Oleh Imlan Adabi
21 Jun 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

S aya beruntung kerana mengenali Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada awal dekad 1980-an ketika idealisme sebagai penulis amat tinggi. Saya tidak pernah bekerja di DBP tetapi ramai tokoh sastera ketika itu berada di bawah bumbung DBP, sebuah bangunan bersaiz sederhana beberapa tingkat tidak jauh dari Jalan Wisma Putra, di Kuala Lumpur.

Sebahagian besar mereka kenal akan nama ‘Imlan Adabi’ kerana beberapa karya saya diterbitkan dalam majalah terbitan DBP, terutamanya Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya. Bagi budak kampung yang baru menulis, bertemu dengan nama besar seperti Keris Mas, Usman Awang, Anwar Ridhwan, Kemala dan Baha Zain merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Mereka bukan sahaja sasterawan penting tanah air, tetapi juga tidak lokek bersantai dan bercerita tentang sastera. Di belakang mereka puluhan penulis dan sasterawan sedang bertenaga menghasilkan karya. Unit sastera di bangunan lama itu bagai dikuasai sasterawan muda yang lahir di bumbung DBP yang bersejarah itu.

Nama-nama seperti Johan Jaaffar, Suhaimi Haji Muhammad, Sutung Umar RS, A. Ghani Abdullah, A. Rahim Abdullah, Shamsudin Jaafar, Zaen Kasturi, Mohamad Shahidan, Talib Samat, Jaafar HS dan banyak lagi merupakan antara sasterawan muda dan pelapis yang dihormati. Mereka ialah guru, rakan dan teman seni yang akrab.

Selain karyawan DBP yang memeriahkan kesusasteraan tanah air, penulis luar juga kerap bertandang menghadiri majlis di Balai Budaya dan Sudut Penulis. Di situlah orang muda seperti saya ketika itu mengenal A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Siti Zainon Ismail dan banyak lagi.

Tugas sebagai wartawan mendekatkan saya dengan ramai sasterawan DBP. Ada masanya mereka menelefon saya pada waktu tengah malam semata-mata untuk liputan aktiviti membabitkan DBP.

Dekad 1980-an dan awal 1990-an ialah era yang mana kami tidak mengenal dunia siber. Internet yang disebar luas oleh mantan presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan (1911-2004) masih dimiliki oleh beberapa pihak sahaja. Kami tidak mengenal media sosial dan media digital. Ketika itu, penerbitan secara tradisional melalui majalah, akhbar dan buku merupakan sebuah pengalaman yang menarik.

DBP pada masa itu menjadi tumpuan sasterawan tempatan dan antarabangsa. Ada yang membuat lawak ketika itu bahawa jika sebiji batu dibaling ke kaca tingkap DBP, serpihannya akan mengenai kepala sasterawan Malaysia. Lawak ini tentunya bermakna kerana tiada agensi lain sehebat dan segigih DBP dalam melahirkan sasterawan dan budayawan bahasa yang ulung di Malaysia.

Hari ini, DBP bukan lagi berada di bangunan yang amat sederhana. DBP kini berdiri dengan menara kemegahan yang membuktikan kejayaan institusi bahasa, sastera dan kebudayaan itu sesuai dengan peredaran masa.

Tarikh 22 Jun sewajarnya diingati oleh setiap warga DBP kerana detik keramat, iaitu penubuhan DBP di Johor Bahru pada tahun 1956. Walaupun DBP mula beroperasi pada bulan Oktober 1956, semangat perjuangan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka sudah bermula di sini. Perpindahan DBP selepas itu dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada 12 Julai 1957 bertujuan untuk memudahkan segala pelaksanaan tugasnya selaras dengan pengisytiharan bahawa bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan yang akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara. Perjuangan DBP selanjutnya semakin mendapat tapak yang kukuh dan mempunyai matlamat yang pasti.

Kini, selepas 66 tahun ditubuhkan, DBP bukan lagi sebuah bangunan yang hanya menerbitkan buku dan melahirkan penulis ulung, tetapi juga berfungsi sebagai badan yang akan melaksanakan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan lingua franca.

Jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mendaulatkan bahasa Melayu bukan suara murahan politik. Beliau menggunakan bahasa Melayu ketika berucap dalam sidang antarabangsa. Beliau juga memberi jaminan kuasa eksekutif kepada DBP untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan bahasa Melayu.

Di sinilah letaknya tugas penting DBP untuk memperkasakan bahasa Melayu apabila mendapat sokongan dan restu daripada pemimpin negara. Perkembangan ini amat dialu-alukan kerana sebagai badan kerajaan yang sudah berusia 66 tahun, DBP mempunyai prasarana membangunkan bahasa dan sastera.

Penubuhan DBP merupakan hasil semangat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Akta DBP. Terdapat tiga matlamat utama, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan; dan mencetak, menerbitkan atau membantu dalam percetakan penerbitan buku dan sebagainya dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.

Tiga teras, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan ini secara langsung membina pakar bahasa, sastera dan penerbitan di DBP. Dalam tempoh 66 tahun, DBP telah banyak melahirkan pakar, misalnya pakar bahasa sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti penyandang kursi di Pengajian Melayu Beijing Foreign Studies University, iaitu YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan beberapa orang staf DBP yang bertugas di China. Begitu juga dengan beberapa orang pegawai sastera yang menjadi pakar rujuk dalam bidang penulisan, teater, sastera tradisional dan sebagainya yang masih mendapat tempat dalam masyarakat.

Bagi karyawan, sasterawan, budayawan dan ahli bahasa, bulan Jun tentunya bulan keramat dalam hati mereka. Jika tiada DBP, tentunya gerakan bahasa, sastera dan budaya penerbitan tidak bercambah. Kita perlu mengenang kembali sejarah penubuhan DBP, iaitu hasil daripada semangat, keringat dan air mata pejuang.

Tulisan kecil ini tidak cukup untuk menghargai jasa DBP. Matlamat DBP perlu dipugar dan diperkukuh. Orang mengenal DBP kerana jasa bahasa, sastera dan penerbitan. Sejak tahun 1981, terdapat banyak penerima Anugerah Sasterawan Negara dan ratusan pemenang Hadiah Sastera Malaysia serta penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara.

Anugerah Sastera Negara dipilih oleh Urus setia Panel Anugerah Sastera Negara yang ditunjangi oleh DBP di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pemenang menerima wang tunai RM30 000 dan pelbagai kemudahan menjalani kehidupan dan berkarya. Sejak tahun 2003, nilai hadiah ini telah ditambah menjadi RM60 000 di samping kemudahan menerbitkan karya sehingga mencecah RM500 000.

Jika DBP tidak menggerakkan Anugerah Sasterawan Negara, tentunya kita sukar menemui permata sastera yang tinggi nilainya. Saya membesar bersama-sama Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Ranjau Sepanjang Jalan, Umi dan Abang Sheikul, Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dan Sajak-Sajak Pendatang.

Harus diakui bahawa penulis marhaen seperti saya sukar lahir tanpa dukungan DBP yang menerbitkan buku kami, menyebarluaskan karya dan memberikan pengiktirafan.

Ucapan terima kasih terlalu kecil kerana jasa dan sumbangan DBP terlalu besar kepada penulis Malaysia. Apa-apa pun, tulisan ini berhenti di sini dengan harapan DBP wajar menghidupkan roh dan semangat Sudut Penulis yang memberikan iltizam untuk orang kecil seperti kami!

_________________________

Imlan Adabi ialah mantan Subeditor Eksekutif dan Penulis Khas Berita Harian.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!