29 Jun 2022, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kemasukan teori sastera dari Barat memang mencetuskan perkembangan awal bidang ilmu teori sastera di Malaysia,” jelas Profesor Madya Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Abdul Halim Ali dalam Wacana Akademia: Teori-teori Sastera Malaysia, Tuntutan dan Cabaran anjuran Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. Forum tersebut dipengerusikan oleh Pensyarah ASWARA, Azrie Izham Hamzah.

Beliau menyatakan kemasukan teori dari Barat ini ialah menerusi beberapa proses, iaitu penulisan oleh sarjana melalui buku terjemahan dan buku persendirian; sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi dan amalan kritikan awam oleh tokoh sarjana sastera. Perkara ini juga mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh sastera negara seperti Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh yang menterjemahkan buku Teori Kesusasteraan: Satu Pengenalan oleh Terry Eagleton terbitan DBP.

Walau bagaimanapun, pada hujung tahun 1980-an, para sarjana sastera di Malaysia mula menyedari kelemahan teori sastera Barat. Hal ini diperakui oleh ramai tokoh sastera tempatan termasuklah Hashim Awang, Muhammad Haji Salleh, Abdul Rahman Hanapiah (Mana Sikana), Shafie Abu Bakar, dan Mohd Affandi Hassan.

Mengulas lebih lanjut berkenaan kesedaran sarjana sastera tempatan ini, beliau menjelaskan beberapa kelemahan teori Barat. Antaranya ialah memberi tumpuan hanya pada satu-satu aspek dan tidak menyeluruh; tidak mengambil kira aspek agama dan bersifat sekular; asas kepada teori Barat tidak kukuh dengan hujah yang boleh dipatahkan seperti hanya berdasarkan kepada pengalaman, mimpi dan pemikiran di bawah sedar; dan tidak sesuai digunakan untuk mengkritik teks sastera Melayu terutamanya yang bersifat Islamik kerana persekitarannya yang tidak sesuai.

Sehubungan dengan itu, tokoh sarjana sastera Malaysia mula mencipta teori sastera sendiri yang boleh menjelaskan tentang sastera Melayu dan sesuai dengan unsur setempat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!