Oleh Suyuthi Yusuf
11 Jun 2022, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Pilihan Enam Penyair Bilah Hujan yang Menikammu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022. Karya terbaharu ini telah dilancarkan oleh  YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang merupakan Ahli Lembaga Pengelola DBP. Buku antologi puisi tersebut disusun dan diselenggara oleh YBhg. Dato’ Rahman Shaari.

Buku antologi tersebut memuatkan karya daripada enam penyair. Setiap daripada enam penyair tersebut menyumbangkan hampir 20 buah puisi. Antara penyair tersebut ialah A. Rahim Abdullah, Barupawati Utamaju, Razali Mohd Yusuf, Norazimah Zakaria, Usman Gumanti Ibrahim dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari sendiri.

Buku Antologi Puisi Pilihan Enam Penyair.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluannya memberikan penghargaan kepada generasi muda yang hadir dalam majlis tersebut. Dengan jumlah kehadiran yang banyak dalam kalangan generasi muda dalam majlis tersebut membuktikan bahawa golongan tersebut masih mencintai sastera, khususnya puisi.

DBP akan sentiasa meraikan serta mengusahakan bacaan dan terbitan buku puisi khusus untuk generasi muda. Banyak anak muda yang kreatif dan DBP sendiri sedia memberikan peluang kepada bakat-bakat muda tersebut.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika memberikan ucapan alu-aluan majlis.

Selain itu, YBhg. Dato’ Rahman Shaari dalam ucapannya selaku editor buku tersebut menyebutkan bahawa penyair yang menyumbangkan puisinya dalam buku ini merupakan penyair yang terjamin kualiti dan karyanya. Selain itu, enam penyair ini juga bukan merupakan penyair yang asing dalam ranah kesusasteraan negara.

Mereka mengenali makna puisi moden. Puisi harus memiliki kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Perkara tersebut dapat dilihat dalam buku antologi ini.

YBhg. Dato’ Rahman Shaari selaku editor memberikan ucapannya.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman menerusi ucapan pelancarannya pula menyatakan bahawa buku antologi ini umpama himpunan 192 tahun pengalaman dalam dunia kepenyairan. Penerbitan buku ini juga memberikan ruang dan dukungan kepada penulis lain terutamanya bagi generasi muda untuk terus berkarya khususnya dalam bidang puisi. Selain itu, beliau juga turut menitipkan pesan bahawa terdapat beberapa kriteria untuk menjadi seorang penyair.

Setiap daripada kita mampu menghasilkan puisi, tetapi adakah karya kita setanding dengan penulis hebat? Puisi yang berkualiti dan hebat mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Pemilihan kata-kata dan perlambangan metafora memerlukan kematangan, ilmu, dan pengalaman agar karya tersebut menjadi karya yang berkesan buat pembaca berfikir dan merenung dengan dalam.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman sedang memberikan ucapan pelancaran.

Beliau juga turut menyarankan agar generasi penyair muda memperkembangkan bakat mereka dalam memasarkan dan memperkenalkan karya. Beliau memberikan contoh seorang pempengaruh Instagram, iaitu Rupi Kaur yang menawarkan cara dan pendekatan baharu dalam meluaskan dan memperkenalkan puisi.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman sedang melancarkan buku tersebut sambil disaksikan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden Pemuisi dan YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah yang mewakili Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP dan Puan Nurul Julia Alani Henry, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera.

Tonton majlis pelancaran tersebut di sini:

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.