27 Jun 2022, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seramai 18 pelajar menyertai Bengkel Penulisan dan Design Buku yang dianjurkan oleh IBH Khidmat yang diadakan di Kolej Komuniti Padang Terap, Kedah pada 18 Jun 2022. Bengkel penulisan itu dikendalikan oleh Encik Ilhami Hisham dan Wadiassofi Jaafar manakala bengkel design buku pula dikendalikan oleh Encik Ilhami Hisham.

Bagi bengkel penulisan, setiap peserta didedahkan dengan teknik atau cara untuk menulis dengan baik dan menjadi seorang penulis yang berilmu pengetahuan serta dapat menghasilkan karya yang bermutu. Peserta bengkel juga turut diberikan maklumat untuk menjadi seorang penulis yang baik serta dapat menguasai perbendaharaan kata untuk terus menulis sekiranya berminat menjadi seorang penulis.

Penulis yang baik dan berilmu pengetahuan ialah seorang penulis yang banyak membaca dan menjadikan penulis mapan sebagai idola mereka untuk terus berkarya serta mampu melahirkan karya yang berupaya mendidik pembaca mendekati bidang penulisan.

Bagi bengkel design buku pula, setiap peserta didedahkan dengan teknik mencipta kulit buku agar kualiti buku yang dicipta itu berkualiti dan menepati cita rasa pembaca. Di akhir bengkel, setiap peserta dikehendaki menghasilkan satu berita (penulisan) mengenai bengkel yang diadakan itu. Pemilihan pemenang dipilih oleh Wadiassofi Jaafar sebagai seorang penulis yang banyak menghasilkan karya sastera.

Tempat pertama dimenangi oleh Nur Ameera Natasha Yahaya, 24 tahun dari Kolej Islam Darul Ulum manakala tempat kedua disandang oleh Nur Liyana  Abdul Shukor, 22 tahun dari Kolej Islam Darul Ulum serta tempat ketiga dimenangi oleh Salsabeel Mohamad Rodi, 27 tahun dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Setiap pemenang menerima sebuah buku hasil karya penulis Wadiassofi Jaafar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.