14 Jun 2022, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Sebagai satu daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan bidang puisi di samping mengangkat para pemuisi, tarikh 13 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Puisi Malaysia (HPM) oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri pada tahun 2021.

Umum mengetahui bahawa masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun selepas diisytiharkan pada Persidangan UNESCO ke-30 di Paris tahun 1999. Namun sebelum saya mengisytiharkan pada tahun lepas, pada waktu itu, belum ada satu ketetapan satu hari khusus sebagai hari puisi peringkat nasional di Malaysia.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Hajah Saraya Arbi yang mewakili beliau dalam Majlis Malam Puisi Keluarga Malaysia yang telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Hari Puisi Malaysia, semalam. Majlis tersebut yang merupakan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama DBP turut dihadiri oleh Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Penaung PEMUISI, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, sasterawan-sasterawan negara, para pemuisi, seniman dan para mahasiswa.

Majlis tersebut seterusnya menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Penulisan Puisi dan Video Bacaan Puisi Terbaik HPM 2022. Program tersebut yang telah dilancarkan bermula 1 Jun hingga 10 Jun 2022 melalui hebahan Facebook PEMUISI BERKARYA telah menerima sebanyak 300 penyertaan. Selain itu, turut disampaikan dalam majlis tersebut ialah Anugerah Khas Pencipta Logo HPM dan Anugerah Khas Pencipta Lagu HPM.

Keputusan Hadiah Utama

Program Mencipta Puisi Keluarga Malaysia HPM 2022
Sahmura Perpaduan – Nurul Amyza Azami
Rumah Kita – Siti Nurul Naquiah Mohamad Ismail
Pokok Tualang Keluarga Malaysia – Nurul Syuhada Mohd Noor
Bagai Lidi Seikat – Sarimah Abu Bakar
Demi Keluarga Malaysia – Masdarina Mohd Ali

Program Video Puisi Keluarga Malaysia HPM 2022
Harga Sejarah (Rahman Shaari) – Muhammad Syazmin Faris
Seruling Kedamaian – Mashor Awang Long
Melodi Cinta Kita – Jorasmin Isa
Rencah Keluarga Malaysia – Alkhair Aljohore
Rumah Kita (Siti Nurul Naquiah Mohamad Ismail) – Nor Hidayah Hayon

Anugerah Khas Pencipta Logo HPM
Marzelan Md Jusoh @ Perindu Seni

Anugerah Khas Pencipta Lagu HPM.
Lirik: Siso Kopratasa
Lagu: Ismail Ahmad @ Adiwangsa Sukma

Majlis Malam Puisi Keluarga Malaysia dilengkapkan dengan acara yang penuh meriah seperti nyanyian lagu tema HPM; lafaz Ikrar Pemuisi Malaysia yang diketuai Datuk Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI; persembahan puisi oleh sasterawan negara, tetamu kehormat dan seniman; nyanyian lagu puisi dan persembahan tarian tradisional. Majlis ini turut ditonton oleh karyawan dan khalayak nusantara seperti Indonesia. Persembahan lagu puisi daripada Roslan Madun dan Siso Kopratasa mengakhiri malam yang penuh gilang-gemilang itu.

Deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan.

Rakaman Majlis Malam Puisi Keluarga Malaysia boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.