24 Jun 2022, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Sasterawan Negara Anwar Ridhwan berkongsi kepada khalayak perihal pengalaman beliau dalam menyunting novel Arena Wati. Bagi sesetengah penulis, perasaan akan menjadi bercampur-baur setelah karya mereka digubah oleh editor. Menurut beliau, Arena Wati juga terkejut ketika mendapat berita bahawa 120 halaman daripada novelnya telah dibuang oleh Anwar Ridhwan yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penyelidik merangkap editor di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mengimbas perjalanan yang panjang ketika awal penglibatannya bersama DBP, beliau menyatakan pengalaman sebagai editor lah yang membentuk beliau sebagai pengarang.

Bermula dari situlah saya dapat memahami kepentingan tugas seorang editor. Saya sendiri seorang pengarang. Saya sangat berhati-hati ketika mengarang dan setiap kali saya siap menulis sebuah karya, saya akan tertunggu-tunggu komen dan teguran editor untuk mengetahui kekurangan dan ruang penambahbaikan yang saya boleh lakukan terhadap karya saya.

Ketika bertugas sebagai pegawai penyelidik di Bahagian Pembinaan dan Pembangunan Sastera, beliau dilatih sebagai editor. Beliau berkongsi kepada khalayak, “editor mempunyai tanggungjawab untuk memurnikan dan membantu sesebuah karya itu berkomunikasi dengan pembaca. Dengan kata lain, editor perlu memastikan pembaca dapat menangkap emosi dan intelektual karya.”

Seterusnya beliau bercerita pengalaman beliau menyunting tiga novel Arena Wati.

Menariknya tentang Arena Wati ialah manuskrip yang dihantarnya tebal. Biasanya 400 ke 500 halaman. Novelnya yang pertama saya sunting 900 halaman. Kita akan baca sekali lalu 900 halaman itu untuk mengetahui tema dan watak yang penting untuk menyokong ceritanya serta bagaimana hal tersebut mendorong plotnya.

Setelah pembacaan tersebut yang boleh mencapai dua hingga tiga kali bacaan, watak-watak yang tidak perlu, sentuhan yang baik tetapi kurang relevan dan sebagainya, hal-hal tersebut akan dibuang daripada manuskrip. Menurut beliau lagi, “Pak Arena Wati ini pembacaannya luas, jadi beliau perlu menapis beberapa pengetahuan luasnya untuk memastikan perjalanan cerita kekal relevan.”

Apabila saya kira jumlah halaman yang saya buang, lebih kurang 120 halaman semuanya, sedangkan itu ialah novel yang sangat baik. Sesetengah penulis memang tidak mahu karyanya disunting. Saya kira hal ini ialah pendirian yang silap kerana penulis tetap memerlukan editor untuk memperbaiki dan menambah baik karya mereka. Mujur Pak Arena Wati pengarang yang profesional, dan menghormati saya sebagai editor serta menerima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada komen yang saya berikan. Akhirnya, novel yang saya buang 120 halaman itu memenangi hadiah sastera.

Beliau menambah, novel kedua daripada Arena Wati yang beliau sunting turut dibuang lebih 100 halaman. Manakala manuskrip yang ketiga pula hanya 90 halaman sahaja yang beliau tapis dan ketepikan. Kerja penyuntingan beliau terhadap novel-novel Arena Wati tamat setelah beliau dihantar ke Tokyo untuk berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies untuk mengajar bahasa Melayu.

Beliau berkongsi pengalaman ini melalui sebuah sesi bicara Hati dan Minda Sasterawan anjuran Media Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.