Oleh Nor Asiya Nasir
16 Jun 2022, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran program puisi peringkat nasional dan antarabangsa bukanlah mudah dan memerlukan tumpuan serta persiapan yang jitu supaya program tersebut dapat berjalan dengan baik dan lancar. Demikian dinyatakan Penaung PEMUISI, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hamad Kama Piah Che’ Othman ketika berucap merasmikan Program PEMUISI di DBP kali yang ke-5 yang telah berlangsung di Dewan Seminar, Wisma DBP pada 28 Mei 2022 yang lalu.

Beliau menyeru setiap Exco PEMUISI dan Pengerusi Biro PEMUISI Negeri-negeri (PBPN) supaya memberikan komitmen yang tinggi dan melakukan tugas seperti yang ditetapkan dengan bersungguh-sungguh. Gerak kerja berlandaskan pasukan akan memberikan natijah yang baik dan berkesan.

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hamad Kama Piah yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengelola DBP seterusnya menyatakan kejayaan PEMUISI juga terhasil dengan adanya sokongan padu daripada pihak DBP yang memberikan kerjasama dan bantuan dalam penganjuran program. Perkara ini menunjukkan DBP telah memberikan kepercayaan yang tinggi kepada PEMUISI.

Bagi pihak PEMUISI, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak DBP. Semoga hubungan baik ini akan berterusan pada masa hadapan khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui puisi di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Program tersebut menyaksikan pelibatan peserta yang bukan sahaja terdiri daripada pemuisi dan sasterawan tanah air tetapi juga beberapa orang kerabat PEMUISI luar negara turut terlibat. Kerabat PEMUISI yang mengambil bahagian pada kali ini datang dari Indonesia, Thailand, Brunei, Belanda dan Singapura.

“Tahniah dan syabas kepada semua peserta yang terlibat. Semoga ruang program ini diisi dengan perkara positif seperti merapatkan ukhuwah silaturahim di kalangan pemuisi, mencungkil bakat seni puisi dan mengangkat puisi supaya diterima di kalangan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapan pada program tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapannya menyatakan bahawa DBP akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada PEMUISI yang merupakan NGO seni sastera yang sangat aktif dalam menjayakan program yang dirancang.

“Tahniah kepada PEMUISI yang terus menggerakkan aktiviti puisi dan membina rangkaian pemuisi di dalam dan di luar negara. Program PEMUISI di DBP ini sudah pun memasuki kali kelima penganjurannya. Walau bagaimanapun, saya merasakan program ini harus diperbaiki pengisiannya supaya lebih rapat kepada golongan remaja dan pemuzik jalanan atau ‘busker’, supaya khalayaknya lebih meluas dan puisi diterima masyarakat umum secara menyeluruh,” katanya.

Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI turut hadir pada Program Pemuisi DBP ke-5.

Tema “Puisi Aidilfitri Mewangi” telah dipilih bersempena dengan penganjuran Hari Terbuka Aidilfitri PEMUISI dalam majlis yang sama. Program ini turut disiarkan secara langsung melalui saluran media sosial, iaitu Facebook DBP dan Pemuisi Berkarya.

Antara yang hadir termasuklah Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Ketua Dua GAPENA, Tuan Haji Amiruddin Ali, Presiden PENA, Dr. Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden PEMUISI, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Exco PEMUISI Datuk Mohd Radzuan Abdullah, Dr. Zainatul Shuhaida Ab Rahman, Harlym Yeo, Pandian Velusamy dan lain-lain. Exco PEMUISI Zaki Halim bergandingan dengan Bunga Merah mengacarakan program tersebut dari awal hingga akhir.

Harlym Yeo antara pemuisi yang membuat persembahan puisi pada program tersebut.

Persembahan pemuisi tanah air terdiri daripada Datuk Wanrazuhar, Dr. Saleeh Rahamad, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Roslan Madun, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, Dr. Zainatul Shuhaida Ab Rahman, Harlym Yeo, Maslinah Yusof, Datin Seri Mayya, Gabriel Kimjuan, Hamizun Shah, Misogynist, Nur Haziqah, Kancil Diani, Man Bakri dan Nurul Aiza. Manakala persembahan maya daripada pemuisi luar negara ialah Ibu Sastri Bakri (Indonesia), Bapak Asrizal Nur PERRUAS (Indonesia), Profesor Madya Dr. Zefri Ariff (Brunei), Sita Aulliya (Belanda), Ratnasam Sib II (Singapura) dan lain-lain.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.