29 Jun 2022, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam forum “Yang Lama Dikelek Yang Baharu Didukung” pada April lalu, Sasterawan Negara (SN) keenam, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh mengatakan bahawa pengarang berhak merubah dan membaiki karya mereka meskipun karya itu telah disiarkan kepada khalayak, atau diterbitkan. Raja Yusoff Ariffin bertanyakan pendapat beberapa orang pengarang yang menulis sajak tentang hal berkenaan.

Ada juga yang kesuntukan masa untuk menyunting sedangkan usaha mengumpulkan sajak tersebut pun sukar kerana pelbagai hambatan, apatah lagi mahu menyuntingnya.

Penyair era 1980-an yang masih menulis walaupun sudah kurang aktif, Abdullah Shuib bersetuju dengan saranan dan tindakan SN itu. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam sajak asal mungkin terdapat perkataan yang dangkal, lemah dan perlu digantikan dengan perkataan yang lebih mantap atau sesuai.

Abdullah Shuib.

Bercakap melalui pengalaman peribadi, Abdullah memberitahu beliau pernah menukar perkataan yang “canggung” dalam sajaknya untuk penerbitan antologi perseorangan berjudul Raung Merdeka pada tahun 2008 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya memang tidak tergamak membiarkannya terbit tanpa digantikan dengan perkataan-perkataan lain yang lebih murni, jelasnya yang juga merupakan guru bersara.

Dalam hal ini, tidak timbul masalah memohon keizinan editor yang telah menyiarkan sajak berkenaan terlebih dahulu. Tambahan pula akan timbul kesukaran jika sajak itu telah tersiar dua atau tiga dekad lalu, dan media penyiarnya telah ditutup, ataupun editor berkenaan bertukar ke tempat lain.

Mohd. Isnin Tawaf.

Mohd. Isnin Tawaf, penulis seangkatan dengan Abdullah, pula berpendapat penyair boleh menyunting sajak mereka, tetapi dalam kadar suntingan yang sangat sedikit.

“Kalau penerbitan sudah ditutup, penyair masih boleh mencatatkan penghargaan kepada media yang menyiarkan sajaknya itu,” katanya tentang persoalan memohon keizinan penerbit dan editor terlebih dahulu.

Berkenaan dengan pengalaman diri sendiri, Isnin yang juga Pengerusi Persatuan Komuniti Buku dan Pengkarya Tangkak, Johor mengatakan beliau jarang menyunting sajaknya kerana tidak dapat mengesan pemikiran lama dengan pemikiran masa kini.

Mungkinkah belum ada penyair yang melakukan atau menegaskan sebagaimana yang SN Muhammad Haji Salleh lakukan? Jika ada pun barangkali tidak ramai kerana penyair fikir sajak yang telah tersiar itu baik, muktamad dan sempurna. Ada juga yang kesuntukan masa untuk menyunting sedangkan usaha mengumpulkan sajak tersebut pun sukar kerana pelbagai hambatan, apatah lagi mahu menyuntingnya.

Mamu MK Hasny

Penyair meningkat naik yang sesekali turut menulis rencana dan cerpen, Mamu MK Hasny juga bersetuju dengan pandangan SN tersebut. Menurutnya tidak salah untuk menambah baik sajak sendiri untuk membukukannya.

Mutu sajak eceran juga mungkin boleh diperbaik jika tiada masalah penerbitan. Barangkali penulis fikir perlu ada penambahbaikan pada sajaknya untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Itu untuk memastikan hanya sajak terbaik dipersembahkan kepada pembaca agar menjadi kenangan manis baginya sebagai penyair, kata beliau yang menetap di Lekir, Sitiawan, Perak.

Menurutnya, setakat ini beliau belum pernah menyunting sajaknya yang tersiar dalam akhbar untuk penerbitan antologi. Beliau membiarkannya sahaja kerana yakin sajak-sajaknya itu sudah cukup mantap.

Ahmad Ramly.

Pencipta dan penyanyi lagu puisi terkenal tanah air, Ahmad Ramli amat bersetuju dengan SN kerana perubahan atau penambahbaikan yang dilakukan itu hanya terhadap sajak sendiri, bukan sajak penyair lain.

“Penyair boleh menyunting dan membetulkan sajak sendiri. Itu logik dan wajar. Yang tidak wajar ialah dia merubah sajak penyair lain,” tambah beliau yang mula terkenal dengan lagu puisi Katakan Padaku yang diangkat daripada sajak berjudul serupa karya A. Latiff Mohidin.

Kredit Foto: Jungwoo Hong/Unsplash

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.