Oleh Suyuthi Yusuf
13 Jun 2022, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seseorang penulis dengan kesibukannya mencipta karya dan menempuh hidup keseharian, sudah pasti mengambil sedikit ruang dan masa menjelajahi dunia penulis yang lainnya. Apakah yang dilihatnya? Adakah terdapat keseronokan, inspirasi atau semangat tertentu yang terpercik hasil dari penjelajahan tersebut? Ruangan Labirin dalam Helaian memberikan peluang kepada penulis untuk berkongsi pengalaman itu.

Hafizah Iszahanid, penulis novel dan cerpen merupakan tetamu pertama kami dalam ruangan ini.

Saya gemar membaca novel. Selalunya saya membaca novel untuk mencari teknik atau kaedah penulisan yang baharu atau bertujuan untuk penulisan dan kritikan. Saya tidak lagi membaca untuk menghiburkan diri.

Apakah buku yang anda baca sekarang? Seronok?

Sekarang saya sedang membaca Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka oleh Leonard Andaya. Isunya, buku yang saya sedang baca sekarang ini bukan atas rasa seronok atau tidak, tetapi lebih kerana saya hendak mengetahui tentang teori etnik.

Ada novel tertentu yang digemari sepanjang masa?

Saya tiada novel yang paling digemari. Saya juga tidak ingat bilakah kali terakhir saya mempunyai perasaan itu.

Penulis kegemaran sepanjang masa? 

Saya menyukai tulisan A. Samad Said, Anwar Ridhwan, S.M. Zakir, dan juga Faisal Tehrani, selain karya penulis luar misalnya Ha Jin dan Mo Yan. Antara sebabnya ialah, saya sukakan karya yang dibina dengan bahasa yang mudah tetapi tetap puitis dan bergaya. Saya selalu jatuh hati dengan karya yang mempunyai bahasa yang baik. Kalau karya ditulis dengan bahasa yang tidak bagus, saya letih kerana secara tidak langsung dalam fikiran saya hendak mengedit sahaja tulisan tersebut. Akhirnya, saya tidak jadi membacanya.

Bagaimanakah anda menyusun rak buku?

Saya menyusun buku mengikut tema. Contohnya, buku akademik di bahagian tertentu dan buku penulis luar negara di bahagian lain pula. Itu secara asasnya. Akan tetapi, adakalanya kalau sudah penuh saya letak sahaja buku-buku tersebut di mana-mana ruang kosong dengan harapan dan keazaman bahawa pada hari lain saya akan mengemasnya elok-elok.

Bagi anda, siapakah penulis terbaik sekarang dalam genre penulisan (novel, cerpen, puisi, esei)?

Oh, ini soalan yang sukar dijawab secara umum melainkan kalau kita benar-benar melakukan pemerhatian. Akan tetapi, saya fikir terdapat sejumlah pengarang muda yang karya mereka sangat berwibawa selain angkatan penulis yang sedia ada. Terdapat beberapa penulis muda yang saya kagumi penulisannya, baik dalam puisi, novel, cerpen, ataupun esei dan kritikan. Mereka ada jiwa dan “nada” yang boleh mencuit pembaca.

Apakah genre penulisan yang seronok dibaca sekarang?

Ketika ini, saya membaca berasaskan keperluan semasa. Jadi, keperluan bacaan saya buat masa sekarang ialah karya berbentuk akademik. Kalau selain itu, saya gemar membaca novel. Selalunya saya membaca novel untuk mencari teknik atau kaedah penulisan yang baharu atau bertujuan untuk penulisan dan kritikan. Saya tidak lagi membaca untuk menghiburkan diri.

Buku yang selalu diulang baca?

Tiada. Saya tidak gemar mengulang baca buku kecuali atas tujuan akademik.

Jika anda boleh memberi buku tertentu untuk dibaca oleh seorang ahli politik, apakah buku tersebut?

Novel Ikarus dan Ahli Politik tulisan SM Zakir. Kedua-dua buku tersebut bercerita secara langsung dan tidak berkias-kias. Novel tersebut menceritakan situasi semasa di Malaysia dan bagaimana kita sebagai orang awam melihat hal peribadi ahli politik.

Apakah rancangan bacaan anda seterusnya?

Saya mahu menghabiskan buku yang saya beli beberapa tahun lalu, iaitu Revisiting Atas Angin oleh Ahmad Murad Merican.

Apakah buku tertentu yang menjadikan anda seorang penulis sekarang?

Tidak ada. Ketika saya bersekolah, saya membaca majalah Dewan Siswa dan saya fikir cerpen-cerpen dalam Dewan Siswa itulah yang membuatkan saya cuba untuk menulis. Setiap kali membaca cerpen dalam Dewan Siswa, saya selalu terfikir bahawa saya boleh menulis lebih baik daripada itu. Selepas karya pertama saya tersiar dalam Dewan Siswa pada usia 16 tahun, barulah saya mula membaca novel dengan serius, dengan harapan hendak mencambahkan idea.

Semasa zaman kanak-kanak, bagaimanakah dunia bacaan anda? Ada penulis atau buku tertentu yang mengingatkan anda betapa indahnya dunia pembacaan ketika itu?

Tiada. Semasa kecil, buku yang saya baca ialah Salina dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck. Saya tidak ada peluang hendak membaca buku kanak-kanak. Saya baca buku koleksi ibu dan bapa saudara saja. Itulah buku yang terdapat dalam almari rumah nenek. Jadi, dunia membaca zaman kanak-kanak tidak indah, hanya penuh dengan soalan demi soalan (mengapa dan kenapa) dan tabiat orang zaman dahulu mereka yang tidak suka kanak-kanak banyak bertanya. Hanya apabila usia meningkat, saya akhirnya jumpa jawapan sendiri pada persoalan tersebut.

Siapakah watak dalam karya sastera atau bukan sastera yang anda gemari?

Saya suka Anakin Skywalker. Dia terjerat dalam perangkap kasih sayang tidak bertepi.

Dalam karya anda, apakah teks (perenggan atau baris) yang bermakna dan puas apabila dapat menulisnya?

Tiada.

Bilakah anda membaca dengan serius?

Ketika saya perlu menyiapkan tesis dan kertas kerja.

Apakah subjek atau perkara tertentu yang anda fikir penulis sekarang patut jelajahi?

Tiada, hal ini terpulang kepada penulis itu sendiri.

Adakah selera pembacaan anda berubah mengikut perubahan umur anda juga?

Ya.

Adakah ada buku tertentu yang apabila anda membacanya, anda rasa biasa sahaja tetapi tidak bagi orang lain?

Ya, mungkin disebabkan selera. Manusia ini ada bermacam-macam ragam dan setiap satunya tidak sama. Sebagai penulis, saya percaya kita perlu menjadi unik dan jangan terikut dengan arus. Saya tidak gemar membaca naskhah berdasarkan pandangan orang. Saya percaya kalau kita membaca buku yang sama sahaja dengan orang lain, maka pemikiran kita pun hampir sama. Sebagai pembaca, hal ini dibolehkan, tetapi seperti yang saya sebut awal tadi, waktu ini saya membaca bukan lagi untuk menghibur diri sebaliknya untuk belajar teknik penulisan. Jadi saya sangat memilih buku yang saya baca.

Anda selaku penulis bergender perempuan, bagaimanakah anda melihat dunia seorang lelaki?

Saya melihat dunia lelaki dari sudut kaca mata perempuan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!