29 Jun 2022, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kita punya sastera yang besar, bagus dan banyak unsur geniusnya, dan (pemerhatian) ini datang daripada seorang pelajar sastera Inggeris, bukan seorang nasionalis. Saya jumpa kekuatan, kelainan dan genius sastera Melayu itu sendiri, ia tak diajar pada saya.” Keyakinan inilah yang mendorong Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh untuk terus menterjemah manuskrip lama dan menulis tentangnya.

Menurutnya lagi, tugas menterjemah manuskrip lama perlu diberi perhatian. Masih ada ribuan manuskrip yang perlu diterjemah, diperkatakan dan dibesarkan. Jika hal ini diabaikan, lambat laun karya besar ini akan dilupakan dan kedudukan kita akan berada pada tingkat yang rendah.

“Jadi, saya nak tinggalkan pada orang muda kita, tolonglah terjemahkan, besarkan karya-karya ini, supaya kita terkenal juga. Orang lain terkenal kerana karyanya. Jepun terkenal kerana karyanya. Tapi oleh kerana kita malu, kita tak kedepankan karya ini. Maka, tertinggallah karya ini di dalam bilik, di kampung, di atas para dan dilupakan.”

Muhammad berkata demikian dalam acara Hati dan Minda Sasterawan, sebuah program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 4 Jun 2020 (Sabtu) di Pavilion Selangor bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Walaupun beliau mendapat pendidikan sepenuhnya dalam sastera Inggeris yang tidak memungkinkan beliau untuk menekuni sastera Melayu, namun, saat beliau melihat dan membaca Taj Us-Salatin di British Museum, beliau sangat teruja malah bertekad untuk mengangkat khazanah Melayu ini.

“Tidak beberapa lama saya berjalan di British Museum, ditunjukkan karya-karya Shakespeare tulisan tangan dan beberapa dari negara lain. Akhirnya sampai ke Taj Us-Salatin. Tak pernah saya lihat manuskrip secantik ini, lebih cantik daripada karya Inggeris sendiri, tapi tak ada sesiapa yang tunjukkan pada kita. Ini satu tradisi besar, dan sama cantik dengan Parsi, sama cantik dengan Arab, dan waktu itulah saya sudah berubah, saya kata ini sepatutnya jadi tujuan saya, saya patutnya terjemah.”

Apabila ditanya tentang perasaan beliau saat terpilih dan memenangi Anugerah Sastera Negara pada tahun 1991 yang membawa gelaran Sasterawan Negara, katanya ketika namanya dicalonkan, beliau berumur 48 tahun. Pada fikiran beliau, usia ini terlalu muda. Beliau sedang berada di luar negara ketika diumumkan sebagai Sasterawan Negara (SN). Lantas, beliau terus berangkat ke Malaysia dan menerima anugerah ini daripada Yang di-Pertuan Agong. Pada masa itu, penganugerahan dilaksanakan di bangunan Parlimen, bukan di hotel seperti hari ini. Menurutnya, keputusan ini sebenarnya merupakan hasil usaha SN Usman Awang yang berfikiran tinggi, yang melihat anugerah sebegini harus diadakan di tempat yang tertinggi, satu tempat yang terhormat yang bernuansa negara dan tinggi tarafnya.

Menerusi puisi, Muhammad Haji Salleh melahirkan keresahan dan kegusarannya.

“Sastera itu tugasnya memarahi orang yang memburukkan keadaan. Sastera itu gunanya untuk menyedarkan kita kepada keadaan dan kalau boleh menunjukkan di mana salahnya dan bagaimana cuba dibetulkan,” tegasnya.

Beliau turut berpesan kepada penulis muda untuk teruskan menulis kerana menulis menandakan kita bangsa yang berseni dan berfikir.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya tentang tradisi suka kepada perpustakaan dan buku yang sudah mula menipis dalam kalangan anak-anak muda. Menurutnya, orang luar bangga dengan khazanah buku yang dimilikinya. Beliau mengambil contoh perpustakaan di Universiti Harvard yang memiliki 15 juta buah buku. Mereka berasa besar dengan memiliki sejumlah khazanah ilmu untuk dipinjam oleh orang-orangnya dan dijaga dengan baik. Menurutnya lagi, pustakawannya sangat terbuka dan prihatin menyantuni permintaan.

“Di British Library, jika buku-bukunya disusun,boleh mengelilingi dunia sebanyak dua kali. Mereka sangat bangga memiliki buku yang banyak. Kita, menjauhi buku kerana buku mengumpul habuk,” katanya berseloroh.

Beliau turut menyambut baik penganjuran PBAKL 2022 setelah dua tahun terhalang akibat pandemik COVID-19.

“Pesta buku ialah perayaan intelektual, perayaan kejayaan kita menulis dan berfikir,” ujarnya. Penganjuran pesta buku juga bukan semestinya dalam skala yang besar sepertimana PBAKL, malah boleh diadakan di kedai-kedai buku, di perpustakaan dan diulang pada waktu-waktu yang tertentu. Penglibatan para pengarang amat penting untuk menghidupkan suasana. “Pembaca dapat lihat yang dibaca itu ditulis oleh seorang manusia dan inilah manusianya, dengan wataknya, dengan kelainannya dan bakatnya,” tambahnya.

Program Hati dan Minda Sasterawan ini turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook PPAS. Selain Muhammad Haji Salleh, acara ini turut menampilkan Fadli al-Akiti, Helmy Samad, anak SN A. Samad Said, SN Profesor Dr. Siti Zainon, dan lain-lain lagi sebagai tetamu panel.

Kata pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad, “Sudah tiba masanya kita menghargai sasterawan dan orang berilmu kerana pemikiran serta hati mereka selari. Mereka juga mengeluarkan fakta benar sekali gus masyarakat menjadi lebih terbuka dan pemimpin berani membawa perubahan.”

Acara ini dikemudikan oleh Siti Raihani Mohd.Saaid yang bijak mengurus acara menjadikan program ini sangat baik dan bermakna.

Tonton program Hati dan Minda Sasterawan bersama SN Prof. Muhammad Haji Salleh di sini.

Kunjungi halaman Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor untuk pelbagai program di PBAKL 2022 dan rakaman video acara lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.