Oleh Norma Sanid
4 Julai 2022, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Program Secangkir Kopi bersempena dengan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ke-45 DBP Cawangan Sabah telah berlangsung pada 2 Julai 2022 dengan jayanya di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah. Program ini diterajui oleh Encik Nadin Haji Salleh sebagai moderator. Barisan panel pula terdiri daripada YBhg. Datuk Jamdin Buyong, Puan Azmah Nordin (Sasterawan Negeri Sabah ke-2) dan Encik Matlin Dullah. Topik yang dibicarakan kali ini ialah “DBP 66 dan 45 Tahun: Sudut Pandang Tokoh, Penulis dan Editor”. Program ini turut dihadiri oleh Datuk Jasni Matlani, iaitu Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamdin Buyong memulakan bicara dengan menyatakan landasan yang telah dilalui oleh DBP ialah landasan yang benar. Landasan pertama ke arah kewujudan DBP Cawangan Sabah bermula pada tahun 1950-an apabila wujudnya surat khabar Sabah Times. Setiap minggu, surat khabar ini mengeluarkan koleksi puisi dan sajak yang berkualiti. Bertitik tolak dari situlah, timbulnya cadangan penubuhan DBP untuk menyimpan dan memartabatkan bahasa dan sastera supaya teguh berdiri dan berkembang tanpa batas waktu.

“Saya dilahirkan di DBP Cawangan Sabah. Saya menganggap DBP Cawangan Sabah sebagai bapa angkat saya dalam membimbing serta memberikan api semangat dalam diri saya, seterusnya menjadi peneraju utama karya dan kerjaya saya.

“Bermula dengan hadiah sagu hati bagi novel yang pertama, saya terus mengorak langkah dan berjaya memenangi beberapa anugerah lain di peringkat negeri mahupun antarabangsa,” kata Asmah Nordin pula.

Panel ketiga, Matlin Dullah merupakan mantan karyawan DBP Cawangan Sabah di Unit Penerbitan suatu ketika dahulu. Beliau berkongsi pengalamannya ketika menjadi seorang editor karya kreatif.

“Untuk menjadikan sesuatu karya kreatif itu berkualiti bukanlah perkara yang mudah. Sewaktu itu, saya dan editor-editor lain mengendalikan majalah Wadah dan Buletin Membaca.

“Kami perlu mencari bahan-bahan bahasa dan sastera di seluruh pelosok Sabah serta melakukan kerja-kerja lapangan untuk memastikan karya yang diterbitkan itu berkualiti di negeri Sabah,” ujarnya.

Selain meneruskan program-program yang sedia ada di DBP Cawangan Sabah, beliau turut mencadangkan supaya DBP Cawangan Sabah mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri ke arah program-program baharu yang lain supaya bahasa dan sastera dapat disemarakkan lagi di negeri Sabah.

Antara para tetamu dan hadirin yang sempat bergambar pada sesi akhir majlis.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.