Hal ini kerana perancangannya seperti masih belum muktamad nampaknya, dan sebab itulah barangkali masih belum mahu disebarkan kepada umum. Mungkinlah. Tambahan lagi, selepas mendapat kritikan dan sedikit teguran oleh Nazmi Yaakub di pos Facebooknya.

Acara hari kedua dan ketiga pun masih belum begitu dihebohkan. Barangkali saja panel pembentang akan berkemungkinan berubah. Jika ketetapan muktamad belum diputuskan, harapnya akan ada para penulis dan sasterawan daripada generasi baharu turut ditampilkan sebagai pembicara. Moga-moga, insya-Allah. Jika pembentang daripada kalangan usia 60-an semua, macam mana mahu menarik peserta daripada kalangan anak muda? Hal ini demikian kerana yang terlibat dalam sastera Kelantan ini bukanlah hanya orang lama. Sastera Malaysia apatah lagi. Anak mudalah yang turut memberi bara kepada perjuangan ini.

Apabila diteliti dari semua sudut penganjuran Hari Sastera ke-18 ini akan membuatkan kita tertanya-tanya: Sastera kita ini untuk siapa sebenarnya?

Sudahlah tarikh acara tidak berapa kena. Sepatutnya dibuat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Hal ini kerana program berkenaan di peringkat negara, acara bertaraf kebangsaan yang melibatkan penyertaan dari serata negeri di Malaysia. Kita semua pun maklum bahawa kebanyakan negeri cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad. Memang kita akui program pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu tersebut akan memudahkan pihak urus setia di negeri Kelantan. Namun hal ini akan menyusahkan peserta dari negeri yang cuti hujung minggunya jatuh pada hari Sabtu dan Ahad. Malahan, sudah ada kedengaran penulis yang tidak dapat hadir hanya kerana tidak mendapat cuti dua hari berturut-turut pada Khamis dan Jumaat. Jika dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad; mereka hanya perlu memohon cuti pada hari Jumaat sahaja.

Kita tidak nafikan, pilihan hari Khamis, Jumaat dan Sabtu itu akan memudahkan pihak urus setia yang tinggal di Kelantan. Akan tetapi, bukankah kebanyakan urus setia ialah penulis veteran yang sudah pun bersara daripada mana-mana tugas kerajaan dan swasta? Jadi, apa perlunya hari program dipilih pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu? Pelaksanaan tarikh sebegini hanya akan menyusahkan para penggiat dan peminat sastera dari luar Kelantan yang mahu ikut serta.

Kita juga terkejut dengan bayaran penyertaan untuk menghadiri program tersebut yang bakal diadakan di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu yang sangat mahal berbanding dengan acara-acara sastera sebelum ini. Tidak ada langsungkah kompromi penganjur untuk meramaikan peserta dengan memberikan sedikit diskaun untuk bayaran penginapan para peserta? Mengapa program sastera yang sepatutnya merakyat dijadikan platform untuk meraih keuntungan semata-mata? Kita tahu setelah dua tahun negara dilanda pandemik wabak COVID-19 menyebabkan semua orang susah dan tidak ada duit. Namun demikian, bertolak ansur dan berkompromilah sedikit agar yuran penyertaan tidak begitu tinggi mendadak demi kemaslahatan masyarakat awam agar mereka makin berminat untuk mendekati sastera kita yang sepatutnya murni dan lebih dihargai.

Apabila diteliti dari semua sudut penganjuran Hari Sastera ke-18 ini akan membuatkan kita tertanya-tanya: Sastera kita ini untuk siapa sebenarnya? Adakah hanya untuk elit-elit penguasa atau para bangsawan yang turun dari kayangan sahaja? Walhal negara ini majoriti penduduknya ialah warga marhaen daripada golongan B40 yang sedang mencongak duit belanja harian ketika harga barang-barang dapur tengah naik menggila!

Kredit Foto: Izdihar Sahalan/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, ‘Ngembara…, ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.