15 Jun 2022, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fauzi Naeim, kolumnis ruangan ini melayangkan faham estetika daripada zaman klasik hingga kontemporari. Pengertian estetika yang dirautnya menggalurkan kembali cebisan makna seni yang tidak pernah kunjung muktamad.

Apakah itu seni? Bagaimanakah kita boleh memahaminya? Soalan-soalan sebegini mempunyai jawapan yang pelbagai, dan sebenarnya tiada jawapan yang paling betul kerana evolusi sejarah pemahaman manusia ialah drama yang tidak kunjung tamat perubahan cita rasa dan pertelingkahan pendapat.

Tulisan pertama dalam kolum ini mengajak para pembaca budiman berfikir – dan mengelamun! – terhadap kefalsafahan estetika. Pembacaan dan kajian estetika bukanlah suatu penemuan moden, tetapi telah pun bermula semenjak manusia awal berminat kepada kecantikan. Selagi mana wujudnya sesuatu zat yang boleh memerhati atau membentuk zat lain, selagi itulah gaung estetika berlangsung. Estetika sebagai amnya merupakan pembelajaran dan penggayaan pengalaman dalam mengamati sesuatu perkara, yakni pengamatan yang amat menekankan isu-isu emosi, perasaan, fikiran dalam memahami dan menyemai kesenian serta cita rasa. Dalam kata lain, estetika ialah memahami “apa yang cantik”.

Perkataan ‘estetika’ ini sebenarnya ialah transliterasi daripada bahasa Inggeris aesthetics. Lebih awal lagi, bahasa aesthetics ini dicedok daripada bahasa Greek/ Yunani αἰσθητικός (aisthetikos, yang bermaksud kecantikan, sensitif, atau hidup), dan αἰσθάνομαι (aisthanomai, yang boleh bermaksud ‘untuk menerima melalui deria, fikiran atau perasaan’). Aisthetikos mempunyai bahasa asalnya dalam bahasa Yunani, αἴσθησῐς (aísthesis, persepsi, perasaan atau deria). Kita boleh perhatikan bahawa peradaban dunia lain juga menggunakan etimologi yang sama, sebagai contoh; Latin (aesthetica), Amerika dan England (aesthetics atau esthetics), Jerman (Ästhetisch), Perancis (esthétique), Hungari (esztetika), Melayu, Indonesia, Slovakia dan Bosnia (estetika).

Alexander Gottlieb Baumgarten (1714-1762).

Alexander Gottlieb Baumgarten, seorang falsafawan Jerman, merupakan antara pemula yang menggunakan perkataan ‘aesthetics’ daripada bahasa Yunani αἴσθησῐς (aesthesis), dan juga antara yang awal mengkaji estetika sebagai bidang yang lebih formal dan akademik. Beliau bersetuju bahawa cita rasa ialah komponen penting dalam memahami kecantikan. Cita rasa, menurut Baumgarten dalam Aesthetica, ialah kebolehan menghakimi sesuatu menerusi deria, yakni kemampuan yang melebihi daripada intelek (1750).

Dalam Of the Standard of Taste, pertama kali diterbitkan pada 1757, David Hume membincangkan permasalahan memahami seni, bahawasanya pemahaman seni tidak selalu konsisten, dan bagaimana akhirnya perbezaan pemahaman cita rasa bergantung pada sentimen peribadi yang menjadi inti pati kepada penilaian. Hume menambah, “semua sentimen adalah betul; kerana sentimen mempunyai rujukan kepada tiada apa yang melebihi dirinya, dan sentiasa benar, setiap masa bila mana seseorang itu menyedari tentangnya” (1882). Dalam menilai objek estetika, Hume merasakan kita mesti mengambil kira penilaian moral kita. Beliau seperti akur akhlak begitu berkuasa dalam memesongkan nilai estetika benda yang dinilai.

Menurut Hume lagi, terdapat dua jenis cita rasa: Cita rasa kasar (idiosinkratik dan dorongan hati) dan cita rasa halus (yang lebih stabil dan mengikuti peraturan). Rupa yang cantik bukannya wujud di dalam benda yang dilihat, tetapi wujud, “di dalam minda yang memerhatikannya; dan setiap minda mempunyai persepsi kecantikan yang berbeza”.

David Hume (1711-1776).

Immanuel Kant dalam Critique of Judgment (1790) menghujahkan bagaimana seni itu melahirkan kecantikannya melalui cita rasa dan tidak mengikuti peraturan tertentu. Keluhuran seni adalah apa yang melangkaui nilai-nilai perlambangan, kefahaman saintifik, dan rasional moral. Apabila kita melihat merpati putih berjalan di hadapan kita mematuk makanan, kecantikan rupa dan aksi merpati itu bukannya harta milik merpati putih tersebut, dan bukannya juga milik alam yang melatari fenomena ‘kemerpatian’ ini. Kecantikan tersebut sebenarnya dimiliki oleh lokasi yang bersarang di dalam kesedaran kita; kepuasan bermain imaginasi dan pemahaman kita secara percuma (Critique of Judgment, A320/B376).

Immanuel Kant (1724-1804).

Seni memberitahu perihal dunia kepada kita. Seni memuaskan fakulti intelektual manusia di dalam menterjemahkan sesuatu perkara dan peristiwa. Menurut Kant, apabila kita menilai sesuatu objek, satu penilaian yang turut sama memberi kepuasan sama seperti bentuk objek tersebut, maka objek itu boleh disebut sebagai cantik, dan fakulti bagi penghakiman kepuasan tersebut ialah cita rasa (Kant, 2007).

Dalam hal sebegini, kepuasan menilai dan kepuasan memerhati tidak boleh dipisahkan dalam memahami erti cita rasa. Walaupun perasaan berestetika ini amat mudah secara dasarnya (cita rasa manusia pelbagai, subjektif dan kontekstual) namun ia juga begitu kompleks kerana perkara yang sama juga (diulangi: cita rasa manusia pelbagai, subjektif, dan kontekstual). Ketika kita mendengar sebuah lagu yang berkumandang, kita boleh bersifat neutral, suka atau benci terhadap muzik tersebut. Dengan menunjukkan kesukaan dan ketidaksukaan terhadap sesuatu perkara, kita menunjukkan arah minat dan ideologi kita, atau kalau mengikut Karl Marx, kelas mana kita berada dalam struktur masyarakat. Mengatakan suka dan benci bagi sesuatu peristiwa agak mudah diujarkan, namun apabila kita diminta untuk menyebutkan secara terperinci alasan kita minat atau tidak, biasanya kita terpaksa mengambil masa yang lama untuk menerangkan dan memberi justifikasi minat kita. Hal sedemikian terjadi kerana bahasa kita tentang kesenian tidak begitu ampuh dan pengalaman berseni tidak cukup untuk menceritakan kenapa lagu ini sedap didengar atau tidak. Ada benarnya kata-kata Kant dalam Critique of Judgement bahawa pertimbangan kepada cita rasa bukanlah sesuatu yang praktikal tetapi lebih bersifat renungan (kontemplatif). Gubahan seni digerakkan supaya pemikir dan pembikinnya dapat turut merasai persoalan seni, supaya juga dapat menjawab kenapa ianya penting dalam sanubari mereka.

Wacana estetika sentiasa menjadi persoalan bagi ramai falsafawan, penyajak, artis, budayawan, dan saintis. Apakah itu seni? Bagaimanakah kita boleh memahaminya? Soalan-soalan sebegini mempunyai jawapan yang pelbagai, dan sebenarnya tiada jawapan yang paling betul kerana evolusi sejarah pemahaman manusia ialah drama yang tidak kunjung tamat perubahan cita rasa dan pertelingkahan pendapat.

Persoalan kesenian telah ranum berkumandang dari tamadun Yunani 3000 tahun yang lalu, sehinggalah zaman kontemporari sibernetik sekarang. Lebih awal lagi, lebih 30 ribu tahun yang lalu di Kepulauan Sulawesi, sudah ada lukisan cap-cap tangan dalam gua; manusia-manusia awal sudah bereksperimen dengan warna, tekstur dan identiti mereka. Sudah pasti seni pada waktu itu bersifat dekoratif dan ritual. Kita boleh juga mengajukan interpretasi bahawa cap-cap tangan kuno ini sebenarnya ialah manifestasi keganasan manusia kepada benda sekeliling. Meninggalkan kesan kepada permukaan benda-benda sekeliling bererti manusia ini ialah suatu zat yang suka mengubah kehidupan alam untuk mempamerkan yang manusia inilah yang mengawal alam dan bukanlah sebaliknya. Kita bertanya juga: Adakah manusia ini secara lahiriah, ialah makhluk yang ganas?

Friedrich Schiller - Wikipedia
Friedrich Schiller (1759-1805).

Dalam buku bertajuk Über die tragische Kunst (1972), atau Seni Tragedi, ahli falsafah Jerman bernama Friedrich Schiller percaya bahawa manusia ini sebenarnya ialah makhluk yang bukan sahaja mampu bertindak kejam, tetapi kadang-kala mendapat kepuasan daripada menyaksikan penderitaan orang lain. Kita menyedari penderitaan dan kekejaman ada batasnya, tetapi pada masa yang sama, apabila ia berlangsung sebagai tema dan idea, kita terasa bebas membeleknya. Contoh paling senang boleh dilihat kenapa filem-filem seram lagi berdarah seperti Saw (arahan James Wan, 2004) dan A Quiet Place (arahan John Krasinski, 2018) begitu popular dan penonton begitu asyik lagi tertawan dengan penderitaan dan ketakutan watak yang dipamerkan. Mata seperti terpegun, tidak boleh lari daripada melihat bagaimana satu watak lari dengan tercungap-cungap daripada pemburu misteri yang mengejarnya. Kita mahu tahu, adakah sang mangsa dapat lari? Memandangkan semua visual ini ialah imaginasi, dibikin di dalam kerangka petak sinema, penonton boleh bebas mengidentifikasikan identiti mereka sama ada bersama mangsa atau pemangsa. Sinema seperti membebaskan manusia dari realiti moral.

Friedrich Schiller, menerusi manuskrip bertajuk Über die ästhetische Erziehung des Menschen in einer Reihe von Briefen (1794), diterjemahkan sebagai On the Aesthetic Education of Man in a Series of Letters, menghujahkan kepentingan pendidikan estetika untuk membangkitkan masyarakat kepada manusia yang berharmoni dengan semangat dalaman – supaya lebih rasional, lebih lembut, dan lebih cantik. Menurut beliau, hanya dengan lebih berseni maka manusia menjadi lebih bermoral, bukanlah sebaliknya.

Schiller melihat kecantikan sebagai satu kebebasan. Barangkali kerana persekitarannya yang ditekan dengan kemiskinan dan peperangan yang tidak menentu, terutama perang antara Britain dan Perancis – sehingga beliau terpaksa menjadi penolong doktor askar untuk hidup – menyebabkan beliau begitu menghargai lubang-lubang kecil kebebasan.

Beliau berpendapat ada tiga pemacu utama kehidupan di dalam jasad manusia: sinntrieb (pacuan deria) yang muncul daripada hubungan fizikal manusia bersama alam sekeliling, formtrieb (pacuan bentuk) yang terhasil daripada rasional manusia yang mengharmonikan kepelbagaian kehidupannya, dan spieltrieb (pacuan bermain), pertembungan antara pacuan kederiaan dan pacuan kebentukan. Bermain dibezakan dengan bekerja kerana bekerja terlahir daripada kekurangan sesuatu yang menyebabkan berlakunya keinginan praktikal. Sebagai contoh, seorang pemuda merasakan dia tidak ada kenderaan untuk memudahkannya bergerak, maka dia bekerja keras mengumpul duit untuk membeli kereta. Bermain bermula apabila pemuda ini rasa puas memandu kereta. Schiller beranggapan bahawa pacuan bermain merupakan sifat penting yang membolehkan manusia mengecap kepuasan estetika. Bermain memberi peluang manusia untuk kembali kepada semangat kemanusiaannya. Beliau yakin apabila seseorang sedang memikirkan kecantikan, maka individu tersebut memenuhi sifat sempurna sebagai manusia tulen.

Socrates.

Lebih awal lagi, Socrates melihat kesenian sebagai pantulan daripada sesuatu yang lebih asli, yakni alam semula jadi. Pendapat kesenian sebegini adalah amat normal pada zaman dahulu. Memandangkan banyak objek-objek buatan manusia dihasilkan dan ditiru daripada alam, maka kesenian dianggap oleh Socrates sebagai sesuatu yang menipu mata dan pengalaman manusia. Dalam Republic, beliau menukilkan bagaimana penyair tidak perlu diraikan dalam kallipolis – kota ideal yang diperintah oleh raja falsafawan – kerana cerita daripada penyair hanya akan menyebabkan masyarakat mengelamun dengan sia-sia. Kata-kata Socrates ini agak ironi. Beliau tidak mahu puisi dengan cerita dewa dan dewi yang mengasyikkan manusia, tetapi karya-karya Socrates sendiri penuh dengan teladan yang dicedok daripada puisi! Plato, anak murid utama Socrates, yang juga dianggap sebagai penemu awal falsafah estetika, melihat τέχνη (techne) atau kesenian sebagai suatu ‘prinsip mengukur’ (Philebus). Techne ini ialah nama asal bagi perkataan teknologi yang kita pakai sekarang. Techne Plato merujuk kepada cara untuk membikin, kerana tanpa mengetahui ‘seni mengukur’, bagaimanakah seseorang karyawan menghasilkan seninya? Bahasa τέχνη juga sebenarnya merujuk kepada seni buatan. Pendapat Socrates dan Plato tidak pelik pun kerana mereka meletakkan ‘mengukur’ (nombor, matematik) sebagai salah satu sifat penting untuk menjadi falsafawan. Mengukur bererti ada pengawalan kepada prinsip kebaikan dan kecantikan di dalam karya. Oleh itu, bagi Socrates, seseorang yang tidak bijak mengukur, adalah seperti dia tidak menguasai seni reka.

Seni sebagai mimesis (peniruan) alam dirasai oleh Socrates dan Plato kerana kebanyakan catan, arca dan puisi yang dibikin pada zaman mereka merujuk kepada realisme sekeliling. Sebagai contoh, seorang pengarca, menggunakan model manusia sebagai rujukan lukisan dan ukirannya, bertukang menghasilkan patung dewa Zeus daripada setongkol batu marmar.

Walau bagaimanapun, seni moden dan kontemporari mematahkan terus pendapat mimesis Socrates dan Plato. Bagaimanakah kita menterjemahkan karya-karya abstrak oleh Wassily Kadinsky, Piet Mondrian, Jackson Pollock, Mark Rothko, Paul Klee, Gerhard Richter, Alberto Burri, Norman McLaren, Awang Damit Ahmad, Ai Weiwei, dan ramai lagi? Sudah pasti karya mereka bukan lagi meniru bulat-bulat alam. Ada sesuatu yang unik, ganjil dan berbeza dalam karya mereka yang menenggelamkan rasa realisme.

Genre seni abstrak sahaja sudah pelbagai; dari abstrak ekspresionisme, kubisme, konstruktivisme, ‘colour field’, sehinggalah kepada surealisme dan minimalisme. Karya kubisme oleh Picasso, sebagai contoh, tidak meniru alam, tetapi menerbitkan elemen geometri kekubahan yang ada dalam benda-benda sekeliling sehinggalah catan Picasso yang sudah tidak lagi seperti manusia dan alam biasa, tetapi cetusan daripada inti pati wawasan Picasso sendiri. Picassso berminat untuk menayangkan pelbagai sisi sesuatu objek, tetapi ini menyebabkan kemusnahan dimensi ruang antara objek dan latar belakang.

Paul Klee (1879-1940).

Karya Paul Klee bertajuk Rough Cut Head (1935) ialah hasil daripada pengabstrakan potret muka manusia kepada gabungan kotak-kotak kelabu yang mudah. Karya Klee tidak meniru alam, tetapi mempamerkan satu realiti wajah manusia lain. Ia realiti yang bersifat peribadi tanpa memerlukan pengiktirafan manusia lain untuk mengakui kewujudannya. Malah ada juga karya abstrak yang bersifat realisme, namun maksudnya tidak merujuk langsung kepada apa yang dipersembahkan. Karya Marcel Duchamp, yang mengambil contoh tempat kencing, tidak lagi merujuk tempat kencing dalam tandas lelaki apatah lagi apabila ia diletakkan di dalam pameran seni yang prestij. Semiotiknya sudah berubah kerana sudah menjadi seperti kritikan kepada ‘maksud biasa seni masyarakat’. Di sini, konsep seni sudah melebihi saratnya daripada objek dan permukaan yang membawa konsep tersebut.

Rough Cut Head (1935) oleh Paul Klee. Ink dan grafit atas kertas.
Andy Warhol (1928-1987).

Bagaimanakah pula kita berupaya membezakan sesuatu benda sebagai seni atau tidak? Dalam seni moden, artis konsepsual seperti Andy Warhol banyak menghasilkan karya-karya popular yang dicedok daripada benda-benda seharian seperti bungkusan kotak, tin berjenama, wajah selebriti dan sebagainya. Adakah wujud perbezaan kesenian antara karya Warhol dengan produksi besar-besaran kotak yang datang dari kilang? Ataupun garisan pemisah di antara produk harian dan kesenian yang halus cumalah satu tanggapan persepsi yang sudah lama hilang ditelan arus digital?

Figura 2: Andy Warhol. Brillo Box (Soap Pads) 1964. Cat polimer sintetik dan dakwat skrin sutera atas kayu. © 2019 Andy Warhol Foundation for the Visual Arts/ Artists Rights Society (ARS), New York.

Sekiranya diperhatikan karya Hans Haacke, beliau seperti mahu mengurangkan ‘aura’ kesenian dengan memperlihatkan elemen keterampilan korporat dan kapitalisme, malah karyanya langsung mengkritik struktur dan fungsi galeri seni dan festival seni. Karyanya yang bertajuk Solomon R. Guggenheim Museum Board of Trustees (1974) dibikin secara bersahaja; dipenuhi teks tentang informasi penaja korporat dan lembaga pemegang amanah dalam organisasi Muzium Guggenheim, dibingkaikan dan digantungkan pada dinding. Namun, ia amat kontroversi. Enam minggu sebelum pameran, karyanya dibatalkan dan kurator pameran Edward Fry digantung kerja. Bagi Haacke, semua seni ialah politik, maka mengerjakan sesebuah karya bererti seorang agen sosial sedang membuahkan ideologinya sebagai produk. Tugas Haacke sebagai artis adalah untuk membawa ke hadapan struktur politik ini daripada tenggelam di bawah permukaan apresiasi karya. Di tangan Haacke, proses produksi seni menjadi sama penting dengan hasil akhir seni.

_________________________

Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!