15 Jun 2022, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Suraya Suhairi melalui perkongsiannya yang bertajuk “Wira(wati) – Emansipasi atau Ketundukan Wanita? Sebuah Analisis Syair Siti Zubaidah Perang China” dalam Sembang Ilmu, mengangkat wacana tentang konsep “disguised heroine” dalam teks sastera klasik Melayu, khususnya dalam Syair Siti Zubaidah Perang China.

Asal usul Syair Siti Zubaidah Perang China tidak dapat dikesan jelas, termasuklah pengarangnya dan tarikhnya. Namun syair itu dipercayai ditulis pada lingkungan tahun 1840-an. Syair tersebut merupakan teks sastera tradisional  yang menceritakan tentang perjuangan Siti Zubaidah menentang pihak lawan untuk menyelamatkan suaminya, Zainal Abidin.

Mencapai pertengahan kisah, Zainal Abidin berserta isteri keduanya, Puteri Sajarah dijadikan tawanan oleh tentera Cina, manakala Siti Zubaidah yang ketika itu sedang hamil dapat melarikan diri. Siti Zubaidah kemudiannya menuntut ilmu seni pertahanan diri dan bertekad untuk menyelamatkan suaminya dengan menentang musuhnya. Bagi menyelesaikan perjuangannya itu, Siti Zubaidah menyamar sebagai seorang lelaki. Pada penghujung kisah, setelah Siti Zubaidah berjaya dalam misinya, dia kembali kepada penampilan seorang wanita.

Konsep watak wanita yang terpaksa menyamar menjadi lelaki untuk menyelamatkan dunia atau untuk mencapai kejayaan ini dinamakan sebagai “disguised heroine”. Menurut Suraya Suhairi, konsep ini merupakan sebuah konsep yang banyak digunakan dalam syair pada zaman tersebut. Istilah itu muncul buat pertama kali dalam buku tulisan Mulaika Hijjas, iaitu Victorious Wives: The Disguised Heroine in 19th-Century Malay Syair yang memberikan perincian tentang watak wirawati wanita yang menyamar sebagai lelaki untuk menentang musuh, lalu kembali kepada identiti sebenar dan kemudian didedahkan pada penghujung cerita.

Mulaika Hijjas menulis tentang konsep “disguised heroine” dalam syair Melayu klasik.

“Saya tidaklah memberikan kenyataan hitam putih sama ada konsep ini baik atau buruk, tetapi saya mahu menganalisis tentang peranan “disguised heroine” melalui perspektif kepada wanita, kesan dan kegiatannya,” ujar Suraya.

Secara tersuratnya, “disguised heroine” memberikan peranan kepada wanita supaya watak wanita itu tidak dapat disenyapkan dalam syair-syair tersebut. Watak wanita akan terlibat secara aktif dalam cerita melalui penggunaan konsep ini seperti membuat keputusan dalam hal ehwal negara, istana dan tentera.

Menurut Suraya, “Pelibatan aktif ini mendekatkan mereka, iaitu watak wanita tersebut dalam hal ehwal yang luar daripada konteks domestik atau konteks istana itu sendiri. Ketika itu, konsep “disguised heroine” ini lebih mesra untuk digunakan. Penggunaan konsep ini juga mungkin terjadi sebagai sebuah pandangan alternatif tentang peranan wanita pada eranya.”

Namun begitu, konsep ini mengganggu kedudukan status quo masyarakat pada waktu itu, khususnya bagi golongan wanita. Hal ini dikatakan demikian kerana pada waktu itu terlihat seolah-olah hanya sesetengah wanita sahaja yang mempunyai ‘suara’. Contohnya seperti watak Permaisuri Tua yang mempunyai kuasa sepenuhnya dalam istana berbanding dengan watak wanita lain yang tidak boleh membuat keputusan. Perkara ini sekali gus menjadikan konsep “disguised heroine” ini sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap kedudukan wanita lain yang didiamkan dan direndahkan peranan mereka.

Melalui syair tersebut, Siti Zubaidah dilihat tidak bersuara ketika Zainal ingin mengahwininya dan hanya menerima sahaja tindakan tersebut. Begitu juga halnya ketika Zainal berkahwin dengan isteri keduanya. Malah, setelah Siti Zubaidah berjuang menentang musuh itu kembali kepada penampilan seorang wanita, beliau akhirnya tinggal kembali bersama-sama suaminya. Pekara ini menunjukkan kebergantungan watak wanita untuk menyamar sebagai lelaki semata-mata untuk dipandang serius memberikan kesan dan mesej negatif terhadap watak wanita secara keseluruhannya.

“Konsep ini memang memberikan peluang kepada wanita untuk memasuki arena maskulin tetapi hal tersebut tetap terhad kepada tradisi untuk menegakkan status quo. Hal itu menghambat kedudukan watak wanita lain kerana penekanan dan keutamaan lebih diberikan kepada satu watak wanita sahaja” tambah Suraya.

Tafsiran terhadap teks akan sentiasa berubah mengikut konteks dan fahaman tertentu. Kewujudan Syair Siti Zubaidah Perang China ini penting untuk dibaca, dikaji, dan dianalisis oleh khalayak kini. Pengalaman tersebut membolehkan pembaca mempelajari cara sesebuah masyarakat berfikir pada zamannya sekali gus bertanggungjawab menjadi pendorong pergerakan pemikiran masyarakat pada hari ini.

Kredit Foto: Tamara Gak/Unsplash

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.