Oleh Suyuthi Yusuf
14 Jun 2022, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Malam Puisi Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ini dirasmikan oleh Ybhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Hari Puisi Malaysia pada setiap 13 Jun telah diisytiharkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Yb. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri pada tahun 2021. Hari Puisi Malaysia bertujuan untuk mengangkat para pemuisi dan bidang yang diceburi ke suatu tahap yang lebih tinggi agar dapat dimartabatkan sebagai suatu bidang yang diraikan secara lebih meluas. Selain itu, Hari Puisi Malaysia juga dapat diraikan oleh bukan sahaja golongan penyair dan penulis, tetapi juga disambut oleh semua golongan masyarakat pada setiap peringkat umur.

Dalam ucapan alu-aluan majlis oleh Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Ahli Lembaga Pengelola DBP yang juga merupakan Penaung PEMUISI, perisytiharan Hari Puisi Malaysia ini amat penting dalam usaha memartabatkan kesusasteraan dan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi utama negara. Hari Puisi Malaysia ini wajar disambut oleh setiap persatuan seni, sastera dan budaya serta orang perseorangan kerana secara tidak langsung, hal tersebut merupakan pengiktirafan kerajaan kepada golongan pemuisi.

Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman sedang memberikan ucapan alu-aluan.

Saya bagi pihak seluruh golongan pemuisi memohon kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka supaya dapat memasukkan tarikh Hari Puisi Malaysia 13 Jun dalam kalendar hari-hari sambutan di Malaysia serta diberikan peruntukan kewangan untuk sambutannya.

Beliau juga menyentuh tentang kerjasama antara PEMUISI dengan DBP yang diibaratkan sebagai ‘seikat bak sirih, serumpun bak serai’. Kerjasama tersebut boleh memartabatkan lagi dunia puisi sekali gus memasyarakatkan puisi dengan meluahkan pelbagai rasa, pemikiran, cetusan dan seruan atas nama suara kemanusiaan sejagat.

 

Ybhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sedang memberikan ucapan sambutan majlis.

Menerusi ucapan sambutan oleh Ybhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, beliau menyifatkan bahawa dalam konteks sekarang, puisi merupakan alat penting dalam menyampaikan mesej dan manfaat kepada masyarakat. Dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, puisi mampu mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama masyarakat selain membantu dalam menghadapi pelbagai kemelut dalam politik, sosial, kebudayaan dan aspek ketamadunan yang lainnya.

Puisi tidak hanya menjadi wasilah penyampaian nilai estetik semata-mata, tetapi harus memberikan perhatian kepada aspek kandungannya yang menjadi pokok perhatian masyarakat.

Ybhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang memberikan ucapan perasmian mewakili Ybhg. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Selain daripada pembinaan akhlak dan sahsiah diri serta peranan puisi sebagai salah sebuah agen dalam mengukuhkan perpaduan, puisi juga boleh dimartabatkan menerusi kegiatan pelancongan. Hal tersebut juga disentuh dalam ucapan perasmian oleh Ybhg. Datuk Hajah Saraya Arbi yang mewakili Yb. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Saya percaya acara kesusasteraan boleh juga dijadikan produk pelancongan yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh masyarakat di negara ini, malahan para pelancong yang melawat Malaysia. Saya dapat merasakan acara puisi sastera, seni dan budaya ini boleh diketengahkan menjadi produk pelancongan yang popular seperti di negara lain.

Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sedang mendeklamasikan sajak.
Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sedang mendeklamasikan sajaknya.

Dalam majlis tersebut juga Ikrar Sumpah Bahasa dilafazkan dengan diketuai oleh Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar yang merupakan Presiden PEMUISI. Selain itu, acara persembahan deklamasi puisi turut menyerikan majlis tersebut. Antara tokoh yang mendeklamasikan puisi ialah Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Zurinah Hassan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air), Juni Jon Ajinoor (Pemuisi Sarawak), dan Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob,  Datuk Rahman Shaari, dan Dr. Salleh Rahamad. Selain daripada deklamasi puisi, persembahan lagu puisi daripada Encik Badrul dan Adiwangsa Sukma turut menyemarakkan majlis.

Tonton majlis tersebut di sini:

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.