20 Jun 2022, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suasana memberangsangkan kala ini berkaitan dengan bahasa dan sastera dapat dirasakan oleh semua pihak, bukan sahaja kepada golongan karyawan yang bergelumang dengan dunia pengkaryaan, tetapi seluruh rakyat Malaysia sejak kejayaan penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 22 hingga 24 Mei 2022. Menyusul selepas itu ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 3 hingga 12 Jun 2022. Menjelang sambutan ulang tahun DBP pada 22 Jun 2022 yang mengenang tarikh keramat DBP ditubuhkan iaitu pada 22 Jun 1956, pelbagai program telah disusun dan bakal dilaksanakan.

Antara program yang akan dilaksanakan ialah Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-66 dan Pelancaran Jendela DBP yang akan disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan pada 21 Jun 2022 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Manakala keesokan harinya pada 22 Jun 2022, pada sebelah pagi akan diadakan Program Bacaan Yasin dan Ceramah yang bertajuk “Kecemerlangan dalam Pekerjaan” oleh YBhg. Dr. Azhar bin Mohamed, Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa, yang dianjurkan oleh Surau Al-Hukama’ DBP.

Kuliah Sastera Perdana yang bertajuk “DBP 66 Tahun: Melahirkan Pena Keramat” pula akan diadakan pada sebelah petang bermula jam 2:30 petang dan bertempat di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP.

Program yang asalnya dinamakan Kuliah Penyelidikan Sastera Edisi Khas ini merupakan program anjuran DBP bertujuan meningkatkan mutu sastera kebangsaan melalui program penyelidikan, khususnya melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Jabatan Dasar dan Penyelidikan (JDP). Kuliah ini memfokuskan empat skop utama iaitu teori dan kritikan, tokoh dan kepengarangan, sejarah sastera dan isu-isu sastera semasa. Program ini akan menampilkan pengkuliah tokoh tersohor dalam bidang media dan kewartawanan dan merupakan mantan karyawan DBP iaitu YBhg. Tan Sri Johan Jaafar dan En. A. Wahab Hamzah juga merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak sebagai moderator kuliah.

Program ini akan dihadiri mantan karyawan DBP dan seluruh karyawan DBP turut di undang dalam program ini. Sudah tentu medan pertemuan ini merupakan peluang dan kesempatan yang perlu diraih karyawan DBP dan khalayak umum agar dapat bertukar-tukar pengalaman dan pandangan khususnya dalam mendaulatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti program ini boleh mengikuti siaran langsung Kuliah Sastera Perdana ini menerusi media sosial DBP dan Jendela DBP pada waktu dan masa yang telah ditetapkan. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Penyelidikan Sastera menerusi e-mel [email protected] .

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.